Hukum Bina Tandas Dalam Bilik Imam Di Masjid
SOALAN:
Adakah boleh membina tandas di dalam bilik imam di hadapan ruang solat masjid bagi memudahkan imam?
JAWAPAN:
Masjid merupakan syiar serta institusi penting bagi umat Islam. Masjid disebut sebagai rumah Allah SWT serta menjadi pusat kemasyarakatan umat Islam sejak zaman Baginda SAW. Oleh itu, menjaga kesucian serta mengimarahkannya merupakan perkara penting di dalam kehidupan seseorang Muslim. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah: 18)
Definasi Masjid
Masjid merupakan tempat untuk bersujud. Dari segi makna umum, masjid bermaksud permukaan bumi yang bersih untuk melakukan ibadah serta bersujud. Ini sepertimana hadis yang diriwayat oleh Abi Hurairah R.A sabda Nabi SAW:
وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ طَهُورًا وَمَسْجِدًا
“Dan dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).” [Riwayat al-Muslim (523)]
Dari segi istilah khusus berdasarkan uruf setempat, Imam Zarkasyi menyatakan di dalam kitabnya: “Masjid merupakan tempat menunaikan solat lima waktu.” (Lihat: I’lam al-Sajid bi ahkam al-Masajid,28)
Selain itu, istilah di dalam Mu’jam Lughat menyatakan masjid ialah tempat yang disediakan bertujuan mengerjakan sembahyang untuk selamanya. (Lihat: Mu’jam Lughat al-Fuqaha,428)
Perbahasan Dalil Berkaitan Dengan Pembinaan Tandas di Dalam Masjid
Masjid merupakan tempat ibadah bagi seluruh umat Islam. Oleh itu, menunaikan hajat seperti membuang air kecil dan besar di dalam masjid adalah diharamkan. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَهْ مَهْ . قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " لاَ تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ " . فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ . ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ " إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لاَ تَصْلُحُ لِشَىْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلاَ الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلاَةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ " . أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم . قَالَ فَأَمَرَ رَجُلاً مِنَ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ
Anas bin Malik R.A berkata: “Ketika mana kami berada di dalam masjid bersama Rasullullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu bediri untuk kencing di dalam masjid. Maka para sahabat Rasulullah SAW melarangnya dengan berkata: “Berhenti berhenti”. Akan tetapi Rasullullah SAW besabda: “Janganlah kamu mengganggunya, biarkan dia selesai menunaikan hajatnya dahulu.” Kemudian Rasullullah SAW memanggil dan menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya masjid ini bukan digunakan untuk kencing dan membuat perkara yang kotor, akan tetapi ia digunakan untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla, mendirikan solat dan membaca al-Quran.” Atau sepertimana sabda Rasullullah SAW yang lain. Kemudian, Baginda Nabi SAW memerintahkan seorang sahabatnya untuk mengambil sebekas air dan menyiram ke atas kencing itu.” [Riwayat Muslim (285)]
Berbalik kepada persoalan di atas, ulama’ fiqh berbeza pandangan berkenaan dengannya. Mengikut pandangan Imam Nawawi di dalam kitabnya menyatakan:
يَحْرُمُ الْبَوْلُ فِي الْمَسْجِدِ فِي غَيْرِ إنَاءٍ: وَأَمَّا فِي الْإِنَاءِ فَفِيهِ احْتِمَالَانِ لِابْنِ الصَّبَّاغِ ذَكَرَهُمَا فِي بَابِ الِاعْتِكَافِ أَحَدُهُمَا الْجَوَازُ كَالْفَصْدِ وَالْحِجَامَةِ فِي إنَاءٍ: وَالثَّانِي التَّحْرِيمُ لِأَنَّ الْبَوْلَ مُسْتَقْبَحٌ فَنُزِّهَ الْمَسْجِدُ مِنْهُ وَهَذَا الثَّانِي هُوَ الَّذِي اخْتَارَهُ الشَّاشِيُّ وَغَيْرُهُ وَهُوَ الْأَصَحُّ
“Adalah diharamkan kencing di dalam masjid sekiranya bukan di dalam bekas; dan adapun di dalam bekas terdapat dua kemungkinan, mengikut pandangan Ibnu Sabbagh, ia menyatakan kedua-duanya pada bab i’tikaf. Pertamanya diharuskan seperti berbekam di badan (al-Fasd) dan kepala (al-Hijamah) di dalam bekas. Dan pandangan kedua diharamkan kerana kencing merupakan perkara yang buruk maka dikhuatiri mengotori masjid daripadanya. Dan pandangan yang kedua adalah yang di pilih al-Syashi dan selainnya, dan ini merupakan pandangan yang asoh.” (Lihat: al-Majmuk syarah al-Muhazzab 2/92)
Begitu juga pandangan Ibnu Nujaim di dalam kitabnya menyatakan: “Diharamkan kencing di dalam masjid walaupun di dalam bekas. Ini bagi mengelakkan pencemaran masjid.” (Lihat: al-Ashbah wa al-Nazair li Ibnu Nujaim, 1/320)
Pandangan yang memakruhkannya iaitu kencing di dalam masjid di dalam bekas. Ini seperti yang di datangkan di dalam kitab I’lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid. Ianya dikiaskan dengan hadis daripada Sayyidatina Aisyah R.Anha telah berkata:
اعْتَكَفَتْ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم امْرَأَةٌ مِنْ أَزْوَاجِهِ مُسْتَحَاضَةٌ، فَكَانَتْ تَرَى الْحُمْرَةَ وَالصُّفْرَةَ، فَرُبَّمَا وَضَعْنَا الطَّسْتَ تَحْتَهَا وَهْىَ تُصَلِّ
“Pernah beri’tikaf salah seorang isteri Nabi SAW bersama Rasullullah SAW, dia didatangi istihadah. Maka dia terlihat warna kemerahan atau kekuningan (darah) dan kadangkala kami meletakkan bekas di bawahnya ketika dia sembahyang.” [Riwayat Bukkhari (2037)]
(Lihat: I’lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, 310)
Selain itu, pendapat yang membenarkannya sekiranya terdapat pemisah atau hadangan di antara masjid dan tandas seperti pendapat Ibnu Rejab menyatakan:
نقل حرب عن إسحاق، أنه كره الصلاة في مسجد في قبلته كنيف، إلا أن يكون للكنيف حائط من قصب أو خشب غير حائط المسجد، وأن كان الكنيف عن يمين القبلة أو يسارها فلا بأس.
