Dr M Kalau Tak Yakin Pada Ph Boleh Tentukan Pada Pru15
(Malaysiakini) – Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat boleh menentukan nasib PH pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya tidak yakin dengan gabungan berkenaan.
Ini kerana, tambah Dr Mahathir, PH memerlukan masa lima tahun untuk menunaikan janji dalam manifesto mereka.
Pengerusi PH itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai kajian dari Emir Research yang menunjukkan mengenai Indeks Kerisauan Nasional (NWI) yang mendapati kebimbangan rakyat kini berada pada tahap “maksimum” dan tidak yakin dengan PH.
“Kalau mereka (rakyat) tak yakin ada masanya mereka boleh undi bila ada PRU ke-15 mereka undilah dan mereka tentukan nasib PH.
“Tapi kita buat janji yang banyak, ia akan ambil masa lima tahun sebelum kita tunaikan janji.
“Tetapi apa yang berlaku sewaktu kita sediakan manifesto, kita tak dapat maklumat yang penuh dan apabila kita mengambil alih, kita mendapati kerosakan dilakukan oleh kerajaan lama tu jauh lebih dahsyat daripada kita anggarkan.
“Jadi ini sukar untuk kita capai matlamat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di mesyuarat tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Petaling Jaya hari ini.
Menurut kajian yang diketuai oleh Rais Husin yang juga anggota Majlis Tertinggi Bersatu, isu harga barangan semakin meningkat, kekurangan peluang pekerjaan, kualiti pendidikan dan kadar jenayah merupakan antara faktor tahap keyakinan rakyat terhadap PH.
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, faktor kesan nilai mata wang ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika hari ini menjejaskan kos sara hidup.
Kata Dr Mahathir, terdapat barangan yang telah turun harganya, namun hanya harga barangan yang meningkat lebih menjadi tumpuan.
“Jadi kesan nilai mata wang kita, segala yang kita beli tu dah lebih menjadi lebih mahal sebab duit tu murah dan itu satu daripadanya sebabnya yang kita akan bincangkan masalah ni dalam kerajaan.
“Selain itu kita dapati bahawa bekalan-bekalan barangan itu terlalu banyak tangan yang menangani transportation (pengangkutan) dan sebagainya.
“Tapi ada barang-barang yang harganya telah turun tapi orang tak nampak yang telah turun tu, orang nampak yang naik saja,” katanya.
Sosma akan dikaji lebih mendalam
Sementara itu, beliau juga diminta mengulas mengenai tarikh bagi membincangkan isu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) ke kabinet.
Katanya, ia akan dikaji dengan lebih mendalam terlebih dahulu memandangkan ia merupakan keputusan yang sukar untuk diputuskan kerana ia bergantung kepada kesalahan yang dilakukan seseorang itu.
“Kita tak nak dengan mudah bebaskan pengganas umpamanya kalau kita dapati orang itu buat, sediakan bom sana sini, orang macam tu kita tak boleh bagi date (tempoh tahanan).
“Sebaliknya, ada orang yang dituduh kononnya merosakkan ekonomi tapi tak ada bukti yang tepat, orang yang macam tu kita boleh bagi date dan tahan dia tak boleh lama sangat.
“Sekarang ni 28 hari (tahanan di bawah Sosma), kita nak kurangkan. Ini semua dikaji dengan mendalam,” katanya.
Pada 6 November, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata tempoh penahanan maksimum 28 hari di bawah Sosma mungkin akan dipendekkan kepada 14 hari.
Menurut Muhyiddin, ini kerana kabinet berpandangan tempoh 28 hari itu terlalu lama untuk seseorang ditahan reman tanpa melalui perbicaraan di mahkamah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2019/11/30/dr-m-kalau-tak-yakin-pada-ph-boleh-tentukan-pada-pru15/