Ibu Tunggal Rugi Rm34 040 Terpedaya Sindiket African Scam
MELAKA, 18 Mac — Seorang ibu tunggal mengalami kerugian RM34,040 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket ‘African Scam’, selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Supt E Sundra Rajan berkata wanita berumur 66 tahun itu mengenali suspek yang menggunakan nama Ahmed Hamza, yang mengaku tinggal di Jerman pada awal Februari lepas, dan mereka saling berhubung menerusi aplikasi Whatsapp.
Beliau berkata wanita itu mengadu ditipu selepas kenalannya itu meminta dia mengambil ‘barang’ yang dikirimnya di sebuah syarikat kurier, namun wanita itu perlu membuat beberapa bayaran terlebih dahulu seperti kos penghantaran, duti setem, cukai, caj pertukaran wang dan sebagainya.
Katanya wanita itu membuat 19 kali transaksi bayaran ke tujuh akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek, namun selepas ejen syarikat kurier itu masih menuntut pelbagai bayaran, barulah dia sedar yang dia ditipu.
“Suri rumah itu kemudiannya telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,”katanya dalam satu kenyataan.
Sundra Rajan berkata sejak Januari hingga semalam sebanyak 15 kes direkodkan melibatkan kerugian RM679,800 akibat terpedaya dengan penipuan sindiket ‘African Scam’ manakala pada tahun lepas, 90 kes dilaporkan dengan nilai kerugian kira-kira RM2.1 juta.
Sementara itu di Seremban, NEGERI SEMBILAN, polis sedang berusaha mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan di Port Dickson dan Seremban yang melibatkan wang berjumlah RM847,600.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata mereka terdiri daripada Mohd Indera Lasim, 42, yang beralamat terakhir di No 35 Persiaran BLM 3, Bandar Laguna Merbok, 08000 Sungai Petani, Kedah. dan Ku Azhar Ku Ibrahim, 48, beralamat di No 13, Jalan KP 2/1 Taman Kota Perdana, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
“Mohd Indera dicari bagi membantu siasatan kes penipuan ke atas mangsa yang memberikan modal RM840,000 untuk menerbitkan sebuah filem tempatan yang dikatakan telah pun mendapat kerjasama dengan kerajaan negeri pada bulan September hingga November tahun 2019.
“Bagaimanapun semakan mendapati tiada sebarang produksi filem dijalankan malah kerajaan negeri juga menafikan terdapat sebarang kerjasama dijalankan dengan syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Ku Azhar dicari bagi membantu siasatan kes penipuan ke atas seorang lelaki berjumlah RM7,600 mengenai urusan untuk mendapatkan kenderaan yang dilupuskan pada Januari tahun 2019.
Aibee berkata orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Muraly dengan menelefon 016-7839535 atau 06-6472222 dan Insp Muhammad Amir Naim Muhammad Yusof dengan menelefon 017-5893462 atau 06-7682222.
— BERNAMA
‘Takkan semua benda nak kongsi’ – Noor Nabila
The post Ibu tunggal rugi RM34,040 terpedaya sindiket ‘African Scam’ appeared first on My NEWS ONLINE.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://my-news.online/2021/03/18/ibu-tunggal-rugi-rm34040-terpedaya-sindiket-african-scam/