Ingatan Jamali Shadat Merosot Banyak Diam Diri
KUALA LUMPUR: Pelawak veteran popular, Datuk Jamali Shadat, 78, berubah sikap sejak pemergian isterinya, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar, dua tahun lalu.
Pelawak kelahiran Bukit Kapar, Klang, Selangor itu kini bagaikan hilang semangat, banyak mendiamkan diri dan terpaksa bergantung kepada anak, menantu dan cucu untuk menguruskan diri.
Jamali yang dikenali dengan lontaran suara kanak-kanak dan kebolehan mengajuk pelbagai bahasa pernah memberitahu, arwah isteri menjadi tonggak kejayaannya.
Pada saat, arwah isteri diuji dengan tahap kesihatan yang kian merosot, Jamali memberi sepenuh perhatian kepada insan yang amat disayanginya itu.
Tidak hairan apabila arwah isteri dijemput Ilahi pada hari pertama menyambut Syawal selepas sebulan terlantar di hospital, semangat bapa kepada lapan cahaya mata itu terbang melayang.
“Ayah tidak banyak bercakap. Dia lebih suka mendiamkan diri dan ingatannya juga semakin merosot. Ada kala, beliau kenal anak-anak, ada masa pula lupa.
“Beliau sudah tidak mampu menguruskan diri dan perlu bergantung kepada lampin pakai buang. Malah, beliau juga perlu dibantu apabila ke tandas untuk membersihkan diri,” kata menantunya, Siti Zabedah Sood.
Siti Zabedah yang berkahwin dengan anak keenam Jamali tinggal berhampiran dengan kediaman di Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah, Klang. Selain Siti Zabedah sekeluarga, dua anak pelawak itu juga tinggal berhampiran. Manakala, tiga lagi sekitar Klang dan Tanjung Malim.
Katanya, dialah yang menguruskan makan dan pakai Jamali setiap Isnin hingga Jumaat. Manakala, anak-anak lain akan mengambil alih tugasan pada hujung minggu.
“Saya tidak bekerja, jadi saya boleh membantu adik beradik menguruskan ayah. Lagi pula, rumah saya bertentangan dengan rumah ayah.
“Jadi, saya masakan dan uruskan ayah. Anak sulung yang berusia 13 tahun akan tidur menemani ayah setiap hari. Manakala, adik beradik lain akan mengambil alih tugas saya pada hujung minggu.
“Sikap ayah benar-benar berubah selepas kematian ibu mentua. Beliau seperti hilang semangat dan perubahannya berlaku dengan sangat mendadak. Ayah dan arwah ibu mentua sangat rapat,” katanya kepada BH Online.
Siti Zabedah berkata, ingatan bapa mentuanya itu kian merosot dan tidak banyak bercakap.
“Walaupun ingatan semakin merosot, tetapi ayah tidaklah terlantar. Beliau masih boleh berjalan, cuma kami akan menggunakan kerusi roda jika membawa ayah keluar,” katanya.
Katanya, dia menerima banyak panggilan telefon termasuk Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sejak gambar terbaharu bapa mentuanya yang kelihatan uzur tular di laman sosial.
“Wakil SENIMAN ada menghubungi kami sejak gambar ayah tular. Saya tak tahu apa tujuannya, tetapi mereka bertanyakan maklumat ayah.
“Mungkin ada teman dalam industri cuba hubungi ayah tetapi beliau tidak sihat. Kami matikan telefon bimbitnya kerana jika dibuka sekalipun, ayah tidak boleh memberi sebarang respon,” katanya
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/04/ingatan-jamali-shadat-merosot-banyak.html