Enigma Bernama Tengku Zafrul
Pintar, tajam dan bijak bertutur-kata mungkin menyerlahkan sisi sebenar Tengku Zafrul Aziz yang tidak pun berpura-pura mengenakan topeng seorang ahli politik di sebalik imej teknokratnya. Barangkali itu yang mendorong menteri pelaburan, perdagangan dan industri ini mudah disalah ertikan hingga ada yang memandang kerdil kehadirannya dalam arus politik perdana.
“Menteri yang sangat cerdas, malangnya tidak kuat dari segi politik,” ulas @bobmalek selepas satu temu bualnya yang tersiar pada Rabu sambil @cheehoecheek119 menokok, “Anda tidak bagus dalam politik, dude,” sebagai menyerlahkan persepsi sesetengah orang mungkin berdasarkan apa yang mereka dengar atau baca tanpa mengenali susuk dalam Jemaah Menteri diketuai Anwar Ibrahim ini.
Dalam pada itu, ada ramai yang memuji ketrampilan bekas tokoh korporat daripada bidang perbankan berusia 51 tahun itu yang berkelulusan dari University of Bristol (BSc Ekonomi dan Perakaunan), University of Exeter (MA Kewangan dan Pengurusan) dan Universiti Tsinghua (MBA) itu.
“TZ adalah aset dalam politik Malaysia yang memiliki potensi untuk memimpin Umno ke peringkat paling gemilangnya semula dengan kumpulan pimpinan muda cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan. Harap-harap beliau akan kekal bersama Umno untuk memimpinnya pada suatu hari nanti,” komen @AbdRashid-j8k.
“TZ telah meningkat menjadi seorang menteri berpengalaman merentasi tiga pentadbiran berbeza. Portfolionya ketika ini sangat sesuai dengannya. Adalah malang tempohnya akan berakhir pada Disember. Beliau harus teruskan perjalanan politiknya dan berkhidmat untuk Malaysia,” tambah @Hilmi Fox6263 pula.
Sudah tentu Hilmi merujuk kepada tempoh Tengku Zafrul sebagai senator akan tamat penghujung tahun ini dan tidak boleh disambung lagi, lantas tidak memberinya pilihan selain terpaksa berundur sebagai menteri.
“Dalam politik Malaysia, jika anda mahu berkhidmat sebagai menteri dan jika anda bukan ahli Dewan Rakyat, dan dalam soal ini ahli Dewan Negara, anda hanya ada dua penggal maksimum selama enam tahun. Jadi saya akan menamatkan penggal enam tahun itu pada pertengahan Disember nanti.
“Saya perlu berundur sebagai menteri. Selepas itu saya belum fikirkan apa yang akan saya lakukan tapi untuk menjawab soalan anda, ya tempoh saya sebagai menteri akan tamat pada Disember,” katanya dalam temu bual The Breakfast Grille melalui siaran Radio BFM pagi kelmarin yang videonya dimuat naik di YouTube.
Diasak oleh pengacara Wong Shou Ning mengenai perkara itu, Tengku Zafrul sempat berjenaka bahawa undangan kepadanya untuk temu bual itu lebih berkisar kepada impak tarif, kolaborasi dan persaingan dengan negara ASEAN, dan kemajuan perjanjian perdagangan bebas Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) tetapi menular kepada isu masa depan politiknya sendiri.
“Lain kali jangan namakan rancangan ini Breakfast Grille (tapi) panggil ia Breakfast Torture (Seksaan Sarapan),” jawabnya.
Berbalik kepada soalan lanjutan sama ada beliau sedia mempertimbangkan tawaran daripada Umno atau PKR untuk bertanding dalam pilihan raya kecil – yang jika dimenanginya tidak perlu berhenti sebagai menteri – ini jawapan Tengku Zafrul: “Tidak. Saya tidak akan terima tawaran seperti itu. Pada saya, sejujurnya, rakyat tidak gemar untuk diadakan PRK hanya untuk seseorang seperti saya.
