Hentakan Di Kepala Akibat Tergelincir Lantai Licin Di Ruang Tamu
Sepanjang kehidupan 36 tahun, ini yang pertama kali berlaku dalam sejarah hidup saya, iaitu tergelincir akibat lantai licin sewaktu mencuci lantai di ruangan tamu. Saya terjatuh kebelakang dengan keadaan kepala terhentak di lantai. Waktu kejadian adalah pada Sabtu, 29 April 2023 saya terjatuh kerana kelam kabut mahu membersihkan sedikit di bahagian ruangan tamu. Maklumlah, kebetulan kakak ipar mahu datang beraya secara mengejut. Mestilah mahukan rumah yang bersih, yang mana bila dipijak lantainya tidak melekit. Dengan ada anak yang sedang melasak, boleh dikatakan setiap masa rumah kotor. Jadi, itu lah perlu dibersihkan sentiasa.
Tergelincir akibat lantai licin di ruangan tamu
Jatuh tergelincir akibat lantai licin dengan bersabun sememangnya berisiko tinggi untuk terjatuh. Tetapi, entahlah boleh pula saya cuci lantai tiles dengan sabun. Bayangkan lah, macam nangka busuk jatuh berdentum!
Tergelincir jatuh
Saya terjatuh, dengan hentakan di bahagian kepada belakang. Yang mana turut terlibat dengan kedua belah anggota tangan, belakang badan iaitu di punggung dan juga leher.
Sewaktu saya terjatuh, suami tiada di rumah. Hanya saya dan anak-anak sahaja yang ada. Akibat daripada terjatuh, kepala saya sakit yang teramat sehinggakan saya menangis sambil mengadu kesakitan. Bayangkan lah macam mana? seakan roh terkeluar sekejap. Saya terjatuh ke belakang dalam keadaan terbaring terlentang. Bergegar lah sekejap lantai di ruangan tamu pada ketika itu. Spontan selepas jatuh, saya terus duduk.
Tangan saya memang sakit ketika terjatuh. Mujurlah tidak patah tangan.
Kesan selepas tergelincir akibat lantai licin
3 jam selepas terjatuh
Anak nombor 3 dah mula picit kepala saya, sambil menangis. Sambil berdoa tak putus-putus tak nak mama mati. Kemudian, dia tidur sebelah saya tengah hari itu.
Beberapa jam selepas terjatuh, sewaktu saya menunaikan solat Zohor. Kepala saya rasa berdenyut sakit. Seakan sakit kepala tersebut mahu bertukar menjadi migrain.
Kemudian, habisnya solat terus saya picitkan kepala. Urut juga di bahagian kepala, supaya aliran darah kembali lancar.
Saya perasan, sakit di bahagian dahi membawa ke bahagian mata. Dengan segera saya urutkan lagi, sehingga rasa sakit tersebut hilang.
7 jam selepas tergelincir
Apa yang saya perasankan adalah, leher saya terasa sakit. Di bahagian punggung terasa berdenyut sakit. Katanya anak sulung Sara, sudah lebam akibat hentakan .
Leher mengalami kesakitan, manakala suara saya pun dah semakin lemah. Mahu bercakap dengan kuat, jadi sakit perit tekak. Yang ini saya tidak pasti, adakah faktor cuaca panas atau kesan jatuh.
Apabila semakin malam, haba daripada tubuh badan saya semakin panas. Saya syak, mungkin badan terkejut dengan hentakan di kepala mengakibatkan badan mahu demam. Suami belikan air cap badak, alhamdulillah asbab air tersebut suhu badan saya kembali normal.
24 jam kemudian
Keesokan harinya, di bahagian leher saya semakin sakit. Di tapak tangan kiri sakit, serta di pergelangan kanan sakit dengan urat hijau timbul. Sesungguhnya, memang saya dalam kesakitan ketika itu. Mujur sangat, slot ghostwriting saya kosong pada hari tersebut.
Apa yang menyakitkan saya, urat di kawasan leher sudah menjadi bengkak menyebabkan saya tidak boleh mendongakkan kepala keatas. Ini bermakna urat di bahagian leher sudah mengalami ketegangan urat.
Urat yang tegang bermula dari tengkuk, leher dan seterusnya di belakang bahu. Bayangkan macam mana? akibat ketegangan urat tersebut, menjadikan saya sakit untuk bangun daripada baring.
48 jam kesan tergelincir terhadap tubuh badan
Di bahagian leher seakan ada bengkak bila ditekan terasa sakit. Sudah saya urut di bahagian tersebut, tetapi ianya gagal. Rupanya di kawasan tersebut tidak boleh diusik langsung.
