Guan Eng Akui Dap Gagal Yakinkan Tun M Tutup Lynas
Wartawan MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                              

Lim Guan Eng 
KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Pas dan UMNO mengapi-apikan rasa  kebencian antara perkauman dan agama dalam kalangan orang Melayu  manakala MCA dan MIC juga didakwa melakukan perkara sama kepada bukan  Melayu.
 Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, tindakan yang dibuat  oleh Pas, UMNO, MCA dan MIC itu untuk mewujudkan kacau-bilau yang besar  agar dapat menamatkan riwayat Pakatan Harapan (PH).
 “Suatu contoh yang baik ialah apabila mantan Perdana Menteri, yang  juga Penasihat Kebangsaan BN, Datuk Seri Najib Razak mendakwa bahawa DAP  hari ini merupakan kingmaker dalam PH, di mana menteri-menteri  DAP (yang merupakan bukan Melayu, dan bukan Muslim) yang dilantik  menyebabkan peningkatan dalam ketegangan dalam kalangan orang Melayu.
 “Namun pada masa yang sama, Najib membidas dirinya sendiri apabila meminta DAP yang konon-kononnya kingmaker untuk  meletakkan jawatan kerana gagal untuk menutup kilang memproses nadir  bumi Lynas?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 Penipuan daripada Najib itu, didedahkan apabila DAP tidak berjaya  meyakinkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menutup  kilang memproses nadir bumi Lynas, kata Guan Eng.
 Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, DAP akan terus berusaha  meyakinkan Perdana Menteri untuk memahami keresahan sebenar yang dibuat  oleh pejuang alam sekitar.
Katanya, baik pihak pembangkang mahupun akhbar yang dikawal oleh  parti-parti itu tidak akan mengetengahkan kejayaan kerajaan PH yang  menggalakkan dalam mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9 peratus  pada suku kedua 2019 berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.
 Sedangkan, katanya, Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang telah  mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dalam suku kedua  berbanding suku pertama 2019.
 “Stereotaip ektremis perkauman dan keagamaan itu sebagaimana lazim  daripada pihak pembangkang, di mana mereka akan mendendangkan lagu yang  berlainan apabila menghadapi golongan bukan Melayu dan bukan Islam.
 “MCA atau MIC yang cuba menakutkan-takutkan tentang ekstremis kaum  dan agama yang membahayakan golongan bukan Melayu dan bukan Islam,  sedang bekerjasama secara erat dengan UMNO dan Pas yang mahu mengambil  hak-hak orang bukan Melayu dan bukan Islam.
 “Apakah Pas, UMNO, MCA, dan MIC percaya rakyat Malaysia tanpa mengira  kaum, agama, dan latar belakang, begitu mudah diperdaya sehingga akan  termakan kebencian etnik dan agama yang sedemikian, untuk mengalihkan  tumpuan daripada korupsi pembangkang, mahupun ketidakcekapan pengurusan  ekonomi mereka sehingga mereka tidak mampu membayar gaji  penjawat-penjawat awam?
 “Mimpi dan khayalan Pas, UMNO, MCA dan MIC untuk mengambil kembali  Kerajaan Persekutuan, dengan memainkan kebencian kaum dan agama, tidak  akan berjaya di ketika kerajaan PH komited untuk mengamalkan pendekatan  yang rasional dan moderat terhadap pembinaan negara, dan dalam mengurus  isu-isu panas,” ujarnya.
Tambahan lagi, kata Guan Eng, kerajaan PH komited untuk mendengar  suara rakyat termasuk pandangan-pandangan berbeza, walaupun keputusan  yang dibuat adalah untuk mencari alternatif lain yang lebih baik.
 Ini sebahagian daripada demokrasi dan pimpinan DAP akan terus  memainkan peranan aktif ke arah proses membuat keputusan lebih baik yang  akan menambahbaik demokrasi, kesihatan dan keselamatan awam, serta  taraf hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/guan-eng-akui-dap-gagal-yakinkan-tun-m.html