Gunung Guntur Via Seureuhjawa Citiis
Saya dan seorang teman pendaki sampai di Garut sekitar jam 22:05 malam setelah selesai mendaki Gunung Gede dan Pangrango. Di Garut kami menyewa sebuah kereta bersama pemandu untuk memudahkan pergerakkan kami di sana. Kami merancang mendaki tiga gunung di Garut iaitu Gunung Guntur, Cikuray dan Papandayan. Setelah membeli makanan untuk makan malam, pemandu membawa kami ke Basecamp Villa Guntur Sari untuk bermalam. Basecamp Villa Guntur Sari ini selesa, terdapat banyak kemudahan seperti gerai makan, surau, bilik air dan tapak pakir kenderaan yang selamat. Petugas juga ramah. Rekomen dan dicadangkan bermalam di sini.
Keesokkan paginya kami memulakan trekking ke Gunung Guntur sekitar jam 06:10 pagi. Petugas di Basecamp Villa Sari menunjukkan arah dan menerangkan serba sedikit perjalanan menuju Puncak Guntur kepada kami memandangkan kami berdua mendaki tanpa guide. Di awal perjalanan, kami trekking di jalur rata yang digunakan oleh lori perlombongan pasir. Terdapat banyak simpang dan penanda arah kurang diletakkan di simpang-simpang tersebut, menyebabkan kami sedikit sangsi dan curiga. Kami sering bertanya kepada penduduk setempat yang kami jumpa untuk memastikan arah betul untuk ke Gunung Guntur.
Kami sampai di Pos 1 pada jam 07:30 pagi. Terdapat gerai, surau ,tandas, bangku dan tempat berehat dibina dari buluh di sini. Tempat berehat juga boleh dijadikan tempat bermalam dan menurut peniaga di sini, pendaki boleh tidur percuma. Kami berehat selama 20 minit dan melaporkan diri di Pondok Pengawal Pos 1 sebelum meneruskan pendakian.
Dari Pos 1 menuju Pos 2, kami melalui kawasan hutan dan trek agak menegak. Jalur pendakian ke Pos 2 memaksa kami memerah keringat mendaki bongkah batu-batu yang agak besar. Sepanjang trek pendakian kami mendengar percikan air terjun dan kami melintasi anak sungai, terdapat gerai dan tandas di kawasan air terjun ini. Kami meneruskan pendakian dan sampai di Pos 2 pada jam 08:25 pagi. Kawasan Pos 2 agak kecil, cuma sesuai untuk berehat menghilangkan lelah.
Trek menuju ke Pos 3 juga masih menegak sekitar 70 darjah pada pandangan saya. Kami sampai di Pos 3 pada jam 09:20 pagi. Pos 3 adalah tempat paling sesuai jika pendaki ingin bermalam. Terdapat tapak khemah yang luas dan bersih kerana pihak petugas menjaga kawasan ini. Selain itu, tersedia kemudahan seperti surau, tandas dan pos pengawal. Perkhimatan sewa peralatan berkhemah juga terdapat di sini.
Kami melaporkan diri sekali lagi di Pos 3 sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Guntur. Gunung Guntur mempunyai 4 puncak. Kami meneruskan pendaki ke Puncak 1 dan jalur pendakian menuju ke puncak 1 tidak saya duga. Trek ke puncak 1, jalurnya mengimbau keperitan dan kesukaran semasa saya mendaki Gunung Semeru dan Rinjani. Trek pasir gelonsor benar-benar menguji kesabaran.
Saya banyak menghabiskan masa berehat semasa menuju Puncak 1 ini. Trek pasir batu kerikir yang mengelonsor melelahkan tambahan pula kabus tebal yang menyelimuti pemandangan atas dan bawah gunung sedikit melunturkan semangat mendaki saya. Kami sampai di Puncak 1 Gunung Guntur pada jam 13:00 petang. Setelah berehat seketika dan tiada pemandangan yang dapat dilihat, teman pendaki saya mengajak saya ke Puncak 2.
