Dah Boleh Agak Dah
PRK DUN Ayer Kuning di Perak seperti kita tahu akan diadakan 26 April ini. Tarikh penamaan calon 12 April, dan calon BN akan diumumkan seminggu sebelum hari itu. Ini menurut Pengerusi BN Zahid Hamidi. PAS diberitakan sedang meneliti senarai untuk menamakan calon paling berpotensi menang.
Hampir pasti perlawanan dua penjuru antara BN (baca Umno) dengan PAS akan terjadi. Tak tahulah kalau ada pihak lain berniat mencuba nasib. Tetapi yang boleh diagak ialah isu bangsa dan keagamaan akan mendapat ‘prominence’ untuk raih undi. Malah hampir pasti ini akan dijadikan isu untuk dimainkan. Siapa yang main dan siapa kena main kena tunggu dan lihat permainannya.
PRK ini diadakan berlatar belakangkan beberapa insiden membabitkan agama. Misalnya, gelagat tiga juruhebah radio yang tidak perlu saya perincikan kerana semua sudah maklum. Kemudian ada pendakwah Islam beri ‘pandangan’ terhadap penganut Hindu yang membawa kavadi semasa acara Thaipusam. Ini contoh terbaru. Sebelum itu ada beberapa hal yang tidak mahu saya ulang.
Lihat komen di media sosial. Ada tuduhan tindakan diambil cepat apabila orang bukan Islam buat aduan. Dituduh juga apabila umat Islam yang terguris hati kerana agamanya ‘dihina’ tiada tindakan apa-apa. Ada pula tuduhan tindakan hanya memihak umat Islam. Pendakwah yang ‘menghina’ bukan Muslim bebas celupar sesuka hati. Adakah semua itu benar?
Saya setuju dengan pandangan aktivis media Fathi Aris Omar yang disuarakan melalui hantaran Facebook tempoh hari:
“Isu seperti ini tidak akan reda walau apa cara dibuat untuk meredakannya. Ambil tindakan dianggap tidak cukup keras. Kaum A marah. Ambil tindakan keras kaum B pula tidak puas hati konon kerajaan hanya tunduk pada tekanan kaum A. Dua-dua kaum B dan A tidak rasa dibela.”
Berkata penulis yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Muhaimin Sulam, menerusi kolumnya di Malaysiakini ‘hakikatnya politik tanah air masih terbina dengan tembok kaum dan agama yang tebal. Sebabnya kedua- dua faktor itu merupakan modal politik paling murah dan mudah’.
Benar apa yang beliau katakan, dan sememangnya ramai tahu realiti ini. Tetapi ia tetap digunakan berulang kali untuk mengukir kemenangan politik dan kadangkala dengan jayanya. Amat menyedihkan.
Dan kata Muhaimin lagi: “Misalnya menyebarkan fitnah dan khabar angin keterancaman kaum atau agama. Hal-hal sebegini mudah membakar sentimen dan memusnahkan kerukunan bernegara”. Dan katanya lagi itulah yang akan didepani banyak pihak di Ayer Kuning nanti.
Menurut Muhaimain yang juga penyelidik, pada 1959 kawasan itu hanya memiliki seramai 16,667 pengundi. Ia meningkat empat kali ganda menjadi 61,946 orang pada 2022. Tentu corak demografi dan geopolitik mengalami perubahan banyak.
Dari segi demografi kata beliau pengundi Melayu mewakili 60% daripada keseluruhan pemilih diikuti Cina (22%) dan masyarakat India (17%). Dalam corak demografi sebegitu isu kaum dan agama sangat rapuh.
Sesungguhnya dalam konteks apa yang berlaku baru-baru ini Ayer Kuning seolah pentas ‘ideal’ untuk sentimen perkauman dan keagamaan ditiup atau diperalatkan. Dan dalam keadaan penganut Hindu marah akibat gelagat juruhebah radio dan pendakwah yang disebut tadi amat ‘menarik’ diperhatikan tindakan atau langkah pengundi India kelak.
Apa pun terserah kepada pengundi dan setiap penduduk Ayer Kuning untuk memutuskan mana betul, mana salah, mana fakta, mana fitnah.
Menurut Malay Mail baru-baru ini, berikutan pengumuman tarikh PRK Ayer Kuning seorang individu tidak dikenali memuat naik hantaran di Facebook berbaur hasutan mendakwa konon azan di semua masjid di Perak dilarang menggunakan alat pembesar suara.
Dah ‘start’ dah… - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/03/dah-boleh-agak-dah.html