Golongan Tafsir Quran Ikut Keperluan Peribadi Perlu Di Tangani
KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dewasa ini wujud segelintir individu yang memberikan tafsiran al-Quran mengikut akal logik, semata-mata demi kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu.
Baginda bertitah, sehubungan itu ia perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan berlarutan, ia boleh meruntuhkan akidah, meruntuhkan institusi keluarga dan menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.
"Dengan demikian, kefahaman yang mendalam kepada tafsiran yang tepat disi kandungan al-Quran akan berupaya melahirkan masyarakat yang bertaqwa dan bahagia di dunia serta di akhirat.
"Justeru saya menyeru semua masjid di negeri ini untuk menjadi pemudahcara bagi menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam di Pahang.
"Mudah-mudahan umat Islam di negeri ini akan mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan dan pedoman kehidupan," titah baginda ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al Quran Peringkat negeri Pahang Kali-62 tahun 1440 Hijrah bertemakan 'Menyantuni Umat Membawa Rahmat' .
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak, dan Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
Menurut baginda, al-Quran juga merupakan sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan seharian sekali gus dapat membantu menangani pelbagai cabaran terhadap masalah akhlak serta moral masyarakat pada masa kini.
Sehubungan itu, umat Islam yang beriman kepada al-Quran wajib menjadikan kitab suci itu sebagai rujukan utama dalam kehidupan.
Baginda turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri Pahang serta semua yang terlibat dalam menjayakan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-62 selain turut mengucapkan tahniah kepada qari dan qariah yang akan mewakili Pahang dalam pertandingan peringkat kebangsaan nanti.
Pada majlis itu, baginda dan Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada hadiah kepada 30 qari dan qariah yang bertanding termasuk pemenang. #sumberhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2019/02/golongan-tafsir-al-quran-ikut-keperluan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29