Dakwaan Hanya Umno Dan Pas Jaga Kepentingan Melayu Satu Pendapat Yang Meleset Kata Karmaine
Bernama
November 4, 2019 6:30 pm
Dakwaan pemimpin Umno kononnya hanya parti itu dan PAS yang akan menjaga kepentingan orang Melayu dan akan menjadi ‘jurucakap’ orang Melayu adalah satu pendapat yang meleset, kata Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini.
“UMNO-PAS jadi jurucakap orang Melayu? Tidak betul, tidak mungkin. PH yang sepatutnya menjadi suara, kerana Bersatu pun selama ini sudah menjadi suara kepada orang Melayu
“Kalau kita lihat, UMNO pun tidak boleh rebut kerusi Tanjung Piai daripada MCA, jadi bagaimana ingin jadi wakil dan suara orang Melayu dan selesaikan masalah-masalah yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aspirasi Pra-Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup di sini hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ceramahnya semalam berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Parlimen Tanjung Piai sangat penting kerana ia boleh memberi laluan kepada UMNO dan PAS menjadi jurucakap kepada orang Melayu.
Karmaine yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkata sebaliknya peranan itu telah dilakukan PH termasuk Bersatu melalui kuasa di pentadbiran pusat dan juga di negeri Johor dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan orang Melayu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.
Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, pengasas pusat tuisyen, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, seorang ahli perniagaan.
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas)
– BERNAMA
Berita penuh https://malaysiadateline.com/dakwaan-hanya-umno-dan-pas-jaga-kepentingan-melayu-satu-pendapat-yang-meleset-kata-karmaine/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/11/dakwaan-hanya-umno-dan-pas-jaga.html