Hukum Lelaki Sembahyang Memakai Kopiah
Soal :
Apakah hukumnya orang lelaki sembahyang pakai penutup kepala seperti kopiah dan apakah hukumnya sembahyang dengan tidak memakai penutup kepala?
Jawab :
Sebahagian ulamak membilang memakai kopiah adalah sunat bagi lelaki samada di luar sembahyang atau di dalam sembahyang.
Tidak memakai penutup kepala seperti kopiah bagi lelaki ketika sembahyang tidak membatalkan sembahyang kerana ia bukan termasuk rukun atau syarat sah sembahyang.
Cuma sebahagian ulama mengatakan makruh lelaki sembahyang tidak menutup kepala. Artinya sembahyangnya sah.
Berkata Dr Nasir Farid Wasil Bekas Mufti Negeri Mesir :
الدِّين الإسلاميُّ دِين الهيبة والوَقار، وقد حثَّ أتباعَه على أن يَكونوا دائمًا في أكمل وأتمِّ زِينة وأحسن لباس وخاصة عند الصلاة
ومن هذا يَتبيَّنُ أن كلَّ ما يُظهر المسلمَ بمَظهر حسَنٍ وهيئة حسنة فهو مَطلوب ومَرغوب، ولذَا لمَّا سأل صحابيٌّ رسولَ الله ـ صلى الله عليه وسلم ـ قائلًا: يا رسول الله، الرجل منَّا يُحب أن يكون نعْلُه
نَظيفًا وثوبُه نظيفًا، فهل هذا مِن الكبْر؟ قال صلى الله عليه وسلم: “لا، الكِبْرُ غَمْطُ الحقِّ وبَطَرُ النِّعْمة”. ولهذا قرَّر العلماء أن المُصليَ إذا صلَّى ورأسه مكشوفة فإن كان ذلك تَهاونًا وتكاسلًا فإن صلاته
مَكروهة، وإن كان للتذلُّل والتضرُّع فصلاته صحيحة بلا كراهة
Artinya : “Islam adalah agama hebat dan mulia dan sungguhnya Islam menggalakkan penganutnya atas bahawa selamanya berada dalam keadaan sempurna dan berhias dan berpakaian baik khususnya ketika sembahyang.
Dari inilah ternyata bahawa setiap perkara yang menampakkan seorang Islam itu elok dan keadaan yang baik maka ia adalah dituntut dan digemari. Kerana itu tatkala seorang bertanya kepada Nabi saw : Adakah apabila salah seorang dari kita sukakan berkasut elok dan berbaju cantik itu dikira sebagai sombong? Jawab Nabi saw : Tidak. Sombong ialah menolak kebenaran dan menghina orang lain.
Lalu kerana inilah ulamak menetapkan apabila orang yang sembahyang dalam keadaan tidak menutup kepala kerana meringan-ringankan dan malas maka sembahyangnya makruh. Dan jika tidak menutup kepala kerana merasa rendah diri dan tawadhu’ maka sembahyangnya elok tanpa makruh.”
Jadi terjawab bahawa sunat orang lelaki sembahyang dengan memakai penutup kepala seperti kopiah atau serban atau lainnya dan jika sembahyang dalam keadaan tidak memakai penutup kepala maka sembahyangnya tetap sah.
Wallahua’lam
Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original)
The post Hukum Lelaki Sembahyang Memakai Kopiah appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/hukum-lelaki-sembahyang-memakai-kopiah/