Gajah Tahan Kereta Sebelum Mati Mengejut
BERPULUH pengguna jalan raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak, terpaksa memberhentikan kenderaan selepas mendapati seekor gajah seberat hampir lima tan menghalang laluan.
Tindakan `sekatan jalan raya’ itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dari kedua-dua hala berikutan kebimbangan orang ramai gajah itu akan mengamuk.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, gajah betina itu dikesan muncul di lokasi itu sekitar jam 4 petang, Ahad lalu.
Menurutnya, gajah betina itu didakwa enggan beredar masuk ke dalam hutan berhampiran dan berjalan di atas jalan raya.
“Seramai lima kakitangan PERHILITAN Gerik dan Ipoh, Perak yang menerima laporan segera menuju ke lokasi.
“Semasa berada di lokasi, anggota PERHILITAN mendapati gajah dewasa itu masih berada di lokasi dan berjalan terlalu perlahan,” katanya.
Menurutnya, anggota PERHILITAN kemudian memantau lalu lintas bagi mengelakkan kenderaan yang melalui kawasan itu terlanggar gajah berkenaan.
“Namun sekitar jam 8.30 malam, gajah itu tiba-tiba rebah dan terjatuh ke dalam longkang selepas usaha menghalangnya bergerak ke kawasan berkenaan gagal.
“Usaha membangunkan gajah berkenaan tidak berjaya dilakukan berikutan gajah itu didapati terlalu lemah,” katanya.
Beliau berkata, anggota PERHILITAN memantau gajah berkenaan sepanjang malam.
“Doktor veterinar yang dipanggil ke lokasi berkenaan pada jam 3 pagi segera membuat pemeriksaan selain memberikan suntikan multi-vitamin dan ubat tahan sakit kepada gajah itu.
“Namun gajah berkenaan tidak menunjukkan sebarang perubahan sepanjang pemantauan dijalankan,” katanya. Kadir berkata, gajah itu kemudian disahkan mati oleh doktor veterinar pada jam 10.35 pagi kelmarin.
“Pemeriksaan awal mendapati gusi gajah berkenaan mempunyai nanah dan terdapat ulser di lidah gajah berkenaan.
“Bedah siasat dijalankan dan sampel gajah itu diambil untuk dihantar ke makmal. Bangkai gajah itu yang selesai di bedah siasat kemudian ditanam pada jam 1 petang,” katanya.
Sumber: cempedakcheese.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/02/gajah-tahan-kereta-sebelum-mati-mengejut.html