Covid 19 Kluster Jalan Pantai Disaring Warga Tiada Rumah Dibantu
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (gambar, kanan)pagi tadi meninjau proses saringan Covid 19 ke atas Kluster Jalan Pantai yang melibatkan warga setempat termasuk para pelajar dan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar.
Katanya, beliau berpuas hati dengan langkah pencegahan yang diambil dengan menutup SK Bangsar pada 9 hingga 16 Oktober bagi proses saringan, siasatan dan sanitasi.
"Pada masa sama, saya difahamkan pihak Pejabat Kesihatan Lembah Pantai telah melakukan saringan dan sanitasi di salah satu kawasan yang terlibat dengan Kluster Jalan Pantai. Demi menjaga privasi, saya tidak menamakan lokasi tersebut.
"Saya telah melawat lokasi tersebut, dan telah berhubung dengan beberapa pihak termasuk PDRM, Pejabat Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan DBKL untuk menanyakan status bantuan makanan kerana ramai yang disaring dan dikuarantin.
"Saya difahamkan Majlis Keselamatan Negeri telah mengeluarkan arahan penghantaran makanan. Saya juga mohon Pejabat Kesihatan pertimbang sanitasi tambahan seperti yang dipohon penduduk," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Fahmi turut bertemu seorang penduduk yang tidak mempunyai kediaman tetapi dipakaikan gelang pink. Beliau berbincang dengan Pejabat Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk penempatan sementara individu berkenaan.
"Saya difahamkan terdapat seorang pakcik yang tinggal di bawah blok tersebut yang tidak mempunyai rumah tetapi telah disaring dan dipakaikan gelang pink.
"Setelah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Pejabat Kesihatan dan DBKL, saya telah memohon beberapa tindakan dipertimbang dan menunggu keputusan pihak berwajib," katanya.
Justeru, Fahmi menyeru kepada semua warga Lembah Pantai supaya terus mematuhi semua SOP termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, tidak bersentuhan atau bersalaman dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Saya doakan warga Lembah Pantai dan juga para barisan hadapan yang terlibat dalam Kluster Jalan Pantai sentiasa dilindungi dan selamat dari Covid-19," katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/10/covid-19-kluster-jalan-pantai-disaring.html