Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 1 Oleh Hassan Karim





DILEMMAKU TERHADAP MAHATHIR
Oleh Hassan Abdul Karim

PENDAHULUAN

Apabila Parlimen Malaysia bersidang pada 18 Mei 2020 nanti, kita akan dapat melihat, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Parti BERSATU duduk di blok pembangkang, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden BERSATU duduk di blok kerajaan.Nampaknya Muhyiddin sedang menghadapi suatu dilemma.

Setakat pada tarikh kisah ini ditulis, Pakatan Harapan (PH) juga masih dalam dilemma: Siapa yang patut jadi Ketua Pembangkang di Parlimen? Mahathir atau Anwar Ibrahim? Dikhabarkan parti DAP tidak menuntut jawatan ketua pembangkang tersebut walaupun DAP merupakan parti terbesar dengan 42 ahli parlimen, diikuti oleh PKR 39, AMANAH 11.Manakala Mahathir tidak lagi berada di dalam PH.

Dilemma siapa yang akan jadi ketua pembangkangdi Parlimen itu nanti adalah tanggungjawab Majlis Presiden PH untuk memutuskannya. Tetapi di dalam tulisan ini, penulis ingin berkongsi kisah tentang dilemma yang dihadapi oleh penulis terhadap tokoh politik bernama Mahathir Mohamad.

BAHAGIAN 1

Kemunculan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad di persada politik nasional untuk menentang Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak berkenaan isu 1MDB menjadikan aku dalam keadaan serba salah. Aku dalam dilema.Aku perlu lakukan penyesuaian.

Dalam satu segi, aku menyokong Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib. Tetapi dari segi yang lain aku masih tetap beranggapan Mahathir telah banyak melakukan kesalahan. Mahathir telah merosakkan institusi-institusi penting negara seperti bidang kehakiman dan juga ekonomi. Mahathir juga mempunyai rekod buruk dalam soal hak asasi manusia dan demokrasi di negara ini.

Pendirianku agak keras. Waktu itu aku menjadi Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor (PKR). Waktu itu juga telah wujud Gabungan Pakatan Harapan  (PH) di Johor yang terdiri daripada tiga buah parti: PKR, DAP dan Amanah.

Parti Amanah Negeri Johor begitu teruja untuk membawa Mahathir berceramah ke Johor. Tetapi bagiku, ketika itu, aku masih menganggap Mahathir bekas ''diktator'', seorang bekas Perdana Menteri yang kini sudah tiada kuasa tetapi mahu berkuasa semula.

Pada suatu malam, maka berlangsunglah satu mesyuarat PH Negeri Johor di Pejabat Parti Amanah di tepi Jalan Besar Skudai, di hadapan jalan masuk ke Taman Sutera Utama, Johor Bahru.

Para pemimpin Parti Amanah Negeri Johor, antara lainnya terdiri daripada Hj Aminolhuda Hassan dan Mazlan Aliman. Pemimpin DAP Johor diketuai oleh Liew Chin Tong turut hadir. Aku bersama Kuzan Abu Bakar, Setiausaha PKR Johor mewakili Parti Keadilan Rakyat.

Dalam mesyuarat itu, aku menyatakan bahawa aku tidak menghalang jika parti-parti lain iaitu Amanah dan DAP hendak menjemput Mahathir berceramah di Johor.Tetapi dengan tegas aku nyatakan dalam mesyuarat itu bahawa PKR yang aku pimpin di Johor tidak akan memberikan kerjasama.Aku tidak akan hadir dalam ceramah Mahathir itu.Aku tidak benarkan bendera Keadilan dikibarkan untuk menyambut Mahathir ke Johor.Demikianlah kerasnya hati aku terhadap Mahathir pada waktu itu.

Pemimpin Amanah dan DAP memahami sikap kurang senang aku terhadap Mahathir.Mereka biarkan sahaja aku dengan sikap kerasku. Tetapi waktu itu, aku lihat kesungguhan mereka dari Amanah dan DAP untuk mendekati bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu.

Sikap kerasku terhadap Mahathir diketahui oleh Hishamuddin Rais (Isyam), kawan baikku sejak zaman kami di Universiti Malaya. Isyam telah turun ke Johor Bahru, khususnya untuk berbincang denganku dalam soal Mahathir.Isunya sama ada untuk bekerjasama dengan Mahathir atau tidak.

Aku mengetahui Isyam mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang-orang muda. Isyam seorang kolumnis akhbar dan portal, penulis laman tukartube dan seorang penggerak dalam BERSIH (yang memperjuangkan tuntutan pilihanraya adil dan bersih).Pada waktu itu, Isyam bersama kawan-kawannya dari banyak kalangan Civil Societies atau NGO yang bekerjasama dengan Mahathir melancarkan suatu dokumen petisyen yang penting yang bernama Deklarasi Rakyat.

