Hukum Melakukan Pembedahan Kerana Telinga Capang
SOALAN:
Adakah pembedahan otoplasty dibenarkan dalam Islam? Saya ingin melakukan pembedahan tersebut bukan untuk mencantikkan, tetapi supaya telinga saya kelihatan normal seperti orang lain, kerana telinga saya kelihatan menonjol (capang, tiada lekukan seperti telinga normal).
JAWAPAN:
Pembedahan otoplasty merupakan operasi kecil yang merapatkan balik telinga ke belakang (operasi memotong dan mengeluarkan rawan kulit yang berlebihan, dan akan melipat rawan ke kedudukan yang betul dan mengikatnya dengan jahitan dalaman). Ia tidak mengurangkan saiz telinga atau membentuk semula, ia hanya meletakkannya kembali supaya tidak terkeluar.
Pada asalnya sebarang bentuk pembedahan yang membawa kepada perubahan kepada anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak. Ini berdasarkan firman Allah Taala tentang perkataan Iblis:
وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَننْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.” Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah al-Nisa’: 119)
Tentang mengubah ciptaan Allah SWT, ia bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT jadikan pada makhluknya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya.
Daripada Abdullah bin Mas`ud R.A:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
“Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah SWT.” [Riwayat al-Bukhari (di dalam riwayat al-Bukhari tidak disebut “وَالنَّامِصَاتِ”), no. hadith 4507, 5476, 5487 dan Muslim, no. hadith 3966]
Dalam kitab Fathul Bari, Ibnu Hajar mengulaskan hadis ini seperti berikut: “Al-Khattabi berkata: Bahawasanya telah datang ancaman yang berat (laknat) ke atas perbuatan ini kerana ia boleh membawa kepada penipuan. Seandainya perbuatan ini dibolehkan maka ia akan menyebabkan berleluasanya penipuan dalam masyarakat. Di samping itu hal tersebut termasuk di dalam isu mengubah ciptaan Allah.” (Rujuk: Fathul Bari, 10/380)
Imam An-Nawawi ketika mensyarahkan hadis Ibnu Mas’ud mengatakan lafaz “المتفلجات للحسن” yang bermaksud perbuatan tersebut dilakukan bertujuan untuk kecantikan. Adapun sekiranya ia dilakukan atas dasar memenuhi suatu hajat atau keperluan atau untuk menghilangkan aib pada gigi atau seumpamanya, maka perbuatan tersebut diharuskan. (Rujuk: Syarah Sahih Muslim, 14/106)
Ini juga bertepatan dengan kaedah yang disebut oleh Syeikh Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan Hafizhahullah, apabila membahaskan hadis Abdullah bin Mas’ud di atas: “Diikat dengan perkataan “للحسن” dalam hadis tadi menunjukkan bahawa larangan itu bersifat khusus dengan apa yang jika dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tambahan pada khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang normal). Jika dilakukan untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib maka harus hukumnya. Ini menunjukkan bahawa itu tidak termasuk dalam bentuk perubahan yang diharamkan. Maka sabda baginda yang menyebut “للحسن” itu, huruf Lam itu adalah Lam Ta`lil (yang menunjukkan alasan pengharaman) yang mengecualikan larangan itu pada perkara yang melibatkan rawatan dan seumpama dengannya.” (Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah, hlm 73)
Imam As-Syanqiti Rahimahullah berkata: “Jika terdapat pada manusia kecacatan yang menyebabkan kesakitan samada yang nyata atau secara emosi (psikologi) maka tidak mengapa untuk merawatnya. Selagi mana dia lakukan didorong oleh hajat untuk menghilangkan kesakitan tersebut yang mana kesakitan itu menyusahkannya atau mengganggu kehidupannya. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan agama ini suatu yang menyusahkan.” (Rujuk: Ahkam Al-Jarahah At-Tibbiyyah, hlm 185)
Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebut “sesuatu hajat itu mengambil tempat darurat samada secara umum atau khusus.” (Rujuk: Al-Aysbah wa an-Nazair, 1/190)
Berdasarkan keterangan daripada soalan yang telah diajukan, dapatlah difahami bahawa pembedahan otoplasty dilakukan bukanlah bertujuan untuk kecantikan, tetapi untuk mengembalikan semula telinga kepada bentuk yang normal. Pembedahan ini adalah diharuskan oleh syarak kerana ia didorong oleh suatu hajat iaitu untuk menghilangkan aib serta memperbaiki keadaan anggota tubuh yang di luar kebiasaan. (Rujuk: Ahkam al-Jarahah at-Tibbiyyah, hlm 149 dan Al-Fatawa at-Tibbiyyah al-Mu'asirah, hlm 11)
Kesimpulan
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa pembedahan otoplasty untuk merawat telinga yang capang adalah diharuskan berdasarkan hukum Syarak. Hal ini kerana perbuatan tersebut bertujuan untuk merawat suatu cela (aib) dan dapat mengurangkan mudarat berbentuk psikologi kepada pesakit. Walau bagaimanapun perubahan itu mestilah tidak begitu ketara sehingga melebihi kadar rupa paras yang normal (khilqah ma`hudah) dan tidak memiliki unsur penipuan. Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/12/hukum-melakukan-pembedahan-kerana.html