Data Kerajaan Dedahkan Warga Asing Bukan Penyebar Utama Utama Covid 19
Tanggapan popular bersifat perkauman warga asing di Malaysia punca utama penularan wabak Covid-19 dibuktikan tidak benar menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
(Malaysia Now) – Data KKM mendedahkan hanya 4.37% jangkitan wabak itu melibatkan warga asing daripada 13,504 keseluruhan kes yang direkodkan.
Seorang pegawai KKM yang dekat dengan pengurusan kes Covid-19 berkata, bilangan kes positif melibatkan warga asing semakin menurun.
“Ini mengambil kira kes-kes di Sabah seperti pendatang tanpa dokumen dari Filipina dan kes penularan import yang diumumkan hampir setiap hari,” kata pegawai itu kepada MalaysiaNow, dengan syarat tidak dinamakan.
“Kes positif memang majoritinya menular daripada warga tempatan kerana berlaku dalam negara.
“Anda boleh semak semua data mengenai mereka kerana kami akan mengemaskini dapatan baru pada setiap kali sidang media KKM diadakan.”
Katanya, jika 10 orang disahkan positif Covid-19, sebanyak lapan orang adalah warganegara dan hanya dua orang warga asing atau kes import.
“Saya tidak pasti populasi tepat antara warganegara dan bukan warganegara. Namun, begitulah perumpamaan yang kita boleh berikan.”
Sebelum ini, kebencian terhadap warga asing melonjak dalam kalangan rakyat Malaysia selepas wabak Covid-19 mula dikesan.
Antara tuduhan yang dilemparkan warga Bangladesh, Pakistan dan Rohingya tidak mengamalkan kebersihan.
Setakat kini, seramai 82,076 individu bukan warganegara dilaporkan sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan hanya 3,589 orang disahkan positif.
Daripada jumlah positif itu, sebanyak 3,301 (92.03%) kes melibatkan penularan tempatan manakala 286 (7.97%) kes penularan import
Sehingga kini, terdapat 75,438 saringan Covid-19 disahkan negatif melibatkan pekerja warga asing di Malaysia dengan 51 ujian sedang menunggu keputusan makmal.
Bilangan kes positif melibatkan warga asing pernah melonjak pada akhir fasa gelombang kedua jangkitan Covid-19 sekitar April hingga Jun lalu.
Ini ekoran kebanyakan kes dikesan melalui Kluster Tabligh Sri Petaling dan Kluster Bangunan Selangor Mansion.
Perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dihadiri 16,000 peserta dengan 1,500 warga asing.
Profesor perubatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Malina Osman percaya, stigma negatif terhadap warga asing dalam tempoh pandemik Covid-19 semakin reda.
Katanya andaian pihak-pihak berkenaan hanyalah bersifat persepsi dan bukannya fakta saintifik.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2020/10/08/data-kerajaan-dedahkan-warga-asing-bukan-penyebar-utama-utama-covid-19/