Datuk Seri Itu Bukan Pelakon
Baharom Bakar  
JABATAN  Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menafikan dakwaan pelakon bergelar  Datuk Seri ditangkap berkhalwat di Pulau Perhentian, Besut, 5 April  lalu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguat Kuasa JHEAT, Nik  Zulhaiza Ismail berkata, lelaki bergelar Datuk Seri berusia 40 tahun  dan pasangannya berusia 32 tahun yang ditahan di sebuah chalet di Pulau  Perhentian itu bukannya artis seperti ditularkan melalui laman sosial.
“Saya  mengesahkan memang ada tangkapan dilakukan pegawai dan anggota penguat  kuasa JHEAT, tetapi lelaki yang ditahan bukannya seorang artis atau  pelakon, sebaliknya pasangan biasa.
“Dengan  pengesahan ini, saya meminta semua pihak menghentikan segera mengait  dan menuduh JHEAT sengaja menyembunyikan identiti pasangan yang ditahan  atas tuduhan berkhalwat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada  operasi bersepadu jam 1 hingga 5.30 pagi itu, JHEAT menahan seorang  lelaki bergelar Datuk Seri yang sudah beristeri dengan pasangannya yang  masih bujang di sebuah chalet di pulau peranginan itu.
Nik  Zulhaiza berkata, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen  Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, iaitu perbuatan  sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Katanya, pasangan berkenaan dibebaskan dengan bon jaminan sementara menunggu proses pendakwaan di mahkamah.
“Selain  pasangan itu, JHEAT yang mengadakan operasi bersepadu bersama Majlis  Daerah Besut (MDB), Jabatan Imigresen Malaysia negeri, Polis Diraja  Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi  Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut serta Pasukan Gerakan  Marin turut menahan lelaki berusia 30-an kerana minum minuman keras dan  pasangan kekasih berusia 20-an kerana berkhalwat,” katanya.
Nik  Zulhaiza berkata, tuduhan mengaitkan JHEAT cuba menyembunyikan identiti  pasangan yang ditahan atas tuduhan berkhalwat seperti didakwa melalui  laman sosial adalah keterlaluan.
“JHEAT melakukan tugas mengikut  prosedur operasi standard (SOP) dan tidak akan mendedahkan nama individu  yang ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Berita berkaitan 
• Datuk Seri dicekup berkhalwat
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/datuk-seri-itu-bukan-pelakon.html