Final Piala Fa 2006 Hampir Diganggu Oleh Siaran Doctor Who
Musim bola sepak England 2005/2006 menyaksikan kecemerlangan Chelsea sebagai juara liga, Manchester United menjulang Piala Liga dan Liverpool menjadi juara Piala FA selepas mengalahkan West Ham United menerusi sepakan penalti. Tetapi tidak ramai tahu saat pengurus Glasgow Rangers merangkap kapten The Reds Steven Gerrard menjulang trofi berkenaan hampir-hampir musnah kerana keinginan BBC hendak menyiarkan drama bersiri sains terkenal Doctor Who.
Sesiapa yang menonton perlawanan berkenaan pasti menyangka perlawanan ini akan memihak kepada Liverpool. Tetapi perkara sebaliknya yang berlaku dengan babak pertama menyaksikan pasukan bimbingan Alan Pardew ketika itu mendahului 2-1 hasil jaringan gol sendiri Jamie Carragher dan Dean Ashton dengan Djibril Cisse merapatkan jurang untuk Liverpool. Babak kedua dilihat sengit dengan Gerrard menjaringkan gol penyamaan pada minit 54 sebelum West Ham kembali di hadapan hasil jaringan bek kiri Paul Konchesky. Tetapi pada masa kecederaan, Gerrard menghancurkan harapan Hammers dengan menjaringkan gol ketiga Liverpool.
Tatkala kedua-dua pasukan terus bertarung sengit semasa masa tambahan, lain pula cerita di BBC. Seorang eksekutif BBC tidak sabar mahu menyiarkan bahagian pertama episod Doctor Who yang bertajuk ‘Rise of the Cybermen’ sehingga mengugut mahu menarik keluar siaran final itu. Namun, tindakan itu dapat dicium hos Match of the Day (MotM) merangkap bekas penyerang England Gary Lineker yang merayu kepada pengawal siaran BBC One agar siaran final diteruskan sehingga upacara penyampaian trofi. Ini didedahkan sendiri editor MotM Paul Armstrong dalam buku ‘Why Are We Always On Last?’.
Beliau bercerita, “Dengan masa tambahan berbaki beberapa minit dan dengan kedua-dua pasukan masih tercari-cari sentuhan penyudah untuk memecah kebuntuan, ada panggilan (dari rangkaian pengawal BBC1 di Pusat Televisyen).
‘Nampaknya ini bakal menuju ke sepakan penalti, ya?’ (nada menuduh)
‘Ya, nampaknya begitulah.’
‘Lepas tamat permainan, hentikan siaran.’
‘Er… bagaimana pula dengan upacara penyampaian trofi?’
‘Tak payah, tiada masa untuk semua itu.’
“Saya terpaku sekejap sehingga hampir hilang kata-kata. Kemudian saya menjawab, ‘Jika saya berada di tempat kamu, saya takkan lakukannya. Jika kamu lakukan juga, kamu akan dibuang kerja.”
Bagaimanapun, si eksekutif tetap berkeras dan meletakkan gagang telefon. Bagi produksi MotM, apa yang berlaku merupakan sesuatu yang tidak munasabah dan jika tindakan itu diteruskan hanya untuk memenuhi siaran Doctor Who, maka ini kali pertama bagi BBC terlepas upacara menjulang trofi berkenaan sejak ia disiarkan di BBC sejak tahun 1930-an. Perbualan produksi dengan si eksekutif berkenaan didengari Lineker dan beliau dengan segera menghantar mesej kepada pengawal BBC One, Peter Fincham.
Tatkala Hammers dan Reds bersedia mengambil sepakan penalti dengan produksi MotM bersedia memberontak dengan menolak permintaan eksekutif berkenaan, Armstrong menceritakan seorang eksekutif menghubungi mereka dan memberitahu dengan jelas siaran final akan tetap diteruskan sehinggalah produksi selesai menemubual pemain dan pengurus kedua-dua pasukan. Tindakan tersebut memberi kelegaan kepada produksi dan memberi peluang kepada peminat menonton saat Gerrard dan Reds meraikan kejuaraan Piala FA sejak kali terakhir memenanginya pada final 2001. Sementara West Ham pula terus melepas selepas kali terakhir memenangi piala berkenaan pada final 1980. Dan pada akhirnya, rating penonton BBC untuk final dan ‘Rise of the Cybermen’ amat memuaskan stesen televisyen berkenaan, sekaligus menjustifikasikan keputusan meneruskan siaran final.
Kita tidak tahu apa nasib eksekutif yang mencadangkan idea mengarut itu tetapi yang pasti jika ia tetap diteruskan, sudah pasti BBC akan dikecam habis-habisan seperti mana Sky Sports dan BT Sports beberapa minggu lepas. Mengapa saya kata sedemikian?
Beberapa minggu lepas, perlawanan Manchester City-Everton menjadi tumpuan kerana ia akan mempengaruhi perebutan gelaran liga musim ini. Tetapi bagi penonton di UK, mereka tidak dapat menontonnya kerana dua stesen di atas memilih untuk tidak menyiarkan perlawanan tersebut. Bagi mereka yang terpaksa membayar beratus-ratus paun untuk pakej perlawanan bola sepak, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.
SUMBER
1. Walters, Mike. (2019). Daily Mirror. The day Liverpool lifting the FA Cup was almost knocked off TV – by Doctor Who. http://bit.ly/2SdyXW0
2. Salt, Nathan. (2019). Daily Mail. You pay your Sky and BT subscriptions and still can’t get to watch’: Football fans left seething at not being able to watch Manchester City’s trip to Everton on television. https://dailym.ai/2SD0X4y
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://thetrendingnow.blogspot.com/2019/02/final-piala-fa-2006-hampir-diganggu.html