Gejala Dan Punca Sakit Dada Sebelah Kanan
Adakah anda mengalami sakit dada sebelah kanan? Ia boleh berlaku disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan.
Walaupun sesetengahnya boleh diatasi dengan rawatan minimum, namun ia tidak boleh dipandang remeh.
Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Gejala
Bergantung kepada punca, tahap kesakitan di bahagian dada sebelah kanan serta kekerapannya mungkin berbeza.
Terdapat beberapa simptom atau gejala yang biasa dialami bagi individu yang sering mengadu kesakitan di bahagian tersebut antaranya :
Sakit dada ketika mengubah posisi tubuh
Sakit di dalam rongga dada atau belakang tulang dada
Rasa sakit yang tajam atau seakan mencucuk
Rasa sakit seperti ditekan
Sesak atau sakit dada ketika bernafas, terutamanya ketika berbaring
Punca Sakit Dada Sebelah Kanan
1. Radang Paru-Paru
Radang paru-paru atau pleuritis merupakan keradangan yang berlaku pada membran yang melapisi paru-paru. Keradangan ini biasanya disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria.
Antara simptom adalah sakit yang semakin teruk semasa bernafas secara mendalam atau batuk.
Meskipun ia boleh dirawat dengan pengambilan ubat antiradang, namun anda perlulah berjumpa dengan doktor sekiranya keadaan menjadi lebih serius.
2. Stres
Gangguan kecemasan (anxiety) atau stres merupakan salah satu punca terjadinya sakit dada di bahagian kanan.
Pesakit mungkin boleh merasai sensasi menyerupai serangan jantung dan biasa terjadi akibat trauma atau stres.
Keadaan boleh menyebabkan sakit dada di sebelah kanan atau kedua-duanya.
3. Batu Hempedu
Batu hempedu adalah kristal keras yang terbentuk di dalam hempedu dan boleh mengakibatkan rasa sakit yang mencucuk di bahagian kanan dada.
Rasa sakit ini juga boleh melarat sehingga ke bahu.
Antara punca bagi masalah ini adalah diet tinggi lemak serta obesiti.
4. Hepatitis
Keradangan hati atau hepatitis juga boleh menjadi punca kepada sakit dada sebelah kanan.
Perkara ini berlaku kerana kedudukan organ hati yang terletak di rongga dada kanan.
5. Refluks Asid
Refluks asid berlaku apabila asid perut mengalir semula ke dalam esofagus dan seterusnya mengakibatkan sakit dada di sebelah kiri atau kanan.
Antara punca yang menyebabkan refluks asid adalah diet yang tidak sesuai, tabiat merokok dan obesiti.
Pengambilan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup biasanya sudah memadai untuk mengatasi masalah ini.
Bagi mengelakkan kerosakan jangka panjang pada esofagus, anda digalakkan untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor terutamanya bagi kes refluks asid yang kerap berulang.
6. Kayap
Jangkitan virus Varicella zoster yang mengakibatkan kayap juga boleh menyebabkan ruam dan kesakitan pada bahagian dada.
Pengambilan ubat antiviral dan ubat penahan sakit biasanya mampu mengatasi masalah kegatalan kulit akibat kayap.
7. Kecederaan Dada
Sakit dada di bahagian kanan juga boleh terjadi kerana kecederaan atau gangguan pada otot serta tulang dada.
Gejala penyakit seperti keradangan tulang rawan atau patah tulang rusuk juga boleh menyebabkan rasa sakit di dada kanan.
8. Masalah Jantung
Meskipun jarang berlaku, namun masalah jantung seperti angina boleh mengakibatkan sakit dada sebelah kanan.
Penyakit berkaitan jantung juga adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan rawatan segera.
Bagi merawat masalah ini, doktor mungkin mengesyorkan pengambilan ubat khusus atau pembedahan.
Sekarang anda sudah tahu beberapa punca sakit dada sebelah kanan. Sekiranya sakit tersebut bertambah teruk dan berterusan, anda tidak boleh abaikan dan perlu mendapatkan bantuan perubatan segera.
Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya komplikasi kesihatan yang tidak diingini.
Sumber : Hello Doktor, halodoc.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/sakit-dada-sebelah-kanan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=sakit-dada-sebelah-kanan