Ini Top 10 Individu Paling Popular Di Malaysia Menurut Thefamouspeople
Ini “Top 10” Individu Paling Popular Di Malaysia Menurut TheFamousPeople
Menjadi seseorang yang dikenali umum semakin mudah di kala segala perkongsian yang dimuat naik di internet mendapat perhatian ramai.
Berikutan itu, semakin ramai yang bercita-cita menjadi terkenal dengan menjadi pempengaruh terutamanya di media sosial.
Ada yang berkongsi tentang kehidupan seharian, ada juga yang bertumpu kepada perkongsian ilmu pengetahuan.
Namun begitu, ada individu yang tanpa dirancang, menjadi perhatian ramai dengan hanya menjadi diri sendiri.
Tahukah anda, rupa-rupanya terdapat individu yang lebih terkenal berbanding Perdana Menteri kita. Berikut SK kongsikan senarai 10 individu teratas paling terkenal di Malaysia.
Senarai ini dikeluarkan oleh laman sesawang The Famous People berdasarkan algoritma yang menggabungkan pelbagai faktor termasuk undian pengguna dan corak carian di internet.
1. Lee Chong Wei
Individu paling popular di Malaysia berdasarkan senarai yang dikeluarkan The Famous People merupakan pemain badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei. Berasal dari Bagan Serai, Perak, Datuk Lee Chong Wei memegang status pemain nombor satu dunia selama 349 minggu. Beliau turut berjaya membawa pulang pingat perak dalam Sukan Olimpik sebanyak tiga kali.
Mengundur diri dari dunia badminton ketika berusia 37 tahun, Datuk Lee Chong Wei dipilih menjadi chef de mission buat pasukan tanah air di Sukan Olimpik Musim Panas 2020.
2. Jimmy Choo
Individu kedua paling popular di Malaysia dipegang oleh ikon fesyen dari Pulau Pinang, Jimmy Choo. Kini menetap di United Kingdom, Jimmy Choo dikenali menerusi jenama kasut mewah keluarannya yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
3. Lee Zii Jia
Kedudukan ketiga senarai individu paling popular di Malaysia dipegang oleh pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia. Berusia 27 tahun, atlet ini sudah menempa nama di peringkat dunia apabila menerima gelaran BWF Super 1000 di All England Open 2021.
4. Datuk Nicol David
Bintang Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David merupakan individu nombor empat paling popular menurut laman The Famous People. Beliau memegang rekod pemain nombor satu dunia selama 108 bulan berturut-turut serta pernah memenangi gelaran Terbuka Dunia sebanyak lapan kali.
5. Mohammad Razie Abd Rahim
Tidak disangka, pemain hoki negara, Mohammad Razie Abd Rahim turut tersenarai dalam individu paling popular di Malaysia. Tidak hanya di Malaysia, nama atlet ini turut berada di kedudukan ke-16 seluruh Asia dan ke-42 di seluruh dunia bagi hoki padang peringkat kebangsaan.
6. Muhammad Hafiz Hashim
Bekas pemain badminton negara, Muhammad Hafiz Hashim menduduki tempat keenam individu paling popular di Malaysia. Pernah menjuarai All England Open Badminton Championships 2003, beliau ini menggalas tugas menggarap bakat pengganti pemain badminton negara.
7. Tan Sri Michelle Yeoh
Pelakon veteran, Tan Sri Michelle Yeoh atau nama sebenarnya Michelle Yeoh Choo Kheng Todt menduduki tempat ketujuh dalam senarai ini. Lahir pada tahun 1962, beliau mula dikenali dalam dunia lakonan sejak 1980-an menerusi aksi ngeri yang dilakonkan sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri.
Tidak hanya itu, beliau turut mengharumkan nama negara apabila menerima anugerah berprestij, Academy Award sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
8. Henry Golding
Pelakon antarabangsa kelahiran Sarawak ini bertugas sebagai pengacara saluran televisyen terkenal antaranya ESPN, BBC dan Discovery Channel Asia sebelum menjejakkan kaki dalam bidang lakonan.
Melebarkan sayapnya, pelakon tampan ini mula melibatkan diri dalam filem aksi seperti Snake Eyes dan filem komedi seram A Simple Favor. Nama Golding semakin terkenal apabila filem Crazy Rich Asians mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
9. Tun Dr Mahathir Mohamad
Tidak dapat dinafikan, Tun Dr Mahathir sudah tentu tersenarai sebagai antara individu terkenal dalam negara. Lebih mesra dipanggila Tun M, beliau memegang status Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh sepanjang tempoh penglibatannya dalam politik negara.
10. Nigel Ng
Berada pada kedudukan ke-10, Nigel Ng atau lebih dikenali sebagai Uncle Roger merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur. Lahir pada 1991, Ng mula terkenal berikutan dialek Kantonis yang melampau di samping memberi kritikan terhadap masakan Asia yang dikongsi di internet.
BACA: Ini Panduan Nak Pilih Aliran Pendidikan Yang Ada Kerjaya “High Demand” Pada Masa Hadapan
BACA: “Orang Lain Panggil Ini Ujian, Saya Anggap Ini Rahmat”, Sisi Sunyi Bapa Tunggal Besarkan Anak ‘Istimewa’
Sumber: The Famous People
The post Ini “Top 10” Individu Paling Popular Di Malaysia Menurut TheFamousPeople appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/23/ini-top-10-individu-paling-popular-di-malaysia-menurut-thefamouspeople/