Diva Aa Mohon Maaf Terbuka Kepada Dr Vida
Nizam Zain
Pengacara, Azwan Ali bercakap pada sidang media berkenaan isu beliau dan Datuk Seri Vida yang viral di media sosial di Hotel Marriott Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI
PUTRAJAYA – Pengacara Azwan Ali hari ini memohon maaf secara terbuka kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dan anak perempuannya, Edlynn Zamilleen Muhammad Amin susulan penularan video di akaun Twitter miliknya, baru-baru ini.
Azwan yang lebih dikenali sebagai Diva AA berkata, permohonan maaf itu dibuat setelah beliau berbincang dengan para peguamnya dan menerima nasihat daripada rakan perniagaannya.
“Permohonan maaf ini dibuat setelah mengkaji banyak perkara dengan peguam-peguam terkenal saya, bukan propa ya, ada lima syarikat yang sedang fokus kepada kes ini.
“Ini bukan soal kalah menang, saya ulangi maaf terbuka kepada pihak-pihak terlibat, sebagaimana yang dituntut harus dibuat dalam masa 48 jam,” katanya pada sidang tergempar di Marriot Hotel Putrajaya, di sini, hari ini.
Pengacara, Azwan Ali bercakap pada sidang media berkenaan isu beliau dan Datuk Seri Vida yang viral di media sosial di Hotel Marriott Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALISemalam, usahawan kosmetik, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) menuntut Azwan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan beberapa isu yang timbul selepas kemunculannya dalam Karnival Cik B Vaganza Tour 2020, baru-baru ini
Menurut Vida, tindakan Azwan yang menghina fizikal anak perempuannya atau lebih dikenali sebagai Cik B serta dua anak lelakinya yang sudah meninggal dunia dalam kejadian kebakaran disifatkan sebaga perbuatan tidak sensitif.
Dakwa Vida lagi, menerusi video yang dikongsi di Twitter, Azwan turut membakar sehelai selendang serta dua botol minyak wangi pemberiannya yang bernilai ratusan ringgit.
Dalam pada itu, Azwan turut sedia memenuhi tuntutan Vida termasuk memadam semua hantaran status dan video yang berbaur fitnah dan menyinggung usahawan kosmetik itu di laman Twitter miliknya.
“Saya juga sedia memadam semua status yang mencaci hina Datuk Seri Vida, Cik B atau sesiapa saja di dalam Twitter saya, Diva AA tersohor, diingatkan sekali lagi bukan dalam IG (Instagram), kerana IG tiada apa-apa kecaman.
“IG saya bersih, tiada (kecaman), yang saya banyak apa juga video kontorversi di Twitter,” katanya.
Di samping permohonan maaf itu, Azwan turut mempertahankan video yang dimuat naik di laman Twitter miliknya bahawa beliau tidak menyebut atau menamakan mana-mana individu dalam hantarannya itu.
“Apa saja video yang keluar, saya ulangi tidak menyebut nama sesiapa, adakah jelas? Tetapi saya menghormati segala pertuduhan dan kecaman daripada Dr Vida bahawa dia terkilan, tersinggung dan sentap sampai dia tak boleh tidur.
“Saya tak nak sebut apa yang terjadi, sebab dalam video saya tak sebut siapa gerangan yang saya kecam,” katanya.
Azwan juga menerima dengan hati terbuka bahawa semua kenyataan yang dibuatnya dalam video yang dimuat naik di Twitter miliknya itu berbaur fitnah.
“Ok fine, berbaur fitnah, dan ia boleh menjejaskan perniagaannya dan sebagainya, jadi kita kena tarik balik, fitnah, kita tarik balik, kita tak nak cakap tentangnya lagi.
“Kita tidak akan ulangi apa juga isu-isu yang berkaitan dengan kes ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/diva-aa-mohon-maaf-terbuka-kepada-dr.html