Ibu Maut 2 Anak Parah Dalam Kemalangan Ketika Ke Sekolah
KLUANG: Perjalanan seorang ibu untuk menghantar empat anaknya ke sekolah berakhir tragedi apabila dia terbunuh selepas Perodua Viva dipandunya terbabit kemalangan jalan raya di Kilometer 77, Jalan Johor Bahru – Air Hitam, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Nor Hayati, 45, yang juga seorang suri rumah maut akibat parah di dada dan kaki.
Manakala anak mangsa, Muhammad Asyraff Putra, 6, yang duduk di tempat duduk hadapan dan Muhammad Azzam Putra, 8, di tempat duduk belakang, parah dan dirawat di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari Simpang Renggam menghala Air Hitam bertembung dengan Perodua Axia yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Perodua Axia kemudian berpusing dan masuk semula ke laluannya dan berlanggar dengan lori Nissan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anaknya, Muhammad Asyraff Putra mengalami pendarahan dalam kepala, perut dan patah tangan kiri manakala abangnya, Muhammad Azzam Putra, disyaki alami pendarahan dalam kepala dan patah peha kiri,” katanya ketika dihubungi.
Bahrin berkata, dua lagi anak Nor Hayati, Putri Ainnur Umairah, 9, cedera di kaki kiri manakala Muhammad Airell Putra, 16, cedera di kepala serta kaki kiri dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
Katanya, pemandu dan penumpang Perodua Axia turut cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2023/06/ibu-maut-2-anak-parah-dalam-kemalangan.html