Trek menuju Puncak 2 Gunung Guntur agak jauh, kami menyusuri trek padang savana yang luas dan cantik, sayangnya pemandangan terhad kerana kabus agak tebal. Kami sampai di Puncak 2 sekitar jam 13:30 petang. Terdapat batu penanda GPS di Puncak 2 ini. Di sinilah penanda ketinggian Gunung Guntur 2249 mdpl dan kami merakam gambar sebentar sebelum meneruskan pendakian ke Puncak 3.
Kami sampai di Puncak 3 pada jam 13:45 petang. Tiada penanda di Puncak 3. Dari sini kami melihat Puncak 4 di hadapan. Kelihatan Puncak 4 lebih tinggi dari kesemua Puncak Guntur. Kami bergerak ke Puncak 4 dan sampai di sana sekitar jam 14:00 petang.
Frust dan sedikit kecewa. Tidak ada papan penanda ketinggian di Puncak 4 ini walaupun Puncak 4 ini lebih tinggi dari Puncak 2. Ada beberapa batang kayu terkumpul seperti baki unggun api di kawasan lapang di Puncak 4 dan kawah gunung pula terletak di bawah. Setelah merakam beberapa keping gambar di Puncak 4, kami bergerak pulang ke Puncak 2.
Saya merakam sekali lagi gambar di Puncak 2 setibanya di sana sambil mengambil sedikit masa untuk berehat. Kerana kabus tidak menunjukkan sebarang tanda untk berkurang kami bergerak ke Puncak 1 dan meneruskan perjalanan turun ke Pos 3 tanpa berehat. Proses perjalanan turun agak mudah dengan menggunakan teknik menahan diri mengelonsor ke bawah dengan menggunakan tumit kaki.
Kami sampai semula di Pos 3 sekitar jam 16:40 petang. Pengawal Pos 3 mengucapkan tahniah sambil ketawa-ketawa bila mendapat tahu kami sampai di Puncak 4 yang tiada penanda bila saya mengadu tentang perkara tersebut. Kami kemudian meneruskan perjalanan turun ke Pos 1 dan sampai di sana sekitar jam 17:30 petang. Kami berehat sambil minum dan makan gorengan di salah sebuah gerai di Pos 1. Sambil bersembang dengan peniaga tersebut, kami bertanya seandainya terdapat perkhimatan Ojek untuk menjimatkan masa kami ke basecamp. Anak peniaga gerai mencarikan Ojek untuk kami dan kami sampai kembali di Basecamp Villa Sari pada jam 18:10 petang. Setelah berehat dan bercerita dengan petugas basecamp, kami bersedia meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Cikuray. Sebelum kami berangkat, pihak basecamp menyerahkan sijil penghargaan.
Gunung Guntur terkenal dengan bunga lalang berwarna kemerahan pada musim ia berbunga, malangnya saya tidak dimurahkan rezki untuk melihat pemandangan indah itu kali ini. Mungkin ada peluang dipendakian masa akan datang. Terima kasih Allah.
Nota:
1- Pendakian Gunung Guntur memerlukan pakaian yang sesuai terutama kasut.
2- Jalur mengelonsor memerlukan tenaga dan masa yang mencukupi untuk pendakian pergi pulang.
3- Contact pengangkutan : Kang Yodi +62 81321255763.
Itinerary:
2205- Sampai Garut, bermalam di Basecamp Villa Guntur Sari.
Day 4 (xpdc Jawa Barat)
06:10- Start mendaki Gunung Guntur dari Basecamp Villa Guntur Sari.
07:30- Pos 1, rehat 20 minit.
08:25- Pos 2
09:20- Pos 3
13-00- Puncak 1
13:30- Puncak 2
13:45- Puncak 3
14:00- Puncak 4
14:30- Start turun ke Pos 3
16:10- Pos 3
18:10 Basecamp Villa Guntur Sari.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://jalankegunung.blogspot.com/2019/08/gunung-guntur-via-seureuhjawa-citiis.html