Dituduh Salah Guna Wang Rakyat Menteri Agama Jawab Netizen
Muhammad Azizul Osman
Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri KUALA LUMPUR – Satu video tular di aplikasi Tik Tok mengenai dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifili Mohamad Al-Bakri menyalahguna peruntukan kerajaan.
Video berdurasi 57 saat itu memaparkan Dr Zulkifli dalam pesawat mewah untuk ke Arah Saudi semasa dalam siri lawatan ke negara itu bagi membincangkan hal ehwal haji dan umrah untuk umat Islam di Malaysia.
Dalam akaun Twitternya hari ini, Dr Zulkifli menerangkan bahawa penerbangan beliau dari Riyadh ke Madinah seperti dalam video tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Liga Muslim Sedunia (Muslim World League).
“Saya maafkan tuduhan tersebut. Tidak ada apa-apa yang perlu saya simpan di hati.
“Sejujurnya, sepanjang di sini saya sentiasa mendoakan kebaikan kepada rakyat Malaysia, dan sudah pasti kepada umat Islam di Malaysia.
“Justeru, kenyataan bahawa saya bertindak menyalahgunakan wang rakyat untuk menaiki pesawat mewah sepanjang di sana/menuju ke sana adalah tidak benar,” katanya.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu merujuk kepada video yang dimuatnaik pengguna Tik Tok Nizambakeri.
Nizambakeri dalam video itu memuatnaik status ‘Rakyat jangan rentas negeri tau, jaga SOP ya” dalam video berkenaan.
“Alhamdulillah. Mewah perjalanan orang-orang agama kita ni ya. Syukur,” katanya.
Dr Zulkifli sebelum ini berkata, lawatan itu diadakan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.
Sebelum ini, Dr Zulkifli memaklumkan, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Issam Saad, berhubung syarat khusus penyelenggaraan termasuk SOP bagi jemaah Malaysia menunaikan haji dan umrah tahun ini.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah sebelum ini dilaporkan berkata, antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai nanti adalah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, bagi mengekang penularan virus itu.
Pada 10 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam siri lawatan ke Arab Saudi memaklumkan, Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi, yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak Covid-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.
Perkara itu dipersetujui Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Raja Salman, dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah, ketika lawatan Perdana Menteri ke negara itu. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/dituduh-salah-guna-wang-rakyat-menteri.html