Haqiem Rusli Kian Menjadi
BUKAN sahaja cemerlang dalam bidang nyanyian, tapi pemilik nama Haqiem Rusli, 22, turut menyerlah dalam penciptaan lagu.
Selepas mempertaruhkan single Jatuh Bangun dua tahun lalu, bakat anak muda ini terus menjadi rebutan beberapa penyanyi untuk menyanyikan karya ciptaannya.
Malah, tidak dinafikan lagi sentuhan Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli meninggalkan impak tersendiri buat peminat dan pencinta muzik tempatan.
Ia sekali gus menjadikan Haqiem antara penyanyi dan komposer muda yang mampu membina empayar muzik tersendiri.
Terbaharu, Haqiem disambar penerbit terkenal, Datuk A Aida untuk menyanyi dan menghasilkan lagu, Dia sebagai lagu tema bagi drama Bidadari Salju yang bakal ditayangkan di slot Akasia TV3, bulan depan.
Kepercayaan yang diberikan Aida itu dianggap satu penghormatan buat dirinya selain menyifatkan ia satu rezeki.
"Verse lagu ini sudah lama disiapkan iaitu dalam dua bulan lalu. Tapi, apabila mendapat tawaran daripada Datuk A Aida, saya terus siapkan bahagian korus dan siap dalam masa sehari saja.
"Selepas siap, saya terus hantar kepadanya dan menghubungi Sharon Paul untuk gubahan muzik. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Apatah lagi drama bakal ditayangakan bulan depan. Jadi, tak ambil masa pun nak siapkan. Dalam erti kata lain, lagu ini dibuat khas untuk drama ini.
"Diberi kepercayaan untuk menghasilkan lagu khas untuk drama adalah satu penghargaan buat saya. Dalam masa sama, ia juga satu pengharapan untuk semua orang. Insya Allah, saya sudah buat yang terbaik," katanya.
Menariknya, Dia juga karya pertama Haqiem bekerjasama dengan Aida dalam menghasilkan melodi dan lirik.
"Selalunya saya bekerjasama dengan kompser sama dalam lagu-lagu sebelum ini. Tapi, untuk lagu ini saya keluar dari zon kebiasaan. Ini pertama kali bekerjasama dengan Datuk. Saya menganggap ini peluang terbaik dapat bekerja dengan bukan calang orang yang akan membantu karya saya dan dia juga. Ini peluang keemasan bagi saya.
"Diakui pada mulanya saya ingatkan Datuk seorang yang garang. Tapi, apabila berjumpa pada sesi rakaman, jangkaan saya meleset. Dia seorang yang 'happening'. Kami boleh 'ngam' dan sekepala," katanya.
Haqiem berkongsi, selepas lagu Dia bakal menanti satu lagi projek bersama Aida juga menerusi drama yang bakal ditayangkan di slot Akasia tahun depan.
Perancangan masa depan
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilihat memberi kesan kepada penyanyi.
Namun, bagi Haqiem yang mempunyai pendapatan lain iaitu selaku komposer dan ahli perniagaan, perkara itu mungkin tidak terlalu membebankan dirinya.
"Kalau saya tak ada pendapatan lain pun, saya tetap akan cari sumber lain. Dulu pun sebelum menjadi artis saya bekerja di kedai ais krim dan 'call centre'. Saya †pula jenis tak boleh duduk rumah. Tak kisahlah gaji tu berapa, kalau RM700 sebulan pun saya akan buat. Semuanya demi keluarga dan adik.
"Sebab saya jenis yang kerja keras, apa saja depan mata saya akan buat. Tetap akan cari jalan untuk tampung hidup. Sebab itu, perniagaan kedai makan yang dibuka antara perancangan masa depan saya.
"Bagi saya, dalam industri ini takkan selamanya berada di atas. Sebab akan ada lagi orang baru. Cuma tinggal lagi macam mana nak kekal seperti Datuk Jamal Abdillah dan penyanyi lain. Itu yang diharap.
"Kalau nanti umur saya sudah 40 tahun, 50 tahun, saya masih lagi boleh cari duit dalam bidang ini. Kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang. Mungkin nanti dah tak ada orang nak dengar lagu kita, tiada tawaran menyanyi dan nama tidak disebut lagi. Sekurang-kurangnya kita ada perniagaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Haqiem berkata, dia juga akan muncul dengan lagu hasil kerjasama bersama Hael Husaini dan Naim Daniel.
"Insya-Allah, tahun ini atau tahun depan akan ada kerjasama bersama Hael Husaini dan Naim Daniel. Kalau sebelum ini saya setiap tahun satu lagu, tapi apabila ada permintaan saya buat. Nati lagu-lagu ini saya boleh muatkan dalam album.
"Selain itu, lagu ciptaan saya yang baru keluar adalah lagu adik saya, Zali Rusli. Selepas ini ada lagu dariada Lah Ahmad pula berjudul Sejarah, Haziq Putra Band dan Adzrin Big Stage. Untuk penyanyi wanita, belum lagi," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/10/haqiem-rusli-kian-menjadi.html