Hakim Khan Melodi Pop Lirik Balada
IKHLAS dalam berkarya dan percaya kepada rezeki menjadi prinsip penyanyi remaja, Hakim Khan apabila terbabit dalam industri muzik tanah air.
Bermula dengan bergerak solo pada 2016, Hakim Khan, 20, atau nama sebenar Muhammad Al Hakim Khan Farrukh Hadi memanjatkan kesyukuran apabila bakat nyanyiannya mendapat perhatian syarikat rakaman 17 Eleven Music.
Penyanyi berdarah kacukan India di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibu itu bertuah apabila sudah merakamkan single pertama di bawah syarikat rakaman dinaunginya berjudul Emoji Hati yang dilancarkan secara rasmi sekitar Mac lalu.
Biarpun lagu Emoji Hati itu adalah karya single ketiganya, Hakim Khan yakin dan optimis tuah akan berpihak pada dirinya asal sahaja niat dan perjuangan untuk terus melangkah dalam industri tidak tersasar.
Malah, dua single pernah dihasilkan sebelum ini kurang yang mendapat tempat iaitu Kau Mampu (2016) dan Terus Cuba menampilkan Mimi Fly (2018) menjadi pengalaman berharga buatnya untuk terus mencuba tanpa mengenal erti putus asa.
"Saya minat muzik sejak kecil. Bagi segelintir pihak, seseorang penyanyi itu berjaya dalam industri nak nampak menjadi jika lagu dan muzik video mencecah jutaan tontonan, masuk carta lagu di radio atau menang Anugerah Juara Lagu.
"Tapi, bagi saya rezeki itu akan datang kalau buat muzik dengan iklas. Pendek kata, kena ada niat yang betul dan bukan masuk industri untuk nak kejar popular semata-mata.
"Macam saya, sejak 2013 sudah cuba menempatkan diri dalam bidang ini. Saya pernah menyertai uji bakat program Idola Kecil, tapi tidak terpilih. Seterusnya pada 2014, saya cuba masuk program Ceria Pop Star pula dan gagal juga. Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba.
"Akhirnya, pada 2016 saya ditawarkan untuk merakamkan single oleh seorang komposer yang juga kawan ibu saya iaitu Aidil AF3. Dari situ, bermula perjalanan saya sebagai penyanyi. Mungkin sepanjang lima tahun ini orang masih tidak mengenali saya, tapi tidak mengapa kerana semua ini adalah proses untuk belajar," katanya.
Jika single pertama bergenre pop dan kedua pula balada, bagi single Emoji Hati ini Hakim Khan memilih untuk menggabungkan kedua-dua genre itu.
"Kecenderungan saya lebih kepada muzik rancak atau pop. Dalam masa sama, saya suka juga karya lagu jiwang atau cinta. Jadi, untuk projek ini, saya terfikir kenapa tidak gabungkan keduanya dalam Emoji Hati yang mana melodinya adalah pop dan lirik pula lebih kepada balada.
"Alhamdulillah, walaupun lagu ini belum dikenali secara meluas, saya bersyukur dengan sambutan diterima di platform digital dan YouTube. Saya faham, dalam keadaan pandemik Covid-19, ia sedikit sebanyak menyukarkan aktiviti promosi di radio dan TV. Tapi, saya percaya dengan strategi dan perancangan yang diatur pihak 17 Eleven Music.
"Dalam masa sama, saya juga tetap giat mempromosikan lagu Emoji Hati ini di laman sosial peribadi. Pada tahap ini, saya tetap bersyukur dan menyifatkan ia sesuatu yang baik," katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu ciptaan Shazee Ishak dan lirik oleh Raja Muizuddin Shah itu, Hakim Khan berkata, ia bersifat menyeluruh dan tidak ada kaitan dengan dirinya.
"Lagu ini mengisahkan bagaimana hubungan cinta seorang lelaki dengan wanita yang tergantung disebabkan sikap wanita itu gemar bermain tarik tali. Lagu ini secara menyeluruh dan bukan mengenai saya.
"Secara peribadi, saya pernah bercinta, tapi sekarang sudah solo dan memang nak fokus pada muzik dan kerjaya seni," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hakim Khan yang juga anak jati Kuala Lumpur berkongsi dia mendapat sokongan penuh daripada kedua-dua ibu bapanya.
"Ibu bapa sokong saya menjadi penyanyi. Ayah memang minat muzik juga, tapi dia tiada peluang nak jadi penyanyi. Apabila saya dapat peluang ini, kiranya saya macam teruskan cita-cita ayah.
"Ibu bapa juga selalu nasihat dan pesan supaya sentiasa merendah diri, hormat orang dan lebih penting jangan putus asa. Saya kena percaya pada proses yang mana jangan mengalah kerana semua bergantung rezeki," katanya menjadikan Faizal Tahir sebagai inspirasi dalam berkarya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2021/04/hakim-khan-melodi-pop-lirik-balada.html