Iskandar Ingatkan Zuraida Bukan Menteri Perumahan Hong Kong
MALAYSIAKINI    
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan  Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad mengingatkan Zuraida Kamaruddin  supaya memainkan peranannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan  Tempatan untuk rakyat Malaysia dan bukannya untuk warga Hong Kong dan  China
Beliau mengulas kenyataan Zuraida berhubung cadangan  kerajaan menjual rumah mewah yang belum dapat dijual kepada pembeli luar  negara seperti Hong Kong dan China.
Iskandar berpendapat langkah  tersebut secara tidak langsung menyisihkan pembeli tempatan dan akan  menyebabkan pemaju menaikkan harga rumah di negara ini.
“Oleh  itu, Reach mengingatkan Menteri Perumahan bahawa beliau adalah Menteri  Perumahan Malaysia dan bukan Menteri Perumahan Hong Kong atau negara  China. Selesaikan masalah rakyat Malaysia dan bukan rakyat negara lain.
“Pembeli  tempatan akan terpaksa bersaing dengan pembeli dari Hong Kong dan  China, persaingan yang wujud boleh menyebabkan para pemaju meningkatkan  harga rumah.
“Memandangkan pembeli dari negara luar memiliki  keupayaan kewangan yang lebih maka akhirnya pembeli tempatan akan  ketinggalan. Pembelian rumah-rumah tersebut akan dimonopoli oleh pembeli  luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.   

  Kelmarin Malaysiakini melaporkan, Zuraida mencadangkan agar kempen pemilikan rumah (HOC) digerakkan bagi menarik pembeli dari luar negara - seperti China  dan Hong Kong - untuk menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di  negara ini
Beliau yang juga naib presiden PKR menjelaskan kempen itu bagaimanapun terhad untuk rumah-rumah mewah.
Namun,  katanya perkara itu masih belum diputuskan dan akan dirujuk ke kabinet  serta dibincangkan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,  Mohamaddin Ketapi.
'Budaya hidup warga asing berbeza'
Bagaimanapun,  selepas menerima pelbagai reaksi, anggota parlimen Ampang itu semalam  menjelaskan kerajaan mencadangkan kempen ekspo perumahan di luar negara  melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan bukanlah kempen pemilikan rumah (HOC).
Iskandar  yang juga bekas exco Selangor dan naib presiden PAS juga menggesa  Zuraida mempertimbangkan cadangan tersebut dan sebaliknya menambah baik  program-program perumahan rakyat sedia ada.
“Walaupun rumah-rumah  yang terlibat merupakan rumah-rumah bernilai tinggi namun kebanjiran  rakyat Hong Kong dan negara China ke negara ini akan merubah komposisi  masyarakat di bandar-bandar besar.
“Budaya dan cara hidup warga asing yang berbeza boleh menggugat stabiliti dan keharmonian masyarakat.
“Hari ini kita menghadapi masalah dengan warga asing yang sedia ada maka tidak perlu ditambah kumpulan yang baru,” katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/09/iskandar-ingatkan-zuraida-bukan-menteri.html