“Maksud saya seorang di peringkat saya. Saya bukan seorang ahli politik kanan, saya bukan seorang yang senior dalam mana-mana parti untuk diberi laluan. Itu akan memerlukan belanja, masa dan pelbagai sumber daripada kerajaan dan ia bukan sesuatu yang sangat produktif.
“Saya lebih memilih untuk menyumbang dengan cara lain bagi tempoh satu setengah atau dua tahun (sehingga PRU16) apabila saya tidak lagi jadi menteri kerana PRU perlu diadakan dalam tempoh lima tahun.”
Jadi anda akan kembali ketika itu?
“Saya tidak akan berhenti daripada politik,” jawabnya yang disusuli satu soalan sama ada beliau akan berasakan peralihannya daripada teknokrat kepada ahli politik akan lengkap pada waktu itu.
“Ya benar, (peralihan itu) akan lengkap. Saya hanya mahu berkhidmat. Jika saya ada peluang untuk berkhidmat, saya mahu terus menyumbang,” kata Tengku Zafrul lagi.
Temu bual itu harus tidak lengkap tanpa ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno dicungkil pendapatnya mengenai keretakan yang didakwa berlaku dalam Umno Selangor yang membawa kepada peletakan jawatan selaku bendaharinya pada April tahun lalu.
“Wow, ingatan anda (Wong) sangat bagus. Saya harus akui ada cabaran dalam Umno Selangor dan ada perkara-perkara yang patut dilakukan dengan lebih baik. Pada pandangan saya, ada banyak ruang penambahbaikan tapi saya tidak patut bercakap mengenainya secara terbuka,” katanya.
FMT dalam laporannya pada 13 Dis lalu memetik sumber-sumber dalaman Umno Selangor sebagai mendedahkan rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan Umno untuk menyertai PKR. Antara lain ura-ura perpindahan itu dikatakan akan membolehkannya memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran dan kemajuan ekonomi Selangor.
Spekulasi penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR — Anwar selaku presiden parti turut mengesahkan ada perbincangan awal — didakwa berkait perubahan tampuk pemerintahan Selangor diketuai Naib Presiden Amirudin Shari yang dikatakan perlu berkhidmat dengan kerajaan persekutuan. Kemungkinan itu bagaimanapun lenyap apabila Amirudin menegaskan beliau akan kekal di Selangor sehingga ke akhir penggal ini.
Adakah beliau terbuka kepada idea menyertai PKR atau ia di luar pertimbangannya berdasarkan beliau pernah menyatakan kesetiaannya kepada Umno, demikian datang satu soalan lagi.
“Anda masih ingat ya. Secara jujurnya adalah penting untuk saya adakan perbincangan dengan presiden (Umno), anda tahu beliau seorang yang saya hormati, jadi biarlah saya berbincang (dengan Zahid Hamidi) dahulu,” jawabnya.
Sudah tentu juga Tengku Zafrul turut dilihat sebagai seorang yang ‘unik’ dengan berkhidmat bawah tiga perdana menteri – menteri kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, mengekalkan portfolio itu bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan kini dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.
“Pentadbiran manakah yang terbaik dan terburuk?, soal Wong tanpa berselindung.
“Saya tidak mahu jawabnya kerana saya fikir setiap satunya ada sisi positif dan negatif tapi saya perlu katakan daripada segi prestasi sebagai menteri MITI, ia sangat memuaskan. Sudah tentu juga sebagai menteri kewangan ketika Covid-19 dan peringkat pemulihannya selepas itu, cabarannya adalah berbeza.
“Tahun ini dan sepanjang dua tahun lalu, saya rasa negara ini sudah bersedia beranjak ke hadapan. Kita telah membina asas daripada apa yang sudah dilalui dan kini kembali ke paras sebelum Covid-19. Saya fikir kestabilan politik yang dapat diwujudkan telah memberikan Malaysia peluang untuk meningkat dalam rantaian nilai,” katanya.
“Sudah tentu anda akan katakan itu mengenai bos anda ketika ini,” kata Wong sebagai mengakhiri temu bual berkenaan. - FMT
Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/04/a_52.html