Hampir nak ke klinik, untuk dapatkan injection tahan sakit..
Jam 11 malam, saya rasa sakit yang teramat. Sudah saya cakapkan kepada suami, seakan mahu habis nyawa. Sehinggakan menitis-nitis airmata. Suami memang urut, cuma dia tiada kemahiran dalam bab mengurut.
Lalu saya meminta anak sulung, Sara bantu saya mengurut dengan sedikit arahan daripada saya.
Kesan jatuh tergelincir lantai licin
Bayangkan urat tangan, leher dan di bahu sudah membengkak. Malam itu juga saya minta Sara urutkan dahulu tangan saya, iaitu bahagian pergelangan tangan yang uratnya timbul.
Urat hijau timbul, memang ketara kelihatan. Lalu saya ajarkan Sara mengurut mengikut arah keatas iaitu dimana aliran ke pergelangan tangan. Sentuh point yang sakit, lalu diurut dengan cara membulat serta membawanya keatas. Diulang beberapa kali sehingga dapat melegakan kesakitan. Atau urut sehingga keluar angin daripada badan.
Satu kepuasan apabila mengurut orang, bila mana orang yang diurut mengeluarkan angin sama ada melalui kentut atau pun angin sendawa. Malam tersebut, jelas terpancar bahagianya di wajah Sara apabila dia dapat mengeluarkan angin daripada tubuh badan saya melalui urutan. Masya allah, tabarakallah~
Artikel lain : Massage dan doa urutan untuk saraf
Point yang perlu diurut
Bagi menyelesaikan sakit leher. Tidak akan selesai, jika mengurut dibahagian leher. Kerana point asalnya adalah di bahagian tengkuk. Ya! tengkuk adalah point utamanya. Apabila di urut di bahagian tengkuk saya, angin keluar melalui sendawa.
Kemudian, selang beberapa minit tersebut rasa lega sedikit. Manakala, di bahu belakang turut diurut. Oleh sebab Sara tidak mahir mengurut di bahagian ini, makanya saya sendiri yang urut selagi mana tangan saya sampai.
Masya allah, tabarakallah. Sungguh! rasa lega yang teramat. Kepala saya sudah boleh dilenturkan ke kiri dan kanan. Jika tidak, agak sakit sebelumnya.
Belakang badan saya, iaitu di bahagian punggung. Masih sakit, sebab tangan saya tidak sampai. Sara pula tidak mahir kawasan ini. Tidak mengapa, akan saya usahakan sendiri. Iaitu perlu mengurut dalam keadaan duduk seperti menghadap laptop.
Setelah bahu, pergelangan tangan diurut. Angin keluar tanpa segan silu. Baik angin sendawa mahupun kentut. Lega sangat. Baru lah terasa badan segar sebelum tidur.
Keesokan pagi, bangun untuk solat subuh. Rasa nak menangis lagi! kali ini sebab allah beri saya sihat kembali setelah 2 hari tubuh badan sakit. Allahuakbar! DIA yang berikan kesakitan, DIA juga Maha Penyembuh.
Masya allah, tabarakallah. Dikurniakan anak-anak yang mengambil berat tentang kesihatan saya, tidak dapat saya gambarkan bagaimana perasaan seorang ibu.
Hal-hal mengurut ini saya selalu ajarkan anak sulung. Sebab 2 lagi anak tidak berminat hal mengurut. Selalu latih dia ( Sara ) mengurut juga. Supaya dia mahirkan dirinya jika ada keperluan. Mengurut ini saya hanya jadikan sebagai survival sahaja untuk diri dan keluarga. Andai kata suatu masa tidak menggunakan mata wang, mungkin saya akan tawarkan perkhidmatan mengurut untuk sistem barter. Mungkin!
Pernah mengurut tangan ustazah anak hari itu, kebetulan dia datang mahu mengajar mengaji dan jari tangannya menjadi keras akibat kekejangan. Dengan segera saya mengurut, alhamdulillah jari tersebut kembali pulih. Ustazah pernah mahu repeat mengurut dengan saya, namun terpaksa saya tolak dengan baik.
Kesimpulannya, bahaya jika kita tergelincir akibat lantai licin dan tidak mengurut bagi melembutkan kembali urat yang tegang atau dimasuki angin. Kesan tersebut akan berlarutan serta membahayakan kesihatan. Saya juga akan mendapatkan rawatan susulan di klinik, bagi pemeriksaan lanjut kes terjatuh akibat lantai licin. Seperti X-Ray untuk bahagian kepala.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.ehbelogaku.com/2023/05/tergelincir-lantai-licin-hentakan-kepala.html