Ilmu Perlu Sentuhan Adab Akhlak
MENDIDIK golongan muda ke arah acuan beragama tidak sama berbanding acuan pendidikan yang lain kerana ia mengajar dosa dan pahala serta syurga dan neraka, manakala didikan lain hanya berkaitan moral kehidupan manusia. Ulama menggalakkan pencarian ilmu disertai dengan adab kerana dibimbangi lahirnya manusia berilmu tetapi tidak beradab sehingga memudaratkan hubungan silaturahim.
Hilangnya adab dalam kehidupan manusia, maka hilang juga rahmat daripada Allah SWT dan perasaan kasih sayang dalam kalangan manusia. Situasi itu menyebabkan sering berlaku pertengkaran, permusuhan akibat hilangnya akhlak dan paling menyedihkan apabila tiba waktu hampir dengan kematian, orang yang kasar dan tidak beradab akan direntap nyawa pada saat menggigil tubuh badan.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm berkongsi nasib manusia yang sangat kasar dan tidak berakhlak yang menemui ajal mengerikan, malah malaikat sendiri benci melihat wajah manusia yang tidak beradab
Pada saat mereka diseru kembali menghadap Allah, tidak ada belas ihsan malaikat kepadanya. Tanpa sandaran terhadap adab seperti yang digariskan dalam AlQuran dan hadis, maka akan timbul masalah dan kesukaran ketika kembali menghadap Allah kelak
Sedangkan manusia beradab akan dipanggil kembali dengan perasaan lemah-lembut oleh malaikat yang mencabut nyawanya. Bagaimanapun dalam situasi yang baik itu pun, Rasulullah SAW sering berdoa agar Allah memberi pertolongan ketika berhadapan dengan kematian
Ini membuktikan hidup di dunia amat berkaitan dengan kematian kerana apabila menjalani kehidupan seolah-olah sedang melakar wajah ketika kembali menghadap-Nya. Allah SWT menciptakan Rasulullah SAW memiliki adab paling agung hingga tidak ada akhlak yang lebih baik di kalangan makhluk berbanding Baginda
Didik dengan ilmu
Hidup tanpa beradab mengundang bahaya kepada manusia apabila mereka berseorangan di alam barzakh, mereka akan meruntun-runtun dan menggelupur kesakitan dengan balasan azab seksa oleh malaikat. Bagaimana mungkin mereka akan dilayan dengan baik dan sopan sedangkan sewaktu hidup dulu, mereka sendiri tidak berakhlak dan kasar
Oleh itu, didiklah keluarga dan generasi akan datang bukan hanya berilmu, bahkan disertai adab dan akhlak walaupun ia seolah-olah kecil pada pandangan kita. Antaranya ialah adab dan akhlak ketika makan serta minum, iaitu membasuh tangan sebelum dan selepas menjamah hidangan
Rasulullah SAW bersabda, "Keberkatan daripada makanan itu, berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepas makan." (HR Abu Daud dan Tirmizi)
Oleh itu, bacalah bismillah sebelum
menjamah makanan dan membaca alhamdulillah setelah selesai makan kerana ia sebahagian adab yang perlu diikuti. Rasulullah SAW juga tidak pernah mencaci makanan sepanjang hidupnya, sebaliknya Baginda akan makan sekiranya menyukainya dan hanya meninggalkannya andai tidak selesa dengan makanan itu tanpa berkata apa-apa yang buruk terhadap makan berkenaan. Selain itu makanlah dengan tangan kanan dan mula menjamah hidangan yang berada paling hadapan. Elakkan bersandar ketika makan kerana ia akan memudaratkan kesihatan
Kita juga disunatkan bercakap ketika menjamah makanan seperti hadis yang diriwayatkan Jabir RA menceritakan keadaan Rasulullah SAW yang sedang makan, iaitu bertanya lauk-pauk, "Ada lagikah lauk-lauk lain?" Isteri Baginda menjawab, "Sudah tiada lagi lauk yang disimpan kecuali cuka." Kemudian Baginda meminta agar dibawa cuka itu dan bersabda, "Sebaik-baik lauk-pauk ialah cuka." (HR Muslim)
Ini membuktikan Rasulullah menggalakkan percakapan sewaktu makan dan tidak mendiamkan diri. Oleh itu, generasi muda tidak sewajarnya leka dengan makanan atau dengan telefon bimbit masing-masing ketika makan, sebaliknya berkomunikasi dengan orang berada berhampiran pada waktu itu
Malah disunatkan juga mendoakan perkara yang baik-baik kepada mereka yang menghidangkan makanan, bukan hanya sekadar ucapan terima kasih sahaja. Rasulullah SAW pernah datang kepada Saad Ubadah RA yang menghidangkan roti dan minyak zaitun. Apabila selesai makan, Rasulullah SAW menyebut
"Sudah berbuka di tempat kamu
orang yang berpuasa. Dan sudah
makan makanan di kalangan kamu
orang yang salih. Semoga malaikat
merahmati kami semua."
Selain itu, adab ketika makan
adalah jangan sekali-kali makan
kecuali dimulakan orang yang lebih
tua. Anak seharusnya memastikan
ibu bapa duduk dan makan
terlebih dahulu. Ini mengelakkan
anak tidak menjadi orang yang
tidak mengendahkan ibu bapa kerana kesibukan apabila sejak kecil lagi tidak dilatih mengutamakan kedua ibu bapanya sewaktu makan
Jangan membazir
Jangan sesekali membazir dan meninggalkan sisa makanan di atas pinggan ketika makan. Imam Muslim meriwayatkan hadis yang bersumberkan Anas RA mengenai Rasulullah SAW sekiranya makan, Baginda akan menjilat ketiga-tiga jarinya. Jika terjatuh makanan daripada mulutnya, Baginda akan mengambilnya dan menyuapkan kembali atau meniupnya untuk membuang benda yang melekat pada makanan berkenaan
Baginda berpesan supaya jangan sekali-kali meninggalkan sisa makanan berkenaan kepada syaitan. Malah menurut Rasulullah SAW, kita tidak tahu di dalam banyaknya makanan yang dimakan itu, yang mana satukah yang diberkati Allah SWT
Begitu juga makruh hukumnya sekiranya meminum terus daripada tempat keluarnya air seperti cerek dan jag, selain hukum yang sama juga terhadap tindakan meniup air sebelum meminumnya. Cara terbaik untuk minum adalah dalam keadaan duduk dan mengelakkan minum sambil berdiri kerana ia memudaratkan kesihatan
Sumber :https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/02/388860/ilmu-perlu-sentuhan-adab-akhlak
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tuanzawari.blogspot.com/2019/10/ilmu-perlu-sentuhan-adab-akhlak.html