Ini Hari Pas Umno Bersanding
Shakira Buang dan Hariz MohdDiterbitkan Hari ini 6:31 petang
Selepas lebih dua setengah jam bermusyawarah, PAS dan Umno hari ini bersetuju bahawa kedua-dua parti rasmi 'bersanding' di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Hal itu dinyatakan pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan, yang mengadakan sidang media bersama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bersama mereka ialah pemimpin kanan kedua-dua parti.
Ditanya mengenai keakraban kedua-dua parti, secara berkias Mohamad berkata, ia bukannya bermula selepas PRK Semenyih berakhir sebaliknya lebih lama sebelum itu.
Katanya, proses menghantar cincin - seperti merisik - berlaku di Sungai Kandis.
"Bertunang di Seri Setia.
"Sekarang ni kita dah kenduri kahwin dah ni, dah rasmi dah. Sebab tu kita buat macam ni, (secara) rasminya... merasmikan jawatankuasa induk.
"Kira ni dah bersanding dah ni..." katanya merujuk kepada dua PRK terdahulu yang diadakan di Selangor.
Menjelaskan hasil mesyuarat hari ini secara lebih serius, Mohamad berkata Umno bersikap terbuka kepada apa saja yang dianggap baik untuk Melayu dan Islam.
Tak ada simbol baru
Melalui perbincangan hari ini katanya kedua-dua parti bercadang untuk menjemput pertubuhan bukan kerajaan yang berpengaruh untuk membincangkan agenda penyatuan ummah.
Mohamah yang juga timbalan presiden Umno juga memberitahu kedua-dua parti bersetuju membentuk jawatankuasa khas bagi membincangkan butiran kerjasama ke arah penyatuan ummah dan rakyat.
Menurut Mohamad, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan naib presiden kedua-dua parti, dengan Umno melantik Khaled Nordin sebagai wakil manakala Idris Ahmad mewakili PAS.
Bagaimanapun kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, langkah tersebut bukanlah bermaksud PAS dan Umno akan digabungkan.
"Ini bukan penyatuan parti. Ia suatu kerjasama di antara Umno dan PAS, dan rakan parti komponen masing masing atas isu yang ada asas untuk setiap parti.
"Tidak akan ada simbol baru," katanya.
Turut hadir, ketiga-tiga naib presiden Umno iaitu Ismail Sabri Yaakob, Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid, setiausaha agung Annuar Musa dan ketua wanita Noraini Ahmad.
Sementara itu selain Tuan Ibrahim, delegasi PAS disertai Ketua Dewan Ulama Dr Mahfodz Mohamed, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, Idris dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki.
Tidak ketinggalan, anak presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga ketua pemuda parti berkenaan.
[Berita lanjut menyusul]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/03/ini-hari-pas-umno-bersanding.html