Hukum Menjadikan Patung Teddy Bear Dan Minion Sebagai Bantal Peluk
SOALAN:
Adakah patung minion dan teddy bear yang digunakan semasa tidur sebagai bantal atau untuk dipeluk dibenarkan? Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
“Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” [HR. al-Bukhari (3225), Muslim (2106) dan al-Tirmidzi (2804)]
Al-Mubarakfuri mengatakan yang dimaksudkan dengan ungkapan “Malaikat tidak akan masuk” ialah Malaikat Rahmah, bukan Malaikat Hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga Malaikat Maut (yang mencabut nyawa). Manakala ungkapan “gambar yang menyerupai” di dalam hadith tersebut pula bermaksud gambar (berbentuk) manusia dan binatang. (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 8/72)
Sebab larangan menyimpan gambar patung (makhluk bernyawa)
Imam al-Nawawi menyebutkan berkenaan sebab larangan tersebut bahawa:
قَالَ الْعُلَمَاءُ سَبَبُ امْتِنَاعِهِمْ مِنْ بَيْتٍ فِيهِ صُورَةٌ كَوْنُهَا مَعْصِيَةً فَاحِشَةً وَفِيهَا مُضَاهَاةٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَبَعْضُهَا فِي صُورَةِ مَا يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ تَعَالَى
“Para ulama’ mengatakan bahawa, antara sebab yang menghalang Malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT dan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut ada yang dijadikan sembahan.” (Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/84)
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyebut bahawa terdapat kisah Nabi SAW masuk ke dalam Kaabah dan bersolat di dalamnya serta Baginda SAW tidak mahu masuk ke dalamnya melainkan setelah dikeluarkan kesemua gambar di dalamnya. Kemudian, beliau mengulas kisah tersebut dengan menyebut:
فَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى كَرَاهَةِ الصَّلَاةِ فِي الْمَكَانِ الْمُصَوَّرِ، وَهَذَا أَحَقُّ بِالْكَرَاهَةِ مِنَ الصَّلَاةِ فِي الْحَمَّامِ؛ لِأَنَّ كَرَاهَةَ الصَّلَاةِ فِي الْحَمَّامِ، إِمَّا لِكَوْنِهِ مَظِنَّةَ النَّجَاسَةِ، وَإِمَّا لِكَوْنِهِ بَيْتَ الشَّيْطَانِ، وَهُوَ الصَّحِيحُ، وَأَمَّا مَحَلُّ الصُّوَرِ فَمَظِنَّةُ الشِّرْكِ غَالِبُ شِرْكِ الْأُمَمِ كَانَ مِنْ جِهَةِ الصُّوَرِ وَالْقُبُورِ
“Ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah makruh bersolat di tempat yang bergambar. Dan perkara ini lebih makruh lagi berbanding bersolat di dalam bilik mandi kerana solat di dalam bilik mandi (adalah makruh) sama ada disebabkan berkemungkinan terdapatnya najis atau kerana ia merupakan rumah syaitan. Pendapat ini yang sahih. Adapun tempat yang bergambar, (solat di dalamnya makruh) kerana berkemungkinan ia membawa kepada syirik. Kebanyakkan umat-umat terdahulu menjadi syirik sama ada melalui gambar-gambar atau kuburan (para nabi dan orang soleh).” (Lihat: Zad al-Ma’ad, 3/402)
Maka, kita dapat fahami bahawa larangan kepada patung atau gambar-gambar (lukisan) makhluk bernyawa adalah kerana ia menyerupai ciptaan Allah dan dikhuatiri benda-benda tersebut akan diagungkan atau disucikan atau terlalu dihormati sehingga akhirnya membawa kepada kesyirikkan dan penyembahan.
