Dua Puluh Tahun
Kisah yang saya catatkan ini berlaku sekitar bulan Mei 2022 yang lalu, masa tu saya dan encik suami perlu mengambil perkhidmatan Grab dari rumah untuk ke Juru
Kereta yang kami naiki dipandu oleh seorang lelaki Melayu yang usianya sekitar usia kami juga. Kami berdua masuk ke dalam kereta dan memberi salam kepada pemandu. Encik pemandu Grab agak ramah dan mula mengajak kami berbual. Topik perbualan berkenaan kadar sewa rumah yang kami diami, topik menjual secara dalam talian sehinggalah membawa kepada kisah hidup yang menyentuh rasa
Dua Puluh Tahun Ada
Tanpa kami bertanya, encik pemandu Grab bercerita tentang kisah bagaimana dia boleh menjadi pemandu Grab. “Dua puluh tahun saya bekerja di tempat yang sama, sejak habis belajar. Tak pernah bertukar kerja. Tiba-tiba diberhentikan kerja.” beliau memulakan cerita
Akibat pukulan badai virus COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi, banyak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja demi memastikan syarikat kekal hidup. Beliau salah seorang yang menerima kesan tersebut. Pada masa yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung. Maka menjadi pemandu Grab merupakan pilihan yang terbaik untuk beliau meneruskan kelangsungan hidup
Tambahnya lagi,”Kita dah biasa tiap bulan selama dua puluh tahun, pergi ATM cucuk duit gaji. Tiba-tiba semuanya berubah…”. Kedengaran nada sebak
Saya dan encik suami memahami, kerana kami telah melalui fasa turun naik ekonomi keluarga. Kami pernah merasa detik sukar dan berkira-kira untuk keperluan seharian. Kami pernah melakukan pelbagai kerja termasuklah menjadi pembuat dan penjual ice-blended demi terus hidup
Bezanya, apa yang berlaku sekarang (sewaktu perbualan kami) keadaan lebih sukar kerana ekonomi negara khasnya dan dunia amnya memang sedang berada pada fasa kejatuhan. Tambahan pula beliau menanggung isteri dan anak. Tentu sangat berat beban fikiran beliau.
Dua Puluh Tahun Tiada
Habis berkisah tentang apa yang berlaku dalam hidupnya, beliau bertanya berkenaan anak. Kami jawab, “Tak ada. Belum ada rezeki”
Soalan bertambah lagi, “Dah berapa lama kahwin?”
“Hampir dua puluh tahun…”
Dari cermin tengah kereta, saya dapat melihat wajahnya berubah. Matanya membesar. “Dua puluh tahun…dua puluh tahun ya...”. Mungkin terkejut dengan kenyataan yang baru didengar tadi
Perbualan kami tidak berlanjutan kerana kami sudah pun tiba di destinasi. Nampaknya, kisah kami ada persamaan masa iaitu dua puluh tahun
Beliau ada pekerjaan tetap selama dua puluh tahun dan kemudian hilang rezeki pekerjaan tersebut. Kami pula sudah berkahwin hampir dua puluh tahun (sewaktu perbualan berlangsung), namun tiada rezeki zuriat. Beginilah setiap dari kita, ada lebih di situ kurang di sini. Yang lebih atau yang kurang, semuanya tetap satu bentuk ujian buat kita di dunia sementara ini - sama ada kita bersyukur dengan kelebihan dan bersabar dengan kekurangan.
Foto dirakam beberapa hari lalu (Sabtu).Alhamdulillah, hari ini genap dua puluh tahun usia perkahwinan saya dan encik suami. Kadang bagai tak percaya bahawa kami telah melalui hidup berumahtangga tanpa kehadiran anak sebegitu lama. Puji dan syukur kepada Allah atas segala kurniaan-Nya
Penglihatan jangan dibanyakkan ke atas, tetapi menolehlah ke bawah. Dengan demikian kelak tuan melihat bahawa orang yang kurang daripada tuan lebih banyak daripada orang yang di atas tuan! Waktu itulah kelak tuan akan merasai syurga itu. Air yang mengalir di bawahnya menyiram dan memberi kesejukan bagi jiwa tuan. - petikan buku Falsafah Syaitan, Buya Hamka -
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2022/09/dua-puluh-tahun.html