Dap Singkir 3 Ahli Sokong Adun Perak Dipecat Parti
 Bernama

Jawatankuasa  Disiplin DAP tidak akan bertoleransi dengan mana-mana ahli yang  
menerima jawatan daripada kerajaan PN atau masih bersama atau membantu  
wakil rakyat yang mengkhianati perjuangan parti itu.KUALA LUMPUR: Tiga ahli DAP dipecat serta-merta, manakala 8 lagi  diberikan surat tunjuk sebab kerana menyokong 2 wakil rakyat yang  meninggalkan parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplinnya, Chong  Chieng Jen.
Beliau berkata, Kong Lai Ling, Ng Sook Whye dan Khi Poh Chong  didapati aktif membantu Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dipecat  selepas mengumumkan beliau keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional  (PN).
“Jawatankuasa ini memberi amaran kepada ahli sebelum ini supaya tidak  lagi bersama wakil rakyat yang lompat parti atau dipecat. Kong juga  menerima jawatan sebagai ahli Majlis Daerah Batu Gajah di bawah kerajaan  PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chong berkata, mereka bertiga turut terlibat dalam “counter  protest” di Pusat Khidmat Yong selepas akar umbi DAP yang lain  mengadakan bantahan lompat parti sebelum ini.
Mengenai 8 ahli yang diberikan surat tunjuk sebab, Chong berkata,  mereka dikenal pasti menghadiri sidang media pengumuman Adun Buntong, A  Sivasuramaniam menyertai Gerakan pada 26 Jun lalu.
Mereka ialah Dan Adriel Daniel Velloo, Angeline Phillip Joe Phillip, P  Murugiah, Joseph Hendry Kovil Pillai John, Amir Abdullah, R Marimutu, S  Theivanai dan William John Johin Bin.
Katanya, jawatankuasa itu turut menghentikan keahlian Loh Eng Soon  selama setahun kerana sengaja memfitnah dan memburukkan nama pimpinan  negeri melalui Facebooknya.
“Jawatankuasa Disiplin sekali lagi menegaskan kami tidak akan  bertoleransi dengan mana-mana ahli yang menerima jawatan daripada  kerajaan PN atau masih bersama atau membantu wakil rakyat yang  mengkhianati perjuangan parti.
   “Tindakan tegas akan diambil sekiranya jawatankuasa ini menerima aduan,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/dap-singkir-3-ahli-sokong-adun-perak.html