Datuk Perdaya Ibu Tunggal Rm230 000
KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal yang juga penjawat awam menanggung kerugian hampir RM230,000 apabila diperdaya oleh seorang lelaki bergelar 'Datuk' yang dipercayai menetap di luar negara.
Akibat terpaut dengan janji manis dan ingin membantu lelaki berkenaan, wanita tersebut telah menyerahkan wang simpanan bank, simpanan Tabung Haji miliknya serta anak-anaknya kepada lelaki berkenaan.
Tidak cukup setakat itu, wanita terbabit juga sanggup menjual barang kemas serta kereta yang dihadiahkan oleh bekas suaminya malah terpaksa membuat pinjaman bank dan meminjam wang daripada ahli keluarga untuk membantu 'kekasihnya' itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, wanita berusia 44 tahun berasal dari Padang Selising, Machang itu dipercayai terjerat dalam penipuan sindiket Love Scam selepas berkenaan dengan lelaki berkenaan menerusi Facebook yang menggunakan nama profil Dato pada November tahun lalu.
Menurutnya, wanita berkenaan dan suspek kemudian meneruskan perhubungan menggunakan aplikasi WhatsApp yang mana suspek menggunakan talian luar negara.
"Dalam tempoh lebih kurang dua bulan, suspek memberitahu mahu menjalinkan hubungan lebih intim dan ingin berkahwin dengan wanita berkenaan.
"Pada Januari 2021, suspek menyatakan dalam proses bertukar ke Malaysia untuk bekerja dan mendakwa kad kreditnya mengalami masalah untuk digunakan dan meminta wang daripada wanita tersebut untuk pelbagai tujuan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Shafien ditemui selepas membuat lawatan di lokasi sekatan jalan raya (SJR) di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini awal pagi tadi.
Beliau turut meluangkan masa bersahur bersama dengan petugas-petugas barisan hadapan yang ditempatkan di SJR tersebut, selain turut menyampaikan kurma kepada anggota yang bertugas.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, wanita berkenaan telah membuat 59 transaksi pembayaran ke 10 akaun milik individu berbeza berjumlah RM223,010 antara Januari hingga 9 April baru-baru ini.
Katanya, sumber wang wanita tersebut daripada simpanan serta Tabung Haji miliknya serta anak-anak, jualan barang kemas serta kereta yang dihadiahkan oleh bekas suaminya, pinjaman daripada bapa dan abang, serta pinjaman dari sebuah bank tempatan.
"Bagaimanapun, wanita berkenaan mula sedar ditipu apabila suspek meminta wang RM1,700 dengan alasan dia telah ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak memakai pelitup muka.
"Suspek juga mendakwa dia telah dikenakan kompaun RM1,000 serta perlu membayar RM700 sebagai kos perbelanjaan semasa ditahan," katanya.
Shafien menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah mempercayai tipu helah dan janji manis yang diberikan mereka yang tidak dikenali terutamanya perkenalan melalui laman-laman sosial.
Sumber: SH
Click Image for detail
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/04/datuk-perdaya-ibu-tunggal-rm230000.html