Dr Akmal Patut Dijadikan Ketua Menteri Melaka
Dua hari lalu, Exco Kemajuan
Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, merangkap Ketua Pemuda UMNO
Malaysia, Dr Akmal Saleh menerjah sebuah sekolah agama di negeri itu yang
berdepan masalah kekurangan kerusi dan meja.
Berikutan masalah tersebut yang diterimanya daripada aduan ibu
bapa, seramai 34 murid di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka
(JAIM) Ayer Merbau, terpaksa belajar dengan duduk di atas lantai.
Dalam video terjahannya itu, masalah tersebut dikatakan berlaku
susulan kelewatan pihak pengurusan Bahagian Pendidikan JAIM menyelesaikan
masalah terbabit.
Difahamkan, murid di sekolah itu terpaksa belajar di atas lantai
sejak sekolah mula dibuka awal Januari lalu.
Selepas menerjah dan kemudian menghubungi Pegawai Kewangan
Negeri Melaka dan seterusnya JAIM sendiri berjanji akan menyelesaikan masalah
tersebut dengan seberapa segera, Dr Akmal sebaliknya bertindak lebih pantas
dengan menyediakan sendiri kemudahan kerusi meja yang diperlukan itu.
Beliau menghantar sendiri 36 set kerusi dan meja ke sekolah
berkenaan semalam.
“Ini hadiah Hari Guru. Belajar rajin-rajin sayang.
“Kita beri dua set tambahan kerusi dan meja ini,” katanya sambil
dilihat mesra menepuk bahu beberapa murid dalam kelas berkenaan.
Dalam catatan di Facebooknya
juga, Dr Akmal menyatakan masalah ketiadaan kelengkapan asas di bilik darjah
sepatutnya diselesaikan segera tanpa berdepan kerenah birokrasi.
“Alhamdulillah, meja dan kerusi anak-anak selesai dalam tempoh
24 jam.
“Tidak perlu
tunggu (hingga) lapan bulan melayan birokrasi yang melampau.
Kemudian, berapa bulan lagi
masalah berkenaan baru benar-benar selesai tidak lagi diberi perhatian.
Tetapi berbeza dengan Dr Akmal, beliau menyelesaikannya dengan
segera dan turun pandang sendiri bagi memastikan ia berjaya diselesaikan dengan
penyelesaian yang sebenar.
Sekali lagi syabas diucapkan dan rakyat Melaka, meski masih
berbangga dengan nostalgia Hang Tuah dan Hang Jebat, adanya Dr Akmal patut
membuatkan mereka rasa bangga juga.
Dalam hal ini, kebetulan PRN Melaka dijangka akan diadakan dalam
tempoh lebih kurang setahun lebih saja daripada sekarang setelah PRN yang lalu
diadakan pada September 2021.
Berdasarkan gaya kepimpinan cemerlang, hebat, cekap, pantas dan
rajin yang ditunjukkan Dr Akmal, bahkan dalam banyak isu-isu lain, beliau juga
sentiasa lantang bersuara, maka kepimpinan UMNO wajar meletakkannya sebagai
Ketua Menteri Melaka selepas ini.
Bayangkan berapa banyak masalah rakyat di negeri Melaka akan
selesai dengan cepat, sekaligus membuatkan rakyat lebih gembira jika beliau
diletakkan menerajui kerajaan negeri? – ShahbudinHusin 17Mei2024.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/05/dr-akmal-patut-dijadikan-ketua-menteri.html