Guan Eng Paling Kuat Lawan Judi Kata Mat Sabu
RAMAI orang tidak tahu bahawa Lim Guan Eng merupakan menteri paling lantang menentang amalan perjudian, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai persepsi ke atas DAP dan menteri kewangan itu, serta hubungan antara parti dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Dalam wawancara dengan Berita Harian, Mohamad menafikan DAP menguasai mesyuarat Kabinet, dan menjelaskan Dr Mahathir menguruskan mesyuarat dalam keadaan demokratik.
Katanya, dalam mesyuarat itu, perdana menteri mendengar pandangan semua menteri, termasuk Lim yang lantang menyuarakan bantahan dalam isu penambahan lesen judi.
“Perdana menteri berkuasa dan mendengar pandangan, macam (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng, orang paling kuat lawan judi dalam Kabinet. Banyak orang tak tahu.
“(Menteri Melayu) memang bersuara, saya nak menyebut orang Melayu sungguh pun tak suka lesen judi yang ditambah, tapi yang kuat sekali melawan judi adalah Lim Guan Eng.
“Tapi dia dituduh macam-macam, saya rasa ini biasa,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar tersebut.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata Dr Mahathir menguruskan mesyuarat Kabinet mengikut keputusan majoriti.
“Dia (Dr Mahathir) memberi ruang untuk bercakap, kalau PM hanya bercakap sehala maka mesyuarat Kabinet hanya 30 minit sajalah, tapi mesyuarat empat jam.
“Percanggahan pendapat berlaku sangat panas, PM dengan kami semua. PM adalah seorang yang demokratik dan mengikut majoriti, dia bukan diktator,” kata Mohamad.
Mohamad turut menjelaskan, perbezaan pendapat dalam PH adalah perkara biasa namun hubungan di antara pemimpinnya tetap kukuh.
Beliau sekali lagi menangkis dakwaan bahawa kalangan pemimpin tersebut cuba melancarkan usul tidak percaya ke atas Dr Mahathir.
“Saya tak percaya ia datang daripada kami, tak pernah dengar ia datang daripada kami dan ia adalah daripada orang lain. Memang dalam politik perbezaan pandangan adalah perkara biasa.
“Tapi hubungan kami dalam PH masih kuat. Antaranya kita bincang strategi jangka pendek dan panjang untuk hadapi serangan Melayu Islam yang direka pihak lawan,” kata Mohamad.
Dakwaan mengenai usul undi tidak percaya ke atas perdana menteri itu ditimbulkan pemimpin PAS sejak awal bulan ini dan sudah pun dinafikan pemimpin parti dalam PH.
Beliau berkata pembangkang berhak bangkitkan kegagalan kerajaan menunaikan janji pilihan raya tetapi tidak boleh menyerang dengan menyebar berita palsu mengenai isu kaum dan agama.
“Bagi saya itu hak mereka nak cakap tapi yang saya tak setuju berita palsu dan rekaan. Kalau serangan kelemahan kerajaan dan tak mampu tunaikan lagi, maka seranglah,” katanya. – 11 Mac, 2019.
Sumber: cempedakcheese.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/03/guan-eng-paling-kuat-lawan-judi-kata.html