Demo Icerd Freemason Dan Baju T
Oleh Ibnu Jubbah 
Setiap kali membaca tulisan atau buah fikiran presiden PAS  saya seolah-olah sedang mendengar khutbah seorang maharaja sebuah  dinasti yang menguasai satu pertiga dunia.
Beliau - si  maharaja yang terbayangkan itu - sedang menjelaskan satu per satu  undang-undang dan peraturan hidup yang mesti dipatuhi semua rakyat  jelata.
Tiada bantahan atau tiada bangkangan. Melawan - jawabnya mungkin 'dipancung.'
Sejauh  itu saya berandaian. Bermimpi pun boleh juga. Cuma itulah, ia andaian  dan mimpi yang nakal, kerana tidaklah masuk ke akal untuk sesiapa  mempercayai bahawa Abdul Hadi Awang akan pernah menjadi maharaja dan  menguasai satu pertiga dunia, atau seperti salah seorang Dato  Maharajalela yang mengejar residen Inggeris durjana di Perak.
Andaian  nakal itu datang mengundang kerana saya melihat keyakinan kental beliau  memperkatakan sesuatu dan pada masa sama menolak setiap sesuatu yang  bukan datang dari pihak parti beliau. 
Kali ini, dengan yakin beliau meletakkan Icerd di kandang Freemason.  Sejauh itu beliau mendedahkan faktanya. Mungkin hasil maklumat daripada  jaringan geopolitik dunia Islam yang tersendiri dan beraras tinggi  beliau.
Kini tidak lagi memegang jawatan rasmi dalam Kesatuan  Ulama Islam Sedunia, Abdul Hadi dipercayai akan terus menjalin hubungan  dengan jaringannya.
Benarkah dakwaan Abdul Hadi?
Jika  persoalan ini pernah melintasi fikiran para pembaca, cukup setakat dalam  fikiran. Jangan ditanya dan jangan diulas. Eloklah usah sesekali  disanggah atau dinafikan.
Bawa fakta sebagai buktiJika  berdegil, bersedialah untuk diserang di media sosial atau lebih hebat  lagi, mungkin akan dinafikan pengurusan jenazah kalian nanti jika  lantang mengkritik pemimpin hebat itu.
Ambillah pengajaran daripada tulisan seorang wartawan Malaysiakini yang diserang dari kiri dan kanan selepas mengutarakan hujah bahawa  Abdul Hadi mungkin tersalah fakta apabila mendakwa Dato Maharajalela  pembunuh JWW Birch itu seorang mufti.
Hinggakan soal pengurusan  jenazah pun dijadikan bahan, tapi itulah hakikat yang ada pada zaman  marah-marah kepada Icerd sekarang.
Tebing Sungai Perak yang menjadi tempat Birch mandiSaya  mengharapkan ada pihak yang tampil membuktikan dakwaan Abdul Hadi itu  tidak benar. Kalau benar pun mahu menolak Icerd, biarlah dibuat dengan  hujah yang berpijak atas Dataran Merdeka. Bukan di awang-awangan Sungai  Kelang. Nanti tenggelam dan hanyut.
Kebanyakan negara umat Islam  menerima Icerd, kecuali Brunei dan Malaysia. Apakah Abdul Hadi mahu  mengatakan kesemua negara itu sedang terperangkap dengan agenda  Freemason? Alangkah manisnya jika ia dapat dibuktikan secara meyakinkan.
Ketika kerajaan Myanmar sedang melaksanakan pembersihan etnik di  negara itu, bukankah Icerd sepatutnya dapat dijadikan 'peluru' terbaik  bagi umat Islam menekan rejim pimpinan Aung San Suu Kyi itu?
Runtuh asas perlembagaanBagaimanakah  agaknya agenda Freemason dilaksanakan melalui Icerd dalam konteks  permasalahan kaum di Myanmar? Mohon pencerahan Abdul Hadi atau  penulis-penulis di keliling beliau.