Bantal peluk berbentuk karakter atau haiwan
Sudah menjadi trend atau ikutan anak-anak masa kini menjadikan teddy bear, patung minion dan yang seumpamanya sebagai bantal atau bantal peluk semasa tidur. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan satu pendapat daripada al-Khattabi yang menyebutkan bahawa:
وَإِنَّمَا لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ أَوْ صُورَةٌ مِمَّا يَحْرُمُ اقْتِنَاؤُهُ مِنَ الْكِلَابِ وَالصُّوَرِ فَأَمَّا مَا لَيْسَ بِحَرَامٍ مِنْ كَلْبِ الصَّيْدِ وَالزَّرْعِ وَالْمَاشِيَةِ وَالصُّورَةِ الَّتِي تُمْتَهَنُ فِي الْبِسَاطِ وَالْوِسَادَةِ وَغَيْرِهِمَا فَلَا يَمْتَنِعُ دُخُولُ الْمَلَائِكَةِ بِسَبَبِهِ
“Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar (gambar patung) yang haram digunakan. Adapun apa yang tidak haram untuk digunakan yang terdiri daripada anjing buruan, anjing bagi menjaga tanaman dan anjing bagi menjaga ternakan serta gambar yang direndahkan (tidak dimuliakan) yang terdapat pada hamparan atau bantal atau selainnya, maka ia tidak menghalang daripada para Malaikat masuk (ke dalam rumah) disebabkan olehnya (ada dalam rumah).” (Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/84 dan Tuhfah al-Ahwazi, 8/72)
Akan tetapi, kemudiannya Imam al-Nawawi menyatakan pula pendapatnya bahawa perkara tersebut adalah umum buat semua jenis anjing dan gambar patung sebagaimana katanya:
وَالْأَظْهَرُ أَنَّهُ عَامٌّ فِي كُلِّ كَلْبٍ وَكُلِّ صُورَةٍ... لِإِطْلَاقِ الْأَحَادِيثِ وَلِأَنَّ الْجِرْوَ الَّذِي كَانَ فِي بَيْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ السَّرِيرِ كَانَ لَهُ فِيهِ عُذْرٌ ظَاهِرٌ فَإِنَّهُ لَمْ يَعْلَمْ بِهِ وَمَعَ هَذَا امْتَنَعَ جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ دُخُولِ الْبَيْتِ وَعَلَّلَ بِالْجِرْوِ فَلَوْ كَانَ العذر فى وجود الصورة والكلب لايمنعهم لَمْ يَمْتَنِعْ جِبْرِيلُ
“Pendapat yang kuat ialah larangan tersebut adalah umum buat semua jenis anjing dan gambar patung… kerana hadith-hadith tersebut adalah mutlak (tidak diikat oleh apa-apa). Dan kerana (sebagaimana kisah) anak anjing yang berada di bawah katil di dalam rumah Nabi SAW. Secara zahirnya, bagi baginda SAW keuzuran kerana baginda tidak tahu akannya. Meskipun begitu, ia tetap menjadi halangan buat Malaikat Jibril A.S untuk masuk ke rumah baginda dan sebabnya adalah anak anjing tersebut. Kalaulah apabila adanya keuzuran pada gambar patung dan anjing (berada dalam rumah), tidak menghalang para Malaikat (daripada masuk), maka sudah tentu Malaikat Jibril A.S tidak akan terhalang.” (Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/84)
Sekalipun begitu, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي
“Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.” [HR. al-Bukhari (6130)]
Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Para ulama’ berdalilkan dengan hadith ini akan bolehnya patung boneka berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan. Hadith ini adalah pengecualian dari keumuman hadith yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Kebolehan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau berkata bahawa inilah pendapat majoriti ulama.” [Lihat: Fath al-Bari (10/527)]
Oleh itu, kita ketahui bahawa sekiranya patung tersebut dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputus kepala atau anggota badannya. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami berpandangan bahawa menjadikan patung seperti teddy bear, minion dan yang seumpamanya adalah dibolehkan selagi mana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah. Selain itu, apabila ia digunakan sebagai bantal, sudah jelas menunjukkan ia bukan bertujuan untuk dimuliakan, yang mana kadang-kadang terdedah kepada air liur basi dan lain-lain.
Kesimpulan
Tuntasnya, setelah kami melihat kepada dalil-dalil dan pandangan para ulama’ serta realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:
• Kami cenderung mengatakan menjadikan teddy bear, patung minion dan yang seumpamanya adalah dibolehkan selagimana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah atau dipuja. Akan tetapi sekiranya patung berkenaan digunakan sebagai bahan pujaan, atau diletakkan di tempat yang dihormati sehingga membawa kepada penyucian, maka jelas perkara tersebut haram dan dilarang sama sekali.
• Walaupun begitu, kami juga ingin mengesyorkan (sekiranya boleh) supaya dielakkan penggunaan patung seperti teddy bear, minion dan lain-lain sebagai bantal, agar kita tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Jika boleh diganti (dengan bentuk lain seperti bintang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain) atau ditinggalkan bagi mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah (adalah lebih baik dan selamat) kerana apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini, ia termasuk dalam apa yang disebutkan bahawa:
الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ
“Keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/01/hukum-menjadikan-patung-teddy-bear-dan.html