Hari Terakhir Penggulungan Rmk12 Di Dewan Rakyat Hari Ini
BERNAMA                                                       

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Hari terakhir sesi penggulungan Rancangan Malaysia  Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini akan melibatkan tiga kementerian  selain lima portfolio di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Tiga kementerian itu ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan  Koperasi, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Belia dan  Sukan.
Lima portfolio di bawah JPM pula ialah Parlimen dan Undang-Undang,  Ekonomi, Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Tugas-Tugas Khas dan Hal Ehwal  Agama.
![]()
Menurut  Aturan Urusan Mesyuarat, sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada permulaan  persidangan Dewan Rakyat hari ini akan menyentuh isu berkaitan butiran  proses perolehan kit ujian kendiri untuk sekolah-sekolah termasuk kosnya  yang dibangkitkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) kepada  Menteri Pendidikan.                                                                                                                                         Selain itu, Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pula meminta Menteri  Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah keseluruhan projek  perumahan terbengkalai mengikut pecahan negeri hingga 2021 dan punca ia  berlaku serta penyelesaiannya.
Turut dibangkitkan pada sesi itu ialah isu penangguhan penguatkuasaan  Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) oleh Dewan Bandaraya Kuala  Lumpur (DBKL) yang tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit,  kedai serbaneka dan kedai ubat Cina bermula 1 Okt 2021 yang diajukan  oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Menteri Wilayah  Persekutuan.
Bagi sesi soal jawab lisan pula, Mohd Salim Sharif (BN-Jempol)  meminta Menteri Kesihatan menyatakan perkembangan semasa pembangunan  vaksin Covid-19 pertama negara yang dimulakan sejak November tahun  lepas.
Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula bertanya kepada Menteri Dalam  Negeri mengenai keberkesanan usaha membendung sindiket jenayah pemalsuan  kad pengenalan dan usaha memperbaharui kad pengenalan dengan ciri-ciri  keselamatan lebih canggih.
                                                                                                                                                                                                                       Persoalan berhubung penetapan harga siling kit ujian kendiri Covid-19  dan tindakan terhadap penjualan alat “pulse oximeter” palsu di pasaran  akan dibangkitkan oleh Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) kepada  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/hari-terakhir-penggulungan-rmk12-di.html