Ini Kisah Frontliners Bacalah
Pada minggu lepas, Projek Wawasan Rakyat (POWR) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meluncurkan borang maklumbalas 'anonymous' untuk membolehkan Pejuang Barisan Hadapan dalam bidang kesihatan untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mereka berkenaan situasi dan cabaran di lapangan tanpa diambil tindakan.
Projek Wawasan Rakyat (POWR) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan berkongsi maklumat yang diperolehi melalui borang ini pada hari Rabu 27hb Januari jam 8.30 malam..
Dan.. perkongsian mereka itu telah dilaporkan oleh Malaysiakini ..
Menurut POWR dan Abim, seramai 30 petugas barisan hadapan dari kemudahan kesihatan di Sungai Buloh, Kuala Lumpur, Ampang, Kajang, Melaka, Jasin, Pahang dan Sabah mengambil bahagian dalam tinjauan berkenaan.
Mereka rata-ratanya terdiri daripada doktor dan petugas lain, termasuk pegawai perubatan, pakar, ahli farmasi, pegawai pergigian, kakitangan bilik kecemasan dan kakitangan teknologi maklumat.
Seramai 25 responden mengaku mereka rasa terbeban pada waktu ini.
“Perlu lebih bantuan, lebih ramai doktor, tolonglah! Terbeban, seorang pegawai perubatan (MO) menjaga satu wad seramai 20 hingga 30 pesakit, (dengan) sedikit bantuan daripada jururawat, pesakit yang tidak stabil diletakkan di dalam keadaan wad yang tidak sesuai, pesakit yang tak mahu bekerjasama menolak rawatan dan lain-lain, terutamanya pesakit VIP (orang kenamaan),” kata seorang pegawai perubatan yang menjawab tinjauan itu.
“Bukan mudah kerja berseorangan, tak ada bantuan, tak ada sokongan, (kami) dikehendaki merekodkan semua kes baru, memakai PPE (peratalan perilndungan diri) berjam-jam lamanya, memberikan rawatan, menjalankan (ujian) gas darah arteri - ia melelahkan.
“(Terdapat semacam) tabu untuk kami mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan, meskipun atas sebab yang munasabah,” tambahnya lagi.
Ada petugas juga mendakwa berasa letih kerana perlu bekerja syif berganda bagi menampung kekosongan kakitangan lain yang bercuti, dikuarantin atau dijangkiti Covid-19.
Kenakan peraturan melulu
Seorang petugas berkata hospital kerap menukar jadual kerja menyebabkan mustahil untuk mereka berehat dengan cukup meskipun memang mempunyai hari cuti.
“Tak ada maklumat disampaikan kepada kami tentang bagaimana keadaan waktu kerja, sama ada kami akan diberi elaun atau tidak.
"Kebanyakan daripada kami tidak mengikut on call (bertugas atas panggilan) biasa semasa giliran Covid-19. Oleh itu (kami) juga hilang pendapatan tetap,” kata petugas itu.
Petugas barisan hadapan turut berpendapat hospital patut menyediakan tempat yang sesuai untuk mereka bekerja, berehat dan bersembahyang.
Ada juga responden meminta agar disediakan tempat mandi dan tandas memandangkan sekarang dua unit tandas perlu dikongsi bersama 200 orang lain.
Sementara itu, 21 daripada 25 petugas yang terbabit mengaku masalah-masalah yang mereka hadapi tidak diambil maklum oleh pihak atasan masing-masing.
Seorang petugas malah mengadu ada peraturan dibuat tanpa mengambil tahu situasi sebenar di lapangan.
“Orang yang bekerja di pejabat patut dengar (pendapat) kami. Doktor yang bekerja di lapangan terbabit dalam situasi sebenar yang kami hadapi dan ambil cadangan kami tentang bagaimana hendak tambah baik aliran kerja, maksimumkan rawatan dan kebajikan pesakit.
"Pada masa sama kurangkan risiko kesihatan dan mental petugas kesihatan.