Pada suatu hari Isyam turun ke Johor Bahru bersama rangkaian organisasinya. Dia menjemput aku menjadi ahli panel dalam satu forum berkenaan situasi politik negara ketika itu. Forum itu diadakan di suatu ruang sebuah dewan kecil di suatu Cafe di tingkat atas sebuah bangunan lama di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru, tidak jauh dari Bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Aku datang ke tempat forum itu bersama seorang sahabat karibku, Mohd Salleh Hj Ahmad, seorang pemimpin kesatuan sekerja.Salleh adalah kawan baikku di Johor Bahru sejak dari zaman Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).Kami berdua bersama peguam Abdul Razak Ahmad (Allahyarham) adalah antara penggerak parti politik pembangkang yang menentang Umno dan Barisan Nasional di Johor.

Salleh dan aku sampai awal pada malam itu.Isyam juga sampai awal dari Kuala Lumpur.Jadi kami pergi makan malam di sebuah restoran berdekatan dengan tempat forum itu.Kami makan sebelum forum berjalan.Pengerusi forum datang lewat.

Isyam cuba meyakinkan aku supaya menyokong Mahathir.Isyam tahu sebagai Pengerusi PKR Johor aku mempunyai pengaruh di Johor waktu itu.Isyam berhempas pulas untuk meyakinkan aku bahawa adalah penting golongan progresif juga bekerjasama dengan Mahathir.

Isyam menyebut konsep United Front seperti yang pernah berlaku di Tanah Melayu sebelum Merdeka iaitu gabungan AMCJA dengan PUTERA untuk menentang penjajahan Inggeris.

Tidak cukup dengan itu, Isyam membawa contoh satu lagi United Front antara Parti Komunis China pimpinan Pengerusi Mao Tse Tung dengan pemimpin Parti Koumintang, General Chiang Khai Shek dalam menghadapi musuh bersama China waktu itu iaitu Imperialis fasis Jepun.

Isyam ketengahkan soal Deklarasi Rakyat untuk aku timbangkan.Dia cuba meyakinkan aku bahawa aku patut menyokong Deklarasi Rakyat itu.

Pada malam itu, aku berterus terang kepada Isyam bahawa aku tidak ada masalah untuk menyokong Deklarasi Rakyat.Aku telah membaca dokumen itu dan aku telah menghadamkannya. Kepada Isyam aku beritahu bahawa Deklarasi Rakyat itu adalah satu dokumen perisytiharan yang baik.Aku tiada masalah untuk menyokongnya, malah aku bersedia menandatangani Deklarasi Rakyat itu pada malam itu juga.Aku tahu Deklarasi Rakyat itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.Isi kandungan Deklarasi Rakyat itu ialah suatu tuntutan supaya Perdana Menteri Najib Razak turun dari jawatannya demi menyelamatkan Malaysia.

Kepada Isyam yang ketika itu aku lihat begitu taksub kepada Mahathir, aku nyatakan bahawa aku masih belum menandatangani sokongan kepada Deklarasi Rakyat itu, bukan kerana ada apa-apa kekurangan dalam Deklarasi itu, tetapi kerana Mahathir yang menerajui Deklarasi Rakyat itu.

Isu antara Deklarasi Rakyat dan Mahathir jadi satu  dilemmaku.

BAHAGIAN 2

Hal ini berlaku pada akhir tahun 2017, sebelum Pilihanraya Umum ke-14.Persoalannya yang perlu aku putuskan: Hendak bekerjasama dengan Mahathir atau tidak?

Pada malam Forum di JB itu, aku teringat semula 20 tahun yang lalu iaitu pada 19 haribulan September 1998 di sebuah ruang pejabat di tingkat satu di Bangsar, Kuala Lumpur.Isyam dan aku berjam-jam berdebat di dalam pejabat itu.Bukan soal Mahathir tetapi soal Anwar Ibrahim.Isunya sama ada hendak bekerjasama dengan Anwar Ibrahim atau tidak dalam gerakan reformasi menentang ''diktator'' bernama Mahathir Mohamad.

Tiga jam kami berdua berbahas.Meninggikan suara, merendahkan suara, membeliakkan mata, mengetap bibir dan berpanas muka untuk meyakinkan antara satu sama lain.Aku yang ketika itu menjadi Ketua Angkatan Pemuda PRM (Presiden PRM waktu itu ialah Prof. Dr. Syed Husin Ali) membawa gagasan kepada Isyam bahawa golongan progresif atau kiri perlu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, yang baharu sahaja dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga jawatan Timbalan Presiden Umno.

