Hsr Kl Singapura Akan Beri Manfaat Kepada Melaka Kata Ahli Ekonomi
Samuel Chua
AYER KEROH: Ketua Menteri sementara, Sulaiman Md Ali mendapat sokongan seorang ahli ekonomi dan satu kumpulan perniagaan atas pendiriannya menolak Projek Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru.
Sulaiman baru-baru ini berkata, Melaka tidak akan membenarkan projek HSR melaluinya melainkan rancangan asal agar ia dilanjutkan ke Singapura dipulihkan.
Ahli ekonomi dari Universiti Tun Razak, Barjoyai Bardai, dan Pengerusi Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahagian Melaka Kamal Haslin Abdul Karim berkata, projek asal itu akan membawa manfaat besar kepada Melaka dengan menarik pelancong dan menggalakkan perniagaan beroperasi di negeri itu.
Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan untuk memulihkan projek asal, dengan berkata, ia akan meningkatkan hubungan antara bandar di negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang, serta dengan negara jiran itu.
Barjoyai berkata, bagi Melaka, tiada gunanya projek HSR ditamatkan di Johor Bahru kerana tidak cukup pelancong domestik dari negeri itu.
Katanya, pendirian Sulaiman adalah rasional kerana projek itu mesti dilihat memberi manfaat kepada Melaka.
“Langkah melanjutkan projek HSR sudah pasti akan meningkatkan ekonomi Melaka kerana lebih 70% rakyatnya bergantung kepada pelancongan sebagai sumber pendapatan,” tambahnya.
Kamal Haslin berkata, HSR akan memberi manfaat kepada Melaka jika ia menggalakkan rakyat Singapura, dengan kuasa perbelanjaan mereka yang lebih tinggi, datang bercuti.
“Kita juga memerlukan lebih banyak pelaburan langsung asing Singapura di Melaka. HSR akan membantu mengurangkan masa perjalanan ke negeri ini,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, projek itu wajar walaupun ia berhenti di Johor Bahru.
Beliau melihat ini sebagai percubaan holistik untuk memindahkan penumpang dan barangan dari jalan ke landasan.
Bagaimanapun, katanya kepada FMT, perlu ada rancangan untuk menghubungkan projek itu dengan Thailand, selain Singapura.
Beliau percaya negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Singapura perlu memikirkan ruang komersial dan ekonomi bersatu untuk membentuk sistem bersepadu yang saling menguntungkan bagi pengangkutan penumpang dan barangan.
Dari 2018 hingga 2020, pertumbuhan Melaka menurun dari 8.3% pada 2017 kepada 3.8%, 2.9% and -5.9% masing-masing pada 2018, 2019 dan 2020.
Kadar ini lebih buruk daripada yang dialami ekonomi negara, yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.8%, 4.3% and -5.6% pada ketiga-tiga tahun tersebut.
Barjoyai berkata, kemelesetan dalam kegiatan ekonomi di Melaka tidak boleh dikatakan berpunca daripada projek HSR, tetapi mungkin diakibatkan oleh perubahan dalam birokrasi pentadbiran pada 2018.
“Ekonomi di Melaka hampir stabil pada 2020. Namun, ia terganggu sekali lagi dengan pertukaran kerajaan sekali lagi di peringkat persekutuan dan negeri.
“Selain itu, pada 2020, wabak membantutkan segala kegiatan pelancongan di Melaka,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/hsr-kl-singapura-akan-beri-manfaat.html