“Telah menaqalkan pandangan Harb daripada Ishaq, sesungguhnya makruh melakukan sembahyang di dalam masjid pada kiblatnya terdapat tandas, melainkan pada tandas itu terdapat dinding daripada buluh dan kayu selain daripada dinding masjid. Dan sekiranya kedudukan tandas itu di sebelah kanan atau kiri kiblat maka tidak mengapa.” (Lihat: Fathul Bari li Ibnu Rajab 2/446)
Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya menukilkan pandangan daripada Khaisamah bin Abdul Rahman, menyatakan:
لَا تُصَلِّ إلَى حَمَّامٍ، وَلَا إلَى حُشٍّ، وَلَا وَسَطَ مَقْبَرَةٍ
“Janganlah mengerjakan solat menghadap bilik mandi, atau solat menghadap tandas, atau di antara perkuburan.”
Begitu juga pandangan Ibrahim al-Nakha’i menyatakan: “Mereka tidak menyukai sesuatu tempat yang di hadapan arah kiblatnya terdapat tiga tempat iaitu; tandas, bilik mandi dan perkuburan.” (Lihat: al-Mahalli bi al-Asar, 1/349)
Begitu juga pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan memutuskan seperti berikut: “Muzakarah memutuskan untuk tidak membenarkan pembinaan tandas dalam bangunan masjid berdasarkan hukum yang terdapat di dalam Kitab Fathul Bari, syarah Sahih Bukhari menyatakan makruh membina tandas dengan dinding yang sama dengan masjid dan bersamaan dengan arah kiblat. Bahkan adalah makruh untuk bersolat di dalam masjid yang mempunyai binaan seperti itu.” [http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12513]
Ruang Masjid
Kawasan yang digelar sebagai masjid merupakan kawasan yang sah seseorang itu beri’ktikaf di dalamnya. Para ulama’ bersepakat tidak sah seseorang itu beri’tikaf melainkan di dalam masjid sahaja. Firman Allah SWT:
وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
“Ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.” (Surah al-Baqarah: 187)
Selain itu, para fuqaha’ bersepakat ke atas masjid merupakan tempat beri’tikaf iaitu pembinaannya bertujuan untuk melakukan sembahyang. Adapun, ruang tambahan yang berdekatan dengan ruang masjid, mengikut pandangan Syafi’eyah kawasan tambahan yang berdekatan dengan masjid mengikut hukum masjid. Oleh itu, sekiranya melakukan i’tikaf di dalamnya adalah sah. Begitu juga dengan ruang bumbung masjid (Sutuh), Ibnu Qudamah menyatakan harus beri’tikaf di atasnya dan ia tidak mengetahui terdapat khilaf atau tidak berkenaan dengannya. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/224)
Begitu juga Imam Zarkasyi di dalam kitabnya menyatakan: “Masjid ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat.” (Lihat: I’lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, 26)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada dalil di atas, dapat disimpulkan kepada dua keadaan.
1. Sekiranya dinding tandas terpisah daripada dinding dewan solat atau berada di luar kawasan dewan solat pembinaan tandas di dalam bilik imam tidak menjadi sebarang masalah.
2. Dan sekiranya dinding tandas bersambung secara langsung dan tidak terpisah daripada dewan solat, hal ini menjadi perbincangan para ulama’ berkenaan dengannya:
Pandangan yang mengharamkannya dan ia merupakan pendapat yang asoh di sisi mazhab Syafi’e. Ini kerana tandas yang bersambung secara langsung dengan dewan solat dikira sebagai hukum masjid. Dan ini kerana bagi menjaga kesucian masjid sebagai rumah Allah SWT.Pandangan yang memakruhkannya dan dikiaskan hadis isteri Baginda SAW i’tikaf ketika didatangi darah istihadah dengan meletakkan bekas dibawahnya.
Berbalik kepada persoalan di atas, kami berpendapat tidak boleh membina tandas di dalam bilik imam sekiranya bilik imam itu bersambung dengan dinding ruang solat. Ini bertujuan menjaga kehormatan dan kesucian masjid. Walaupun terdapat perbezaan pendapat berkenaan dengannya, namun keluar daripada perkara khilaf adalah lebih utama.
Adapun pembinaan tandas di dalam bilik imam, yang tidak bersambung dengan dinding ruang solat seperti tedapat ruang berjalan kaki sebagai pemisah di antaranya maka tidak menjadi sebarang permasalahan hukum.
Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agama-Nya mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin. Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/11/hukum-bina-tandas-dalam-bilik-imam-di.html