Isyam waktu itu baharu sahaja pulang dari London, United Kingdom, selepas  menjadi pelarian politik lebih 20 tahun.

Anwar Ibrahim pula, setelah dipecat oleh Mahathir telah memulakan road show reformasi, satu siri ceramah menemui rakyat jelata di seluruh negara.Sambutan rakyat terhadap ceramah reformasi itu amat luar biasa.Aku sendiri berasa teruja dengan kebangkitan rakyat itu.

Keesokan harinya 20 haribulan September 1998 (sehari selepas perdebataanku dengan Isyam), Anwar Ibrahim akan berucap di dalam perhimpunan reformasi yang besar bermula di Mesjid Negara dan kemudiannya ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Aku pula waktu itu, sebagai Ketua Angkatan Pemuda PRM telah menemui Anwar Ibrahim dirumahnya di Bukit Damansara, Jalan Setiamurni.Aku membawa satu delegasi pemuda-pemuda PRM dan memberi ikrar akan menyokong gerakan reformasi yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.

Pada masa yang sama, waktu itu, kawan baikku semasa zaman di Universiti Malaya, bernama Ahmad Zahid Hamidi adalah Ketua Pemuda Umno yang menjadi penyokong kuat kepada Anwar Ibrahim.

Di Bangsar, kira-kira 20 tahun yang lalu, aku menggesa Isyam supaya turun ke gelanggang menyokong gerakan reformasi.

‘’Jangan duduk di luar gelanggang. Ini kebangkitan rakyat. Reformasi ini digerakkan oleh para belia, pelajar, orang-orang muda dan rakyat jelata.Khususnya rakyat Melayu,’’ ujarku untuk meyakinkan Isyam.

‘’Jika engkau tak sertai sama, engkau akan ketinggalan,’’ aku memberi amaran kepada Isyam.

Masalah Isyam waktu itu bukannya tentang gerakan reformasi.Masalahnya ialah kerana reformasi itu dipimpin oleh Anwar Ibrahim.Seperti aku juga kemudiannya.Masalah aku bukan Deklarasi Rakyat.Tetapi kerana Deklarasi Rakyat itu diterajui oleh Mahathir.

Isyam  dan Anwar Ibrahim datang dari Kolej yang sama iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemudian mereka melanjutkan pelajaran di universiti yang sama iaitu Universiti Malaya. Anwar kira-kira tiga tahun lebih tua dari Isyam.Walaupun berasal dari kolej yang sama dan universiti yang sama tetapi Isyam dan Anwar berbeza ideologi politik.Kepadaku, berbeza ideologi politik bukannya satu kesalahan jenayah.

Aku tahu, Isyam tidak percaya akan consistency pendirian Anwar dalam politik apabila Anwar pada tahun 1982 menyertai UMNO dan menyertai Kabinet Mahathir. Sedangkan waktu itu, Isyam terus istiqamah dengan perjuangan kirinya yang dimulainya sejak dari zaman beliau di universiti lagi.

Sampai letih kami berhujah sehingga akhirnya tiada persetujuan dicapai. Aku meninggalkan ruang pejabat Isyam di Bangsar itu dengan tidak pasti apa sikap Isyam ketika itu.

Hanya ketika keluar dari dari ruang pejabat itu, aku berkata kepada Isyam bahawa aku akan hadir perhimpunan reformasi di Mesjid Negara dan di Dataran Merdeka pada petang 20 haribulan September 1998, keesokannya.

Aku harap Isyam akan ikut serta. Isyam tidak menjawab. Dia tidak mengangguk.Tetapi Isyam juga tidak berkata ‘’tidak’’.Dia bersalaman denganku, dingin.



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://wrlr.blogspot.com/2020/05/dilemmaku-terhadap-mahathir-siri-1-oleh.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 6 7 Oleh Hassan Karim

Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 6 7 Oleh Hassan Karim

papar berkaitan - pada 1/5/2020 - jumlah : 270 hits
BAHAGIAN 6Sejarah seperti pita rakaman kita boleh paksa ia bergerak kedepan dengan cepat Maka tidak lama kemudian Mahathir bersama Muhyiddin Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah parti politik mereka sendiri yang diberi nama Parti Pribumi ...
Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 2 Oleh Hassan Karim

Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 2 Oleh Hassan Karim

papar berkaitan - pada 1/5/2020 - jumlah : 264 hits
BAHAGIAN 2Hal ini berlaku pada akhir tahun 2017 sebelum Pilihanraya Umum ke 14 Persoalannya yang perlu aku putuskan Hendak bekerjasama dengan Mahathir atau tidak Pada malam Forum di JB itu aku teringat semula 20 tahun yang lalu iaitu pada 1...
Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 3 Oleh Hassan Karim

Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 3 Oleh Hassan Karim

papar berkaitan - pada 1/5/2020 - jumlah : 296 hits
BAHAGIAN 3Tetapi keesokannya pada 20 haribulan September 1998 Isyam turun juga ke jalanraya menyertai himpunan reformasi di Mesjid Negara dan di Dataran Merdeka Dia hadir lebih sebagai pemerhati pada ketika itu Kehidupan politik juga kadang...
Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 8 Akhir Oleh Hassan Karim

Dilemmaku Terhadap Mahathir Siri 8 Akhir Oleh Hassan Karim

papar berkaitan - pada 1/5/2020 - jumlah : 248 hits
BAHAGIAN 8Secara ikhlas aku akui Ada beberapa perkara yang aku menyokong Mahathir Antaranya ialah sikap beliau terhadap institusi raja Aku percaya bahawa Mahathir pada asasnya menghormati institusi Raja raja di Malaysia Aku menyokong Mahath...
Panggil Mesyuarat Negeri Negeri Tentukan Longgar Pkp Hassan Karim

Panggil Mesyuarat Negeri Negeri Tentukan Longgar Pkp Hassan Karim

papar berkaitan - pada 4/5/2020 - jumlah : 301 hits
Ahli parlimen Pasir Gudang Hasan Abdul Karim menggesa Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional mengadakan mesyuarat bersama 13 Kerajaan Negeri di Malaysia sebelum membuka semula sektor ekonomi dan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan Hal...
Pendirian Umno Tidak Bersama Bersatu Umpama Sokongan Terhadap Mahathir

Pendirian Umno Tidak Bersama Bersatu Umpama Sokongan Terhadap Mahathir

papar berkaitan - pada 27/4/2020 - jumlah : 273 hits
Kenyataan Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan yang mengesahkan parti itu akan meninggalkan Perikatan Nasional sebaik Parlimen dibubarkan dan hanya akan bersama Pas dalam Muafakat Nasional untuk menghadapi PRU15 akan datang tidak ubah umpam...
Dr M Hantar Notis Usul Tak Percaya Terhadap Pm Dan Shafie Afdal Hantar Notis Percaya Terhadap Dr Mahathir

Dr M Hantar Notis Usul Tak Percaya Terhadap Pm Dan Shafie Afdal Hantar Notis Percaya Terhadap Dr Mahathir

papar berkaitan - pada 8/5/2020 - jumlah : 402 hits
B Nantha Kumar Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah menghantar notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin Surat kepada speaker telah dihantar Usul berkenaan telah ...
Microsoft Surface Book 3 Diperkenalkan Dikuasakan Oleh Cpu Intel Ice Lake

Microsoft Surface Book 3 Diperkenalkan Dikuasakan Oleh Cpu Intel Ice Lake

papar berkaitan - pada 7/5/2020 - jumlah : 338 hits
Siri komputer riba 2 dalam 1 Microsoft Surface Book merupakan eksperimen Microsoft yang berjaya didalam menggabungkan komponen komponen berkuasa didalam sebuah rangka yang unik dan menarik Hari ini Microsoft mengumumkan ketibaan model ketig...
Kerisauan Gelombang Ke 3 Covid 19 Oleh Kkm

Kerisauan Gelombang Ke 3 Covid 19 Oleh Kkm

papar berkaitan - pada 7/5/2020 - jumlah : 480 hits
Tahukah anda kenapa staff KKM risau minggu depan Beberapa petugas frontliner yg tumbang ketika bertugas sumber gooleKami bukan risau PKPB tu kita pun tahu ekonomi pun perlu dimulakan dan diteruskan kita tak mampu nak hilang berbillion ringg...
Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

Takwim Cuti Persekolahan Tahun 2025 2026

Whatsapp Tak Lagi Sokong Peranti Android Lama Mulai 1 Januari 2025

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Nigeria Tragedi Rempuhan Sempena Agihan Makanan Pra Krismas Ragut 67 Nyawa

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


Airport Berpenunggu

Panduan Lengkap Untuk Reka Bentuk Kotak Pembungkusan Makanan Yang Menarik

10 Tips Pilih Pam Tayar Kereta Tekanan Angin Tayar Kereta Yang Sesuai

Catatan Hari Terakhir Trip Ke Kuching

Resepi Udang Khamped Padu Mudah Sedap Dan Confirm Licin Pinggan

The Skill Hexagon The Power Of Multifaceted Abilities