Debat Anwar Najib Apakah Ia Akan Jadi Kenyataan
Berikutan Najib Razak tiba-tiba jadi berani untuk berdebat, apa lagi untuk berhadapan secara sekaligus dengan Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli, selain ramai jadi hairan, ia juga kini dinanti-nanti sama ada jadi kenyataan atau sebaliknya.
Pada awalnya, dalam wawancara dengan sebuah portal berita, calon Timbalan Presiden PKR itu telah ditanya jika beliaun sedia untuk berdebat dengan Najib berhubung isu Sapura Energy yang sebelum itu memperlihatkan kedua-duanya saling berbalaw hujah serta kenyataan.
Sebaik Rafizi menyatakan persetujuannya dan ia kemudian disambut oleh Najib yang mengatakan beliau bukan saja setuju berdebat dengan bekas Ahli Parlimen Pandan itu, malah tidak takut jika ada dengan Anwar sekali atau dalam erti kata lain, 2 lawan 1.
Dengan keberanian Najib itu, Rafizi lantas memaklumkan bahawa beliau akan menyampaikan perkara itu kepada Anwar.
Tanpa banyak soal, tidak lama kemudian dan rasanya belum pun sempat Rafizi menyampaikan perkara itu kepada Anwar, Presiden PKR itu dengan pantas menyatakan kesediaan berdebat berikutan cabaran oleh Najib itu.
Mungkin sudah terperangkap dan tiada lagi pilihan, Najib pun akhirnya setuju menyambut persetujuan Anwar itu, sambil meminta pihak Anwar atau Rafizi berhubung dengan pembantunya untuk menentukan tarikh dan waktu serta kemungkinan majlis debat itu dilakukan secara live.
Bagi Anwar dan Rafizi yang memang biasa berdebat sejak zaman sekolah, kesediaan Najib itu tentu saja umpama pucuk dicita ulam mendatang.
Berbeza dengan Najib, beliau bukan saja tiada rekod atau sejarah pernah berdebat, malah beberapa kali sebelum ini dicabar oleh Anwar, tidak pernah sekali pun beliau berani menyahutnya, walau ketika itu beliau berjawatan sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, Najib itu punya rekod “tak berani keluar rumah” dalam program Nothing To Hide yang sepatutnya mempertemukan beliau dengan Tun Mahathir Mohamad sebelum PRU14 dahulu.
Dalam rekodnya sebagai Perdana Menteri, di samping tidak pernah berani menyahut cabaran berdebat, beliau hanya dilihat gemar bercakap secara sehala saja.
Malah ketika sedang berkuasa dahulu juga, wujud sekatan kepada agensi berita tertentu dalam menghadiri sidang akhbar yang diadakannya, contohnya selepas mesyuarat MT atau Perhimpunan Agung UMNO.
Dengan itu, bagi kebanyakan orang, keberanian Najib yang tiba-tiba ini tentu saja amat menghairankan.
Kenapa dulu tak berani dan sekarang jadi berani?
Pil berani apa yang sudah ditelannya, kata beberapa orang yang ditanya reaksi mereka.
Begitu pun, secara umumnya, masih ramai yang tidak percaya debat Najib dan Anwar + Rafizi ini akan menjadi kenyataan akhirnya.
Kata mereka, di laman FB memang Najib nampak berani dan seolah-olah tahu semua perkara, tetapi semua tulisannya itu bukan dilakukan olehnya.
Sebaliknya ia adalah tulisan oleh beberapa admin FB yang dibayar gaji iaitu mereka itu bekerja dengannya.
Najib yang sebenar, tambah mereka lagi, ialah ketika ia hadir di mahkamah di mana banyak soalan yang ditanya hanya dijawabnya dengan perkataan “tak tahu” saja.
Malaysiakini pernah melaporkan, sepanjang perbicaraan berkaitan SRC International misalnya, Najib telah memberi jawapan “tak tahu” sebanyak 46 kali.
Dalam sebuah interbiu dengan TV antarabangsa pula, Najib pernah “koyak” berikutan panas hati dengan soalan yang ditanya penyampai wanita, lalu bangun dan meninggalkan program.
Itu baru wawancara, belum lagi debat.
Dengan itu, boleh percaya ke Najib benar-benar berani berdebat dengan Anwar, tambah lagi jika 2 lawan 1 di mana ada Rafizi sekali?
Tidak mustahilkah nanti macam-macam helah atau alasan sengaja diwujudkan supaya debat itu tidak menjadi kenyataan?
Atau mungkinkan Najib akan membuat permohonan khas agar dalam debat itu nanti, lima atau enam admin FBnya sentiasa dibenarkan duduk di kiri kanannya untuk membantunya? ShahbudinHusin 05/04/2022.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/04/debat-anwar-najib-apakah-ia-akan-jadi.html