Imej Ahli Politik Sudah Buruk Jangan Salahkan Rakyat Kata Zambry
August 27, 2021 Masyarakat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mempunyai tanggapan negatif terhadap golongan ahli politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini kerana rakyat sedang memerhatikan gerak kerja kerja ahli politik.
“Kita semua maklum, kini imej ahli dan parti politik sangat buruk pada mata rakyat. Kita dilihat sebagai mereka yang pentingkan kuasa, pentingkan diri, tiada rasa empati dan tidak serius atau bersungguh-sungguh dalam menyelamatkan bangsa dan negara. Acapkali parti politik akan dilihat bertelagah tidak mengira tempat. Sampaikan yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.
“Jadi, kita tidak boleh salahkan masyarakat sekiranya mereka mempunyai persepsi yang negatif seperti itu. Kerana mereka memang memerhatikan kita dan cara kita bekerja,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Khamis.
Justeru Zambry menasihatkan agar semua ahli politik dapat menukar cara bekerja selain membawa amalan atau budaya baharu dengan mempamerkan kematangan dan profesionalisme yang lebih tinggi.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) meminta agar semua pihak dapat mengenepikan sebentar ketaksuban dan ideologi politik masing-masing sebaliknya memberi fokus kepada rakyat serta tanah air.
“Carilah persefahaman yang membawa kepada kebaikan. Buka ruang kerjasama tanpa prejudis. Raikan perbezaan pendapat dengan penuh keterbukaan. Berlapang dadalah dengan cara kerja yang berbeza. Pupuklah perpaduan dan rasa kekitaan dalam budaya kerja yang inklusif.
“Yang pasti, kita semua mahukan yang terbaik untuk masyarakat, dan dalam konteks semasa, tiga perkara utama mesti kita berikan perhatian iaitu memerangi COVID-19, membina semula ekonomi dan mempersiap masyarakat dan negara ke arah PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).
“Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua rakan-rakan yang berhormat untuk membawa amalan dan budaya politik aras tinggi ini di negeri Perak,” katanya.
Katanya ianya perlu dilaksanakan kerana cabaran kesihatan dan ekonomi yang dihadapi di Perak amat mencanar dan memerlukan penglibatan semua pihak yang merentasi politik kepartian.
“Kita tidak lagi boleh duduk mengesampingkan diri kita antara kelompok itu dan kelompok ini atau parti itu dan parti ini.
“Kerana cabaran dalam konteks Negeri Perak memerlukan penglibatan semua pihak seperti dalam beberapa bidang-bidang termasuk dalam konteks ekonomi, pendidikan, kesihatan mental masyarakat dan lain-lain,” tambah Zambry.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/08/imej-ahli-politik-sudah-buruk-jangan.html