Haramkan Tangan Kita Daripada Terus Mengundi Mahiaddin Dan Menteri2 Pn
Tidak pernah lagi dalam sejarah negara ini ada sebuah kerajaan dan Perdana Menteri yang lebih teruk dan tak guna daripada PN dan Mahiaddin Md Yasin.
Bagi tujuan mempertahankan kedudukannya yang tiada keabsahan, titah Yang Dipertuan Agong berhubung pembukaan Parlimen, walau sudah tiga kali dititahkan, tetap dilengah serta dipermain-mainkan.
Dalam waktu yang sama, nasib rakyat pula bagai ditekan dan terus ditekan melalui PKP demi PKP yang secara umumnya disedari rakyat sebagai helah melindungi kuasa semata-mata.
Dulu ketika Agong setuju dengan proklamasi darurat, bukan main laju mulut menteri-menteri dan mereka yang menyokong kerajaan mengingatkan agar titah Raja jangan sesekali diderhakai.
Tetapi, kenapa sekarang apabila Agong bertitah agar Parlimen dibuka dengan segera dan secepat mungkin dan diulang sehingga tiga kali, titah baginda itu tidak dipatuhi?
Lebih buruk lagi, menteri daripada Pas yang konon berjuang atas nama Islam dan menjunjung kesetiaan kepada Raja, Takiyuddin Hassan setakat ini saja sudah dua kali menunjukkan perlakuan derhaka kepada titah Agong.
Pertama apabila beliau mengatakan titah Agong itu tidak perlu disegerakan kerana baginda tidak menyebut pun bila tarikh perlunya Sidang Parlimen diadakan dan kedua, bila menegaskan Sidang Parlimen hanya boleh diadakan selepas tempoh berakhir pada 1 Ogos depan.
Ternampak pemimpin dalam kerajaan ini cuba sedaya upaya memutar-belit titah Agong demi melindungi keseronokan untuk terus kekal memegang jawatan bergaji lumayan yang sedang dipegang dalam kerajaan sekarang.
Kalau titah Agong pun boleh tidak dipedulikan, nasib dan sengsara rakyat tentulah lebih mudah mereka persetankan begitu saja.
Sebab itu, segala bantuan, moratorium, pengeluaran wang KWSP dan sebagainya, ia hanya dilaksanakan setelah berbuih mulut rakyat bersuara dan menuntutnya demi meneruskan kelangsungan hidup.
Sebuah kerajaan dan Perdana Menteri yang prihatin kepada rakyat tidak sama sekali seperti yang PN dan Mahiaddin tunjukkan selama ini kerana keprihatinan seharusnya ditunjukkan sebelum kesusahan menjelma, bukan setelah ramai yang mati dan bunuh diri.
Apa yang Mahiaddin utamakan hanyalah semata-mata untuk melindungi kuasa dalam tangannya daripada beralih kepada orang lain, meski seluruh dunia tahu beliau tidak memiliki keabsahan itu.
Kadang-kadang kita hairan memikirkan bagaimana Mahiaddin yang datang daripada keluarga beragama, aruah ayahnya seorang tokoh agama yang disegani, tetapi boleh memiliki kulit muka yang sangat tebal dan seolah-olah tiada langsung rasa malu dalam dirinya lantaran masih cuba bergayut pada jawatan yang diketahui memang tiada keabsahan dimilikinya.
Sudahlah berkuasa tanpa keabsahan, tindakan demi tindakan yang dilakukan pula sentiasa saja menyusah dan membebankan rakyat.
Dalam masa yang sama, menteri-menteri yang ada dalam kerajaan PN juga seperti sudah tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.
Apa saja yang Mahiaddin lakukan, semuanya seolah-olah dipersetujui semuanya sama ada dengan cara mereka menyokongnya secara terbuka atau melalui tindakan berdiam diri demi melindungi nikmat jawatan masing-masing.
Susah dan derita rakyat, ramai yang menangis tiada makanan, tertekan kerana hilang pendapatan serta tiada wang dan disertai ada saja kes membunuh diri setiap hari, langsung tidak mendapat perhatian daripada menteri-menteri tak berguna itu.
Yang mereka tahu ialah menambah-susahkan lagi masa depan rakyat dengan mempermudahkan syarikat peminjam wang berlesen atau ah long untuk beroperasi mengambil kesempatan di waktu poket semua orang dalam kesempitan.
Selebihnya, yang kita nampak juga menteri dalam PN ini tak habis-habis membodek dan mengampu Mahiaddin seolah-olah beliaulah maharaja paling berkuasa.
Secara mudahnya, selain Mahiaddin yang ketara menyusahkan dan tidak memberi apa-apa kesejahteraan kepada kita sebagai rakyat, yang turut membawa kesusahan juga ialah menteri-menteri yang tidak berfungsi dan sebahagian besarnya cuma seronok makan gaji buta.
Gaji dan elaun lumayan yang mereka terima setiap bukan bukannya digunakan untuk memikir sesuatu yang mampu memberi faedah kepada rakyat, tetapi lebih untuk mengekalkan kuasa Mahiaddin berkuasa semata-mata.
Akhirnya, lagi lama beliau berkuasa, lagi sengsara hidup kita semua.
Dalam isu di mana Agong bertitah sampai tiga kali mahu Parlimen bersidang segera, langsung tiada suara menteri-menteri yang bersuara menyokong baginda atau bercakap secara terbuka perlunya Mahiaddin akur dengan titah tersebut.
Untuk itu, kiranya kerajaan tidak bertukar tangan dalam waktu terdekat ini dan kita terpaksa membuat pilihan melalui PRU, tiada pilihan yang harus kita lakukan melainkan mengharamkan jari kita daripada mengundi lagi mereka yang berjawatan dalam kerajaan sekarang.
Tidak kira daripada parti mana asal mereka, menteri-menteri yang bersubahat dalam mempertahankan Mahiaddin dan melindungi ketidakabsahannya, mereka adalah pengkhianat yang tidak harus dimaafkan untuk diberi peluang menunggang kuasa lagi.
Mereka khianat dan derhaka kepada Raja dan khianat juga dalam memberi khidmat yang sepatutnya kepada rakyat sebagaimana sumpah jawatan di depan Agong.
Peringatan khusus untuk Mahiaddin, jika Najib Razak bersama kerajaan BN telah berjaya ditumbangkan dalam PRU14 lalu, beliau juga tidak mustahil mampu diciptakan sejarah sebagai Perdana Menteri yang bukan saja tumbang bersama kerajaan PNnya, tetapi juga dikecundangkan di kawasan Parlimen Pagoh yang akan ditandinginya.
(ShahbudinHusin 29/06/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/06/haramkan-tangan-kita-daripada-terus.html