Hockademy Sasar Anjur Lebih Banyak Program Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Selepas berjaya dengan penganjuran julung kali Festival 5 Penjuru Hockademy, kelab Hockademy berhasrat menganjurkan lebih banyak program pembangunan peringkat akar umbi, di masa hadapan.
Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) yang juga pemilik kelab Hockademy Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Hockademy menyasarkan untuk menganjurkan festival hoki seumpama itu tiga kali setahun.
Beliau berkata, festival sedemikian akan memberi pelbagai pendedahan berguna, selain menanam minat pemain muda terhadap sukan hoki sekali gus secara tidak langsung dapat mengembangkan bakat dimiliki mereka.
“Festival hari ini mengikut konsep di Eropah iaitu tumpuan diberikan kepada pemain Bawah 12 Tahun (B-12) dan 14 Tahun (B-14) dan kita hanya nak pastikan pembangunan pemain muda tidak terhenti.
“Pasca COVID-19 banyak aktiviti tergendala, jadi kami harap usaha ini dapat bantu pemain muda yang ingin bermain hoki. Paling penting mereka tahu adanya peluang untuk mereka menonjolkan bakat,” katanya ketika ditemui pemberita pada festival itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Seramai 140 pemain melibatkan 23 pasukan lelaki dan wanita sekitar Kuala Lumpur, mengambil bahagian dalam festival sehari itu.
Mengulas lanjut Megat D Shahriman berkata, inisiatif dilakukan Hockademy itu antara lain sebagai usaha membantu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam memastikan negara tidak ketandusan bakat dalam sukan hoki.
Jelas beliau, dengan usaha berterusan di peringkat akar umbi dapat melahirkan sejumlah kumpulan bakat yang berkualiti sekali gus memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan.
“Saya percaya kalau kita terus dengan usaha sebegini untuk tempoh lima hingga 10 tahun kita akan menjadi 10 terbaik dunia. Layak ke Piala Dunia atau Olimpik bukan satu lagi masalah pada waktu itu kerana pemain muda hari ini yang akan mewakili negara nanti,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan KL Thunderboys Ainol Azmi Anuar, melihat usaha dilakukan Hockademy itu dapat memberi nilai positif kepada pemain muda, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Ini kali pertama festival seumpama ini dilakukan sejak pelaksanaan PKP. Ini peluang untuk pemain muda kembali bermain semula dan mengasah kemahiran yang ada, berbanding duduk di rumah sahaja dan bermain permainan video,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pembangunan Prestasi PHKL Iman Gobinathan mengakui kurangnya jumlah pemain muda yang menceburi sukan hoki.
“Setiap pasukan negeri dan kelab perlu lakukan sesuatu di peringkat akar umbi. Pemain muda perlukan perlawanan bukannya berlatih sepanjang masa,” katanya.
— BERNAMA
Ligakampung.com mengalu-alukan penglibatan Persatuan Hoki termasuk pemilik kelab-kelab swasta untuk menganjurkan kejohanan hoki.
Ini bagi membentuk para pemain dalam melatih skill serta mematangkan mereka.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ligakampung.com/blog/hockademy-sasar-anjur-lebih-banyak-program-akar-umbi/