Guan Eng Hendak Apa Sebenarnya
Lim Guan Eng seperti ada sesuatu yang tidak berpuas hati dengan Anwar Ibrahim? Kenapa? Dalam saat PH hendak menghadapi Pirane Melaka berturut-turut Setiausaha Agung DAP itu membuat onar menunjukkan wajah kurang senang dengan Anwar?
Pertentangan pendapat bermula apabila Anwar bersetuju dengan tindakan dua Adun Umno dua Adun bebas Melaka menarik diri daripada menyokong kerajaan BN bagi membolehkan kerajaan PH dibentuk. Dari itu marah Guan Eng membawa kepada enggan menerima keempat Adun itu menyertai PH. Kemarahan itu dipamerkan dengan DAP mengumum calon bersendirian dan memisahkan diri daripada PH.
Tindakan Guan Eng itu berdasarkan prinsip moral konon. Bila masa Guan Eng pejuang moral dalam demokrasi? Ikhlas ditanya kalau projek hendak bentuk kerajaan tempoh hari berjaya apakah Guan Eng kekal dengan pendiriannya tidak menyokong? Jika beliau benar menjaga moral sepatutnya ketika itu Guan Eng sudah menyatakan sikap dan pendiriannya. Menolak rancangan itu. Tetapi kenapa senyap?
Kalau dia nyatakan pendiriannya ketika itu baru dia dilihat pejuang moral yang sebenarnya. Bukan berdolak dalih dan oportunis.
Dari tilikan saya rasa kurang senang Guan Eng kepada Anwar bukan bertolak daripada isu menerima dua daripada Adun berkenaan bertanding di bawah PH, tetapi ia berlaku awal lagi. Mungkin timbul rasa kurang percaya itu apabila Anwar gagal dalam projek mencari nombor untuk guling kerajaan. Dan apakah kalau Anwar berjaya mendapat nombor dan jadi PM, Guan Eng akan protes atau ikut bersama dalam kerajaan?
Lagi sekali sepatutnya Guan Eng menyatakan sikapnya ketika itu. Bukan selepas sama-sama hendak tangkap pelanduk bila tidak dapat menyalahkan antara satu sama lain, berdalih dan mencari helah baru berkata aku tidak makan pelanduk dan sebagainya.
Hari ini Guan Eng terus "menyerang" Anwar dengan memberi peringatan agar tidak mengulangi kesilapan sekali lagi. Guan Eng memberi bayangan semacam Anwar (Keadilan) ingin menonjolkan Idris Haron sebagai ketua menteri Melaka apabila memberi laluan kepada bekas ketua menteri itu bertanding.
Dan untuk menarik hati Amanah, Guan Eng minta agar umumkan Azly Zahry sebagai bakal ketua menteri Melaka. Perkara ini saya kira sengaja "diselehenkan" Guan Eng. Beliau tidak pun patut mempersoalkan tentang Adzly itu. Jika beliau masih menghormati kepada hierarki dalam parti, kedudukan dan peluang Azly sebagai ketua menteri tidak perlu dipersoalkan kerana beliau adalah Pengerusi PH Melaka, bukannya sesiapa. Jika PH menang tentulah Azly lebih afdal menjadi ketua menteri.
Saya sedang mencungkil apakah yang sebenarnya dicari oleh Guan Eng yang kini sudah berada dihujung kekuasaanya dalam DAP sebagai Setiausaha Agung. Dia ini semacam sengaja cari gaduh kerana hendak mengejar bayang-bayang yang jauh. Mungkin orang tidak nampak apa yang saya terbayang apa diperkirakan Lim Guan Eng dan DAP kini? Trims.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/11/guan-eng-hendak-apa-sebenarnya.html