Doa Orang Tengah Nazak
Mendoakan orang yang sedang nazak adalah men’talkin’kannya.
Dituntut untuk Talkinkan orang yang sedang nazak dengan kalimah tauhid لا إله إلا الله ke telinganya. Perkara ini berdasarkan hadith Nabi saw :
لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إلَهَ إلَّا الله
Maksudnya: “Talkinkanlah orang-orang yang hampir mati dari kalangan kamu dengan Lailahaillallah.”[19]
Kalimat Talkin (التلقين) adalah membawa maksud al-Ta’lim (التعليم) iaitu mengajarkan dan al-Tafhim (التفهيم) iaitu memberi faham. Yang dimaksudkan dengan menalkinkan mayat ialah mengingatkannya dengan kalimah Tauhid (لا إله إلا الله). Yang di maksudkan dengan mayat di sini ialah orang yang sakit berdepan dengan kematian (nazak). Menalkinkan orang yang hampir mati dengan kalimah tauhid, bertujuan membantunya supaya mengakhirkan hidupnya dengan kalimah tersebut.
Mu’az bin Jabal (مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ) R.A. berkata: “Aku mendengar Nabi saw bersabda:
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
Maksudnya: “Sesiapa yag akhir kalamnya dengan Lailahaillallah, wajib untuknya syurga.”[20]
Maka sesiapa yang menziarahi orang yang sedang nazak hendaklah mengambil berat persoalan ini. mereka dituntut untuk mengingatkan orang yang dalam nazak mengucapkan kalimah tauhid.
Namun perlu diberi perhatian, jika dia telah mengucapkannya, atau telah diajarkan kepadanya, maka tidak perlu diulangi lagi, kerana perbuatan ini boleh menganggu orang yang sedang nazak. Al-Imam al-Nawawi berkata :
وَكَرِهُوا الإِكْثَارَ عَلَيْهِ وَالْمُوَالاةَ لِئَلا يَضْجُر بِضِيقِ حَالِهِ وَشِدَّةِ كُرْبِهِ ، فَيَكْرَهُ ذَلِكَ بِقَلْبِهِ , وَيَتَكَلَّمُ بِمَا لا يَلِيق . قَالُوا: وَإِذَا قَالَهُ مَرَّةً لا يُكَرِّرُ عَلَيْهِ إِلا أَنْ يَتَكَلَّمَ بَعْدَهُ بِكَلامٍ آخَر , فَيُعَادُ التَّعْرِيْضُ بِهِ لِيَكُونَ آخِرُ كَلَامِهِ
Maksudnya: “dan para ulama menganggap makruh memperbanyakkan dan berterusan (mengajarkan talkin kepada orang yang sedang nazak), agar ia tidak merasa gelisah ditambah dengan keadaannya yang amat sukar, sehingga timbul perasaan tidak suka di dalam hatinya, yang boleh menyebabkan dia mengucapkan sesuatu yang tidak wajar. Oleh itu para ulama berkata: Jika dia (orang yang sedang nazak) telah menyebut (kalimah tauhid) sekali, tidak perlu mengulanginya lagi, melainkan jika dia bercakap sesuatu yang lain. Maka diulangi talkin kepadanya, untuk menjadikan akhir kalamnya dengan kalimah tauhid).”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://edigitaldoa.blogspot.com/2016/03/doa-orang-tengah-nazak.html