“Sekarang mereka kenakan peraturan melulu ke atas kami, membataskan sumber untuk kami bekerja dengan berkesan dan membisukan kami dari dalam.
“Mereka yang dikatakan pihak-pihak berkuasa atasan ini hanya mengetepikan sahaja persoalan dan permintaan kami untuk (mendapatkan) bantuan, dan mengenakan peraturan sama (blanket rules) untuk setiap perkara dan setiap pesakit,” tambahnya.
Seorang lagi petugas mendakwa ketua-ketua di hospital tidak habis-habis mengadakan mesyuarat tanpa sebarang hasil, sementara petugas perubatan terus bergelut dengan peralatan dan kemudahan yang tidak mencukupi, serta keadaan yang sentiasa terlebih sesak sehingga membahayakan pesakit.
Siapa nak disalahkan
“Tidak ada lagi kawalan jangkitan di Jabatan Kesihatan. Katil-katil diletakkan sangat rapat hingga mustahil untuk menghalang jangkitan silang.
“Kami tak cukup port oksigen dan tangki oksigen sementara kami memakan ruang.
"Kami tak cukup alat bantuan pernafasan. Kami pernah nampak pesakit tak berkaitan Covid-19 meninggal dunia kerana lambat dirawat disebabkan kes Covid-19 terlalu banyak.
“Pesakit dibenarkan keluar terlalu awal untuk memberi ruang kepada pesakit lain, dan keadaan (pesakit yang dibenar pulang) menjadi semakan buruk di rumah. Tidak, ini tak OK.
“Hospital kami memang terang-terangan kekurangan katil ICU (unit rawatan rapi) sebelum Covid-19 lagi. Sekarang dengan Covid-19, ia jadi mustahil.
"Tak ada siapa bangkitkan realiti ini kepada orang awam,” kata petugas perubatan itu lagi.
Menurut doktor itu lagi, kekurangan katil di hospital bermakna lebih ramai pesakit harus menunggu berhari-hari sebelum boleh dimasukkan ke hospital.
Sementara itu, seorang lagi petugas mendakwa doktor dan pelajar perubatan dijangkiti Covid-19 kerana lawatan pagi di wad-wad masih dilakukan seperti biasa.
“Tahu tak, kebanyakan jabatan masih buat (lawatan wad pada setiap pagi), dan tahu tak, kita ada kluster daripada rutin itu. Biar betul? Kita panggil diri kita petugas perubatan? Siapa yang nak disalahkan?” katanya.
Kesan gelombang ketiga Covid-19 yang melanda Malaysia sejak Okt tahun lalu, bilangan jangkitan kes baru melonjak ke angka empat digit dalam tiga bulan kebelakangan ini.
Pada 6 Jan, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, memberi amaran bahawa sistem kesihatan yang sedang bergelut untuk menampung jumlah pesakit sudah pun berada di titik gagal.
Budaya tekan pandangan kritikal
Bekas pengarah bahagian pembangunan kesihatan keluarga KKM, Dr Safurah Jaafar, berkata dalam webinar semalam bahawa pandangan disuarakan responden tinjauan itu menggambarkan banyak kebimbangan yang dihadapi petugas barisan hadapan.
“Saya rasa, apa yang dikongsikan sebahagian (petugas) ini, mewakili ramai lagi petugas (lain).
"Ya, ramai yang menjauhkan diri, tetapi saya rasa sebahagian (dapatan) ini boleh bercakap bagi pihak mereka.
“Ini gesaan yang memerlukan kebersamaan dalam merancang untuk membantu petugas barisan hadapan dan komuniti secara amnya. Ia gesaan untuk orang-orang yang membuat dasar,” katanya.. sepenuhnya sila baca di SINI
Live! Dengar Sini! Kisah Frontliners sila lihat di SINI
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://darisungaiderhaka.blogspot.com/2021/01/ini-kisah-frontliners-bacalah.html