Ekuiti Bumiputera Merosot Kerajaan Boleh Cuba Tambat Mata Wang Dengan Komoditi
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin Reformasi polisi dan sistem monetari atasi jurang pendapatan bandar, luar bandar
BANGI – Kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera yang jatuh ke paras 16 peratus – jumlah yang makin merosot – perlu diambil serius kerana ketidakseimbangan kekayaan antara kaum majoriti dan minoriti akan menyebabkan ketidakstabilan daripada segi politik dan juga hubungan antara kaum.
Ketidakseimbangan itu juga akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan hilangnya semangat bangsa Malaysia, kata penganalisis ekonomi, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Namun, Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS) itu berkata, ada beberapa lagi statistik yang perlu diamati selain 16 peratus yang hanya membabitkan daripada segi pemilikan ekuiti.
Beliau menjelaskan, statistik pemilikan Bumiputera ke atas hartanah iaitu meliputi tanah dan bangunan juga harus diliihat termasuk duit simpanan di dalam bank atau deposit tetap.
“Jika statistik untuk aset-aset ini juga mengecewakan, maka polisi dan dasar kerajaan selama ini telah gagal.
“Kegagalan mungkin berpunca daripada kaedah implementasi polisi dan dasar tersebut, pemantauan bantuan dan pemberian dana atau juga disebabkan campur tangan beberapa pihak berkepentingan yang menyebabkan matlamat kerajaan jauh tersasar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Justeru, bagi mengelakkan bertambahnya jurang pendapatan antara kaum serta rakyat yang duduk di bandar dan luar bandar, reformasi polisi dan sistem monetari harus dilakukan, tegas Dr Razman.
“Apa yang berlaku sekarang ialah yang kaya makin bertambah kaya dan yang miskin kekal miskin. Oleh itu perancangan yang rapi harus dilakukan lebih-lebih lagi negara akan melancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada tahun hadapan.
“Seeloknya kita tidak mengguna pakai kaedah sama seperti sebelum ini, tetapi berani mencuba penyelesaian baharu seperti menambatkan mata wang kita dengan komoditi.
“Ini boleh meningkatkan pendapatan dan nilai harta yang dimiliki oleh pesawah, pekebun, peladang komoditi seperti getah, beras dan minyak sawit yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Bumiputera,” katanya lagi.
Dengan kaedah itu, kata Dr Razman berkata, kaum Bumiputera akan dapat berkongsi lebih banyak kekayaan aset di negara ini sama seperti kaum lain sehingga kadar peratusan kekayaan yang dimiliki menyamai kadar peratusan penduduk Bumiputera di Malaysia.
Sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sebelum ini telah diletakkan di bawah dasar Ekonomi Baru (DEB), bagaimanapun ia tidak tercapai.
Tahun lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera bukan sahaja tidak mencapai sasaran tetapi telah menurun kepada 16.2 peratus (pada 2015) daripada 23 peratus pada 2011.
Manakala pemilikan ekuiti oleh bukan Bumiputera juga telah menurun kepada 30.7 peratus pada 2015 berbanding 34.8 peratus pada 2011 dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.
Sementara pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera ketika ini berada pada tahap 16 peratus, jumlah yang semakin merosot.
Memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan peratusan yang dicatatkan itu adalah sesuatu yang membimbangkan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/ekuiti-bumiputera-merosot-kerajaan.html