Ingkar Sop Meningkat Ismail Sabri Nasihat Tak Boleh Selesa
                                                                       Oleh Afiq Mohd. Shah                                                     

ISMAIL SABRI foto FACEBOOK MKN             KES harian jangkitan COVID-19 negara pada hari ini meningkat sedikit kepada 4,743 kes.
   Buat hari kedua berturut-turut, penularan baharu itu berada di bawah angka 5,000.
   Semalam, negara mencatatkan sebanyak 4,611 kes baharu – terendah sejak sekatan pergerakan penuh dilaksanakan awal bulan ini.
   Walau bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob memberi peringatan supaya semua pihak tidak boleh selesa  meskipun keadaan semasa menunjukkan penurunan.
       Kata beliau, ia kerana trend penularan kes dilihat masih tidak stabil.
   Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pematuhan kepada prosedur  operasi standard (SOP) perlu dikekalkan oleh segenap lapisan masyarakat.
   “Amalan pematuhan SOP pada setiap masa amat penting kerana kita boleh  mengurangkan penularan jangkitan sekali gus melandaikan lengkuk  COVID-19.
   “Justeru, saya berharap semua pihak memainkan peranan ini termasuk  meningkatkan kawalan kendiri untuk keselamatan dan kesihatan bersama,”  katanya dalam kenyataan hari ini.   
   Peringatan diberikan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu ada benarnya.
   Ini kerana jumlah individu ditahan kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan kembali meningkat.
   Selepas beberapa hari merekodkan jumlah di bawah angka 900, seramai  959 individu telah ditahan akibat ingkar pematuhan SOP semalam.
   Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 923 telah dikenakan kompaun manakala 36 lagi direman.
   Kata beliau, kesalahan tertinggi yang direkodkan semalam melibatkan 251 individu tidak menjaga penjarakan fizikal.
   Beliau memberitahu, seramai 198 individu pula dikesan cuba merentas negeri/daerah tanpa kebenaran selain makan di dalam premis.
   Ismail Sabri berkata, 144 lagi gagal merekod butiran diri atau  mendaftar masuk premis manakala 134 ditahan kerana tidak memakai pelitup  muka.
   “Seramai 84 individu tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan; 64  membawa penumpang berlebihan; 19 premis gagal mematuhi arahan; empat  ditahan disebabkan aktiviti di pusat hiburan dan 61 lagi atas lain-lain  kesalahan.
   “Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 91,112 pemeriksaan semalam.
   “Ia melibatkan 4,194 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 19,653  anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelas beliau.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/ingkar-sop-meningkat-ismail-sabri.html