Hargailah Pengorbanan Hero Tidak Didendang
APABILA menerima jemputan ke majlis perasmian Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, saya terus menjawab akan menghadirinya.
Ia bukan keputusan yang sukar dibuat kerana saya sememangnya mempunyai hubungan yang akrab dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak saya mula menjadi wakil rakyat suatu ketika dahulu.
Ada ramai sahabat yang berjenaka bahawa saya selalunya akan sampai lebih awal di tempat kejadian apabila berlaku kebakaran di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang pernah saya wakili.
Namun saya harus nyatakan fakta sebenar di sini bahawa anggota bomba selalunya tiba lebih awal di tempat kejadian kecuali jika kawasan terbabit berhampiran kediaman saya.
Inilah hakikat yang kita perlu terima walaupun ramai yang sering terlupa peranan dan pengorbanan anggota bomba.
Mereka memang sesuai digambarkan sebagai the unsung heroes atau hero yang tidak didendang kerana hanya diingati ketika diperlukan iaitu apabila berlaku kebakaran, kemalangan atau bencana alam.
Jujur saya akui betapa tersentuhnya hati apabila melihat persembahan dan juga perarakan sambutan tersebut yang bertemakan Bomba Tonggak Penyelamat Negara.
Program yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu amat bermakna kerana ia turut menunjukkan pengorbanan anggota bomba selain evolusi JBPM selama ini.
Melihat anggota bomba dari pelbagai unit berkawad dengan diiringi jentera moden menimbulkan rasa bangga bahawa JBPM turut mempunyai kepakaran dan peralatan setanding negara-negara maju termasuk yang dikhususkan untuk memadam kebakaran di bangunan pencakar langit serta operasi menyelamat di tempat amat berisiko.
Begitu juga kehadiran pelbagai pasukan veteran dan sukarelawan bomba yang kelihatan amat bersemangat untuk sama-sama menaburkan bakti di samping JBPM.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya sentiasa berusaha meluaskan skop tugas termasuk pengendalian bahan berbahaya berasaskan bahan kimia, radiasi, nuklear serta letupan.
Selain itu, kepakaran pasukan siasatan dan forensik kebakaran JBPM juga banyak membantu pihak polis dalam membongkar elemen jenayah sehingga membawa kepada pendakwaan kes berprofil tinggi seperti kes kebakaran di pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat.
Oleh kerana tugas mereka yang semakin mencabar, kerajaan seharusnya menimbang semula cadangan untuk meningkatkan kebajikan anggota JBPM termasuk meluluskan elaun kritikal.
Seri Paduka sendiri telah menyatakan keprihatinan baginda terhadap keperluan meningkatkan kebajikan para anggota bomba termasuk pemberian elaun kritikal.
Isu tersebut harus dibincangkan dengan teliti dan diharapkan kenaikan gaji dan pemberian elaun kritikal untuk anggota JBPM dapat dimasukkan dalam belanjawan tahun depan jika ia tidak dapat dilaksanakan tahun ini.
Dilaporkan bahawa elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 14,000 anggota bomba di seluruh negara jika dilaksanakan.
Cadangan untuk meningkatkan kebajikan anggota bomba sebenarnya perlu disokong oleh semua pihak kerana tugas mereka kini semakin mencabar sebagaimana agensi-agensi penting lain.
Selain terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa, JBPM juga bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan dan pencegahan kebakaran serta menyediakan perkhidmatan kemanusiaan yang cekap dan berkesan.
Hubungan rapat anggota bomba dengan masyarakat dan pelbagai laporan positif mengenai perkhidmatan mereka menjadikan JBPM pilihan pertama untuk dihubungi apabila orang ramai berhadapan pelbagai situasi termasuk kemalangan dan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Anggota bomba juga sering terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang sesat dalam hutan atau lemas.
Keupayaan anggota JBPM dalam operasi tersebut tidak boleh dipertikaikan kerana mereka mempunyai peralatan yang sesuai seperti alat pemotong hidraulik untuk membantu mengeluarkan mangsa kemalangan dari kenderaan yang remuk.
JBPM juga mempunyai kakitangan mahir yang dapat membantu menyelamatkan haiwan kesayangan, menangkap binatang berbisa atau memusnahkan sarang lebah dan tebuan.
Kerajaan juga harus menyediakan peruntukan mencukupi bagi pembangunan sumber manusia JBPM supaya mereka mempunyai kemahiran teknikal dan kecekapan yang tinggi untuk menangani sebarang kes kecemasan.
Peruntukan mencukupi juga harus diberikan kepada JBPM untuk pembelian jentera dan kelengkapan moden manakala peralatan perlindungan diri (PPE) terkini perlu disediakan untuk anggota bomba.
Saya juga berharap usaha berterusan dapat dilakukan untuk memperbaiki tempat kerja dan perumahan kakitangan JBPM dan keluarga masing-masing supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja sementara ahli keluarga dapat hidup dalam suasana yang kondusif.
Masanya telah tiba untuk kita memberikan ganjaran setimpal kepada anggota bomba yang sanggup mengorbankan nyawa demi memastikan keselamatan orang lain terutamanya ketika berlaku kebakaran serta bencana alam.
Jika kita berusaha untuk meningkatkan kebajikan JBPM, saya percaya mereka pastinya akan merasa gembira dan dapat menumpukan perhatian serta komitmen terhadap tugasan berbahaya termasuk yang mampu meragut nyawa atau mendatangkan kecederaan parah.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis sosial
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/07/28/hargailah-pengorbanan-hero-tidak-didendang/