Dulu Bayi Yang Dibuang Dalam Tong Sampah Kini Pemilik Syarikat Bergelar Jutawan
Tiada sesiapa yang pernah meminta untuk dilahirkan dalam keadaan tidak bernasib baik, lebih-lebih lagi jika tidak diinginkan oleh ibu bapa sendiri. Dibuang ke dalam tempat yang tidak sepatutnya seperti tong sampah mahupun tandas awam, pastinya keperitan akan dilalui oleh anak yang menjadi mangsa tidak bertanggungjawab si ibu bapa.
Seperti kisah yang dilalui oleh seorang lelaki yang dahulunya dibuang ke dalam tong sampah di sebuah kawasan pedalaman di Florida, pada tahun 1989. Dia ketika itu berada bersendirian, diselamatkan oleh seorang pejalan kaki yang menghubungi polis.
Dia kemudiannya dimasukkan ke hospital selama dua hari kerana mengalami kecederaan ringan sebelum diambil oleh sepasang pasangan suami isteri iaitu Nathan dan Betty Figgers.
Bayi berkenaan yang dikenali sebagai Freddie Figgers berkata, membesar pada zaman kanak-kanak adalah sesuatu yang sukar. Dia dibuli dan digelar ‘bayi kutip’ oleh rakan-rakan apabila mereka mengetahui dia dibuang ke dalam tong sampah sewaktu lahir.
”Ia adalah kawasan pedalaman, jadi selepas kejadian itu semua orang mengetahuinya.
”Ibu bapa angkat saya memberitahu kejadian sebenar apabila saya meningkat dewasa. Saya banyak berfikir mengenainya ketika kanak-kanak dan merasa malu,” kata Figgers.
Namun, satu kejadian telah mengubah hidup lelaki ini buat selama-lamanya. Ketika dia berusia 9 tahun, bapanya membelikan sebuah komputer rosak kepadanya untuk dia bermain.
Dia berjaya menghidupkan semula komputer tersebut sehinggalah pada usia 13 tahun dia telah diupah untuk membaiki komputer. Apabila berusia 15 tahun, dia berjaya membuka syarikat pertama yang dikenali sebagai ‘Figgers Computer’ di ruang tamu rumah keluarganya.
Ketika berusia 23 tahun, Figgers menjual GPS tracker yang boleh diletakkan di dalam kasut kepada sebuah syarikat di Kansas bernilai 2.2 juta ringgit. Dia sebelum itu mencipta sendiri GPS tersebut untuk mengesan bapanya yang mengalami Alzheimer.
Kini, Figgers yang berusia 30 tahun, merupakan seorang pemilik Figgers Wireless, sebuah syarikat telekomunikasi yang bernilai puluhan juta ringgit.
Di sebalik hasil kejayaannya selama ini, dia berkata, semua itu adalah hasil sokongan dan dorongan kedua-dua ibu bapa angkatnya yang menjaga dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang, tanpa mengira asal-usulnya selama ini.
Gambar : Freddie Figgers bersama ibu angkatnya Betty Figgers
Walau dia berjaya mengesan ibu kandung yang membuangnya ke dalam tong sampah iaitu seorang pelacur dan penagih dadah, Figgers bukan sahaja tidak berjumpanya malah langsung tidak mempunyai keinginan ke arah itu.
”Ibu bapa saya mengambil saya sebagai anak angkat dan memberikan saya kasih sayang dan masa depan. Mereka melakukan yang terbaik di dunia ini dan itu apa yang saya mahu lakukan sekarang,” katanya.
Sumber : Daily Commercial
The post Dulu Bayi Yang Dibuang Dalam Tong Sampah, Kini Pemilik Syarikat Bergelar Jutawan appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/12/12/dulu-bayi-yang-dibuang-dalam-tong-sampah-kini-pemilik-syarikat-bergelar-jutawan/