Curi Lembu Sebelum Raya Penternak Dipenjara Seminggu
SEORANG lelaki dipenjara tujuh hari selepas mengaku bersalah mencuri seekor dan membunuh seekor lembu betina di Mahkamah Majistret Parit, hari ini.
Azizi Naziri, 32, membuat pengakuan terhadap dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Azizi didakwa mencuri lembut terbabit di ladang Sadang kira-kira 11.30 pagi sehari sebelum Aidilfitri pada 4 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Azizi turut didakwa membunuh seekor lembu betina berharga RM8,000 milik P Kanuappan, 72, pada tarikh dan lokasi yang sama.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.
Terdahulu, peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid merayu mahkamah mengenakan hukuman paling minimum kepada anak guamnya.
“Tertuduh keliru kerana menyangka lembu tersebut miliknya kerana dia turut memelihara lembu yang diwarisi daripada arwah bapanya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairuz Abd Mutalib meminta mahkamah berikan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai bahawa mencuri kesalahan serius.
Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua belah pihak, Nazratul Natrah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dari tarikh ditangkap dan denda RM2,000 terhadap tertuduh atau atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Mahkamah turut memutuskan tertuduh didenda RM1,000 kerana melakukan khianat dengan membunuh lembu itu atau dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Dalam pada itu, rakannya, Mohamad Zaki Zakaria, 57, turut dituduh secara berasingan kerana melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian lembu berkenaan.
Mohamad Zaki yang tidak mengaku bersalah pertuduhan terbabit dibenarkan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan kes didakwa ke atasnya ditetapkan pada 31 Julai ini.
Sumber: kulihatlangitbiru.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/06/curi-lembu-sebelum-raya-penternak.html