Apa yang dapat dilihat, Abdul  Hadi membuat dakwaan sedemikian hanya mengambil kira situasi semasa yang  berlaku di Malaysia saja. Icerd itu dibimbangi mencalar semangat  Perlembagaan Malaysia yang memiliki teras raja-raja, orang Melayu dan  Islam.
Menarik juga untuk menunggu hujah-hujah - harapnya ada -  daripada Abdul Hadi atau pemimpin lain dalam PAS mengenai bagaimana  Icerd itu akan digunakan oleh "wakil-wakil Freemason" di Malaysia untuk  meruntuhkan tiga asas dalam perlembagaan tadi.
Ketepikan dulu  faktor ketaatan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kepada raja-raja Melayu  dan pengakuan mereka bahawa Islam adalah agama rasmi negara.
Anggaplah  - atau andaikan - untuk seketika kononnya pemimpin kerajaan PH sekadar  robot yang tiada sedikitpun rasa sayang dan cinta kepada raja-raja,  orang Melayu dan Islam. 
Gambar failAyuh,  berhujahlah secara matang dan sejahtera dengan mengemukakan prinsip  Icerd dan kaitannnya dengan Freemason. Semua pihak tentu berminat untuk  melihat bagaimana "Freemason" itu akan memberikan kesan kepada teras  perlembagaan melalui Icerd seperti dinukilkan Abdul Hadi.
Sementara  itu wajar juga Abdul Hadi diingatkan agar mengambil kira urusan dalaman  PAS semasa berhimpun untuk menolak Icerd pada 8 Dis nanti.
Ukur baju jangan salahAdakah semua anggota PAS sudah telah memiliki baju cetakan khas yang khabarnya berharga antara RM25 dan RM30 sehelai itu?
Sudahkah pengeluar dan pengedarnya dimaklumkan mengenai saiz yang diperlukan semua anggota parti
 Simpati juga jika ada anggota PAS yang menerima baju bersaiz terlebih besar atau terkecil nanti.
Tentu  sangat tidak manis untuk penyokong PAS yang kebetulan berbadan gempal  menyarung baju T bersaiz M, manakala yang berbadan kecil menggayakan  baju bersaiz XL.
Mungkin masih ada masa untuk mencadangkan pengeluar menyiapkan sebanyak mungkin baju bersaiz bebas (free size) demi memudahkan penyokong parti.
Kemudian berhimpunlah dengan menghormati undang-undang.
Sesudah itu hitung pula berapa banyak kutipan yang dibuat hasil jualan baju-baju tempahan khas tersebut.
Di Selangor khabarnya setiap kawasan diarah membeli 100 helai baju berkenaan. Untunglah kalau semua ahli bersetuju.
Cuma yang pasti 100 helai baju itu mesti dibayar tuntas demi perjuangan.
Bagaimana  kalau semua kawasan di negara ini diwajibkan membeli baju keluaran khas  tersebut? Setidak-tidaknya ia boleh menjana ekonomi parti atau  penyokong parti.
Akhirnya, sambil anggota dan penyokong di  peringkat bawahan menguruskan hal-hal baju dan karung derma, Abdul Hadi  dan pembantu di sekelilingnya jangan lupa terhadap isu-isu sekitar Icerd  dan Freemason itu.
Rakyat  Malaysia menanti-nanti ucapan seorang pemimpin yang juga bekas naib  ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang  membongkarkan peranan dan agenda Freemason di Malaysia melalui Icerd.
Pentas terbaik untuk melakukannya tentulah semasa perhimpunan itu nanti
IBNU JUBBAH ialah pena seorang anak muda yang sedang menyiapkan ijazah PhD dalam  bidang hak asasi manusia dan berminat membaca tulisan-tulisan pemimpin  politik PAS, Umno dan PH.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/demo-icerd-freemason-dan